Tuesday 2 July 2013

KDYMM Sultan Pahang zahirkan dukacita Baginda


… dengan segelintir pihak yang masih ganggu-gugat keamanan dan kestabilan negara dengan berdemonstrasi dan berhimpunan haram.

“Beta berharap, budaya dan cara negatif ini tidak menular ke negeri Pahang yang tercinta,” titah tegas Baginda.

TABIK HORMAT... KDYMM Sultan Pahang, dengan kedua-dua anakanda di sisi - KDYTM Tengku Mahkota dan YAM Tengku Muda; sedang membalas tabik hormat pada Istiadat di luar Dewan.  


DEWAN UNDANGAN NEGERI PAHANG, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – KDYMM Sultan Pahang menzahirkan dukacita Baginda dengan gelagat segelintir pihak di negara ini, yang terus-menerus melakukan usaha yang boleh mengganggu-gugat keamanan dan kestabailan negara, menerusi demonstrasi dan perhimpunan haram.

Sambil itu Baginda, yang bertitah pada Istiadat Pembukaan Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri ke-13 pagi Selasa, 2 Julai di sini, mengingatkan agar gejala-gejala negatif sebegitu tidak sampai meliputi negeri ini.  

“Beta  berasa dukacita dengan sikap segelintir pihak yang masih mengganggu gugat keamanan dan kestabilan negara dengan mengadakan demonstrasi serta perhimpunan tanpa mengikut undang-undang.

“Sepatutnya kita sebagai rakyat di negara demokrasi berparlimen seharusnya menunjukkan sikap yang bijak dalam menangani dan memelihara keharmonian rakyat berbilang kaum.

“Kita wajar menggunakan kebebasan yang terdapat dalam negara kita dengan sebaik-baiknya untuk bersuara dan menyatakan pendapat yang membina melalui saluran yang sesuai.

MEMERIKSA PERBARISAN... Sepertimana tradisi, KDYMM Sultan Pahang memeriksa perbarisan kehormatan sebelum memasuki ke dalam Dewan bagi menyempurnakan Istiadat Pembukaan Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri ke-13 pagi Selasa ini.    


TAK PERLU BERARAK DI JALANAN

“Tidak perlu kita berarak di jalanan seperti berlaku di negara-negara luar kerana ini akhirnya akan mencetuskan pergaduhan dan pertumpahan darah. Beta berharap, budaya dan cara negatif ini tidak menular ke negeri Pahang yang tercinta,” titah Baginda.

Berikut ialah teks penuh titah ucapan Baginda, yang disampaikan dalam tempoh 22-minit, bermula 10.03 pagi dan berakhir pada 10.25 pagi;

“Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, kerana dengan limpah kurnia dan inayahNya, membolehkan Beta berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri Pahang yang ke-13 pada hari yang bersejarah ini.

“Beta ingin mengucapkan tahniah kepada YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak kerana Barisan Nasional (BN) telah memenangi Pilihanraya Umum ke-13 dan diberi kepercayaan menerajui pentadbiran negara ini.

“Beta berharap, pentadbiran Kerajaan baharu di bawah kepimpinan beliau, akan terus mantap, untuk memastikan perpaduan kaum dan keamanan negara terus dipelihara.
 
                                     
SUASANA DALAM DEWAN... Dengan anakanda, KDYTM Tengku Mahkota di sebelah kanan, dan YAM Tengku Muda di sebelah kiri; KDYMM Sultan Pahang sedang bersiaga untuk menyempurnakan Istiadat.   


KDYMM SULTAN PAHANG HARGAI KEIKHLASAN MENTERI BESAR

“Beta juga mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada Orang Tua Beta, YAB Menteri Besar, Dato' Sri DiRaja Adnan Yaakob, kerana atas kepercayaan Beta, terus dilantik sebagai YAB Menteri Besar.

“Usaha gigih beliau berkhidmat dengan ikhlas atas landasan yang betul selama ini, amatlah Beta hargai.

“Beta mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada YH Dato’ Sri Wan Mohamad Razali Wan Mahussin, atas khidmat beliau sebagai Yang Dipertua, Dewan Undangan Negeri sejak 1999 hingga 2013.

“Semoga beliau menikmati hari-hari persaraannya dengan lapang dan berbahagia.

“Selain itu, Beta ingin mengucapkan tahniah kepada YB Dato' Ishak Muhammad, di atas pelantikan beliau sebagai Yang Dipertua, Dewan Undangan Negeri yang baharu.

“Beta ucapkan tahniah juga kepada YB Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan serta ahli-ahli Dewan Undangan Negeri yang baharu dipilih dan baru sahaja mengangkat sumpah semalam.

FOTO BERSAMA... YAM Tengku Muda dan Dato' Sri DiRaja Adnan memberi pose istimewa, selepas hampir selesai Istidat Pembukaan ini.  


KEKALKAN KEHARMONIAN KAUM

“Beta menyeru semua Ahli-ahli Dewan supaya sentiasa proaktif dengan menitikberatkan kebajikan rakyat tanpa mengira kaum dan agama serta fahaman politik.

“Keharmonian kaum yang dikecapi pada hari ini, merupakan hasil kerjasama erat semua pihak dan perjuangan tokoh-tokoh tanahair yang terdahulu. Ia perlu dikekalkan agar menjadi warisan generasi sekarang dan pada masa akan datang.

“Perpaduan kaum yang erat merupakan tonggak kejayaan negara kita selama ini dan perlulah dikekalkan selamanya.

“Beta  berasa dukacita dengan sikap segelintir pihak yang masih mengganggu-gugat keamanan dan kestabilan negara dengan mengadakan demonstrasi serta perhimpunan tanpa mengikut undang-undang.

“Sepatutnya kita sebagai rakyat di negara demokrasi berparlimen, seharusnya menunjukkan sikap yang bijak dalam menangani dan memelihara keharmonian rakyat berbilang kaum.

RAMAH-MESRA DENGAN PEMBANGKANG... Secara budiman, Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan bersahaja sambil berseloroh dengan wakil rakyat pembangkang dan mereka kelihatan riang dengan kemesraan yang ditunjukkan oleh ketua eksekutif negeri itu.    


“BETA BANGGA DENGAN PENCAPAIAN EKONOMI NEGERI”

“Kita wajar menggunakan kebebasan yang terdapat dalam negara kita dengan sebaik-baiknya untuk bersuara dan menyatakan pendapat yang membina melalui saluran yang sesuai.

“Tidak perlu kita berarak di jalanan seperti berlaku di negara-negara luar kerana ini akhirnya akan mencetuskan pergaduhan dan pertumpahan darah. Beta berharap budaya dan cara negatif ini tidak menular ke negeri Pahang yang tercinta.

“Negeri Pahang terus berkembang pesat selari dengan arus globalisasi dunia. Kepelbagaian sumber, amalan mesra perniagaan serta suasana selesa didiami, merupakan antara banyak keistimewaan negeri Pahang yang menyumbang ke arah mencapai status negeri maju menjelang tahun 2020.

“Beta merasa bangga dengan pencapaian ekonomi negeri Pahang yang memberangsangkan. Pada tahun 2012, kadar pertumbuhan negeri Pahang ialah 5.8 peratus berbanding dengan KDNK negara sebanyak 5.6 peratus.

“Pendapatan isi rumah dan nilai pelaburan juga terus meningkat. Kadar kemiskinan dan kadar pengangguran pula semakin menurun.

MENGHARGAI PETUGAS-PETUGAS DEWAN... Dato' Sri DiRaja Adnan disamping isteri, Datin Sri DiRaja Junaini Kassim; sedang berfoto bersama-sama petugas Dewan Undangan Negeri yang termasuk Yang Dipertua, Dewan Undangan Negeri yang baharu, Dato' Ishak Muhamad, serta yang baharu digantikannya, Dato' Sri Wan Mohamad Razali Wan Mahussin (di sebelah kanan Dato' Ishak).  


52 PROJEK DALAM PELAKSANAAN, 63 PROJEK DALAM PERANCANGAN

“Beta ucapkan syabas dan tahniah  kepada semua pihak yang berusaha gigih memastikan prestasi ekonomi negeri Pahang berada pada tahap yang membanggakan.

“Kerajaan Beta memberikan tumpuan kepada projek-projek pelaburan yang menjadi penggerak ekonomi dan projek-projek pembangunan yang menjadi pemudahcara kepada kesejahteraan rakyat.

“Di negeri Pahang, terdapat 52 projek yang kini dalam perlaksanaan serta 63 projek dalam perancangan.

“Pada tahun 2012, negeri Pahang telah menerima pelaburan yang diluluskan termasuk insentif bernilai RM7.76 billion merangkumi 51 projek pelbagai sektor dan dijangka mewujudkan hampir 7,000 peluang pekerjaan.

“Bagi melebarkan jaringan sosial di negeri ini, Kerajaan Beta sedang melaksanakan program Perumahan Rakyat Dimiliki dengan sasaran 15,000 unit rumah dibina sehingga tahun 2015.

BERSALAMAN SESAMA AHLI-AHLI EXCO KERAJAAN... Kedua-dua Ahli Exco Kerajaan yang baharu ini - Encik Norul Azali Sulaiman (berdiri), sedang bersalaman dengan Dato' Mohd Johari Hussain (duduk).


PAHANG AKAN DAPAT HOSPITAL WANITA DAN KANAK-KANAK

“Kerajaan Beta memberi kerjasama sepenuhnya kepada Kerajaan Persekutuan melaksanakan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di beberapa lokasi di negeri ini dengan sasaran sebanyak 20,000 unit rumah dibina untuk mereka yang berpendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan.

“Kesihatan rakyat tidak diabaikan oleh Kerajaan. Sehingga kini, sembilan (9) buah hospital daerah dan 70 buah klinik kesihatan telah beroperasi di negeri Pahang.

“Seterusnya, perancangan sedang dibuat untuk membina dua (2) buah hospital pakar iaitu di Gambang dan di Bentong; serta hospital wanita dan kanak-kanak yang akan dilaksanakan pada tahun 2014 melalui Private Finance Initiative (PFI) Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Salah satu elemen penting dalam pembangunan negara ialah pemerkasaan modal insan. Kerajaan Negeri sedang giat berusaha untuk memperkasakan tenaga kerja melalui latihan, bantuan pendidikan kepada graduan, serta Kerajaan juga menyediakan premis perniagaan berdaya-maju kepada usahawan.

“Pada tahun 2012, sebanyak RM82.4 juta bantuan pendidikan melalui Yayasan Pahang telah diberikan kepada seramai 187,273 orang pelajar di negeri Pahang.

ANGKAT SUMPAH SEORANG WAKIL RAKYAT... Foto ini dirakam pada Isnin, 1 Julai di Dewan yang sama, sempena Majlis Angkat Sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri. Dengan tangan kanan diangkat, Dato' Sri DiRaja Adnan melafazkan angkat sumpahnya.  


KEBAJIKAN DAN PEMBANGUNAN ORANG ASLI TIDAK DIABAIKAN

“Kerajaan Negeri tidak sekali-kali mengabaikan kebajikan dan pembangunan Orang Asli di negeri ini. Antara projek yang telah dilaksanakan ialah penempatan semula Orang Asli di tiga (3) lokasi iaitu Sungai Bilut, Raub; Sungai Ruil, Cameron Highlands; dan Jelai, Lipis.

“Kerajaan Beta akan mewartakan semua tanah rizab Orang Asli di negeri ini.

“Bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir dari merasai nikmat pembangunan serta mengurangkan penghijrahan penduduk luar bandar ke bandar, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan, telah membangunkan kawasan luar bandar melalui Projek Agropolitan dan Rimbunan Kaseh yang berasaskan pertanian moden.

“Melalui Projek Agropolitan dan Rimbunan Kaseh, para peserta mampu meraih pendapatan bulanan dengan purata antara RM800 hingga RM1,500.

“Pembangunan infrastruktur negeri ini ditingkatkan melalui menaiktaraf jaringan jalan raya antara daerah ke Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menuju ke Lembah Klang dan Lebuhraya Utara-Selatan menuju ke Johor Bharu.

MEMBETULKAN JUBAH 'SPEAKER'... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang membetulkan jubah yang dipakai oleh Yang Dipertua, Dewan Undangan Negeri yang baharu, Dato' Ishak Muhamad. Yang turut kelihatan ialah Timbalan Yang Dipertua, Dato' Mohamad Jaafar (BN - Jenderak).

Pada majlis pagi Isnin yang sama, Dato' Sri DiRaja Adnan telah mencadangkan kedua-duanya pada jawatan baharu tersebut, yang disokong oleh Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Sharkar Shamsuddin (yang turut kelihatan dalam foto ini). 


KAPASITI BEKALAN AIR DI PAHANG CAPAI TAHAP 99 PERATUS

“Jaringan jalanraya antara daerah melibatkan pembinaan jalanraya empat (4) lorong baharu iaitu ‘Central Spine Road (CSR) manakala menaikkan taraf jalan melibatkan Jalan Benta-Jerantut-Maran, Jalan Pekan-Nenasi-Endau-Rompin, Jalan Gambang-Segamat dan persimpangan Sungai Ular ke Terengganu.

“Bagi meningkatkan kemudahan pengangkutan awam demi keselesaan rakyat di negeri Pahang, dua (2) buah  terminal bersepadu iaitu Terminal Kuantan Sentral di Indera Mahkota dan Terminal Jengka Sentral, Bandar Tun Razak, Jengka bakal beroperasi pada suku ketiga tahun ini.

“Beta sukacita dan bergembira kerana liputan bekalan air di negeri Pahang telahpun mencapai tahap 99 peratus. Kapasiti bekalan air pada tahun 2012 ialah 1.3 juta meter padu sehari.

“Bagi memastikan kapasiti bekalan air mencukupi, kerja pembinaan loji baharu dan naik-taraf loji sedang giat dijalankan. Loji baharu yang sedang dibina dan dijangka siap pada tahun ini ialah Loji Panching. Loji yang dinaiktaraf ialah Loji Semambu, Kuantan; dan Loji Sekor, Pekan.

“Bekalan elektrik juga dijangka dapat dipertingkatkan dengan pembinaan empangan hidroelektrik di Telom, Lipis dan di Tekai, Jerantut yang dijangka siap dan beroperasi pada tahun 2020.

KES JENAYAH MENURUN

“Beta menaruh keyakinan yang tinggi terhadap usaha-usaha ini yang akan memberikan manfaat besar kepada rakyat jelata.

“Keamanan yang kita kecapi pada hari ini adalah hasil kecekapan anggota pasukan keselamatan kita yang sentiasa siap-siaga menjalankan tugas.

“Berdasarkan perangkaan Polis DiRaja Malaysia, terdapat pengurangan kes jenayah pada tahun 2012 iaitu sebanyak 5,965 kes berbanding 6,363 kes pada tahun 2011.

“Beta ucapkan syabas dan tahniah kepada semua anggota pasukan keselamatan, yang telah menjalankan tugas dengan baik tanpa mengira waktu dan ketika.

“Sebagai penutup, Beta juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penjawat awam termasuk anggota keselamatan, yang telah menjalankan tugas dengan amanah dan penuh tanggungjawab serta telus, semasa mengendalikan Pilihanraya Umum ke-13 baru-baru ini.

MB DIHARAP TERUS BEKERJA DENGAN GIGIH

“Beta sekali lagi menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada Orang Tua Beta, YAB Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob atas khidmat bakti yang tulus ikhlas.

“Beta berharap, Orang Tua Beta akan terus bekerja dengan gigih, sungguhpun beban dan tanggungjawab menjadi semakin berat serta mencabar dari hari ke hari.

“Beta tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada ketua-ketua jabatan, ketua-ketua agensi, penjawat-penjawat awam termasuk Polis DiRaja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia, yang memainkan peranan membangunkan negeri Pahang bagi memastikan negeri Pahang tidak ketinggalan, bahkan lebih maju jauh ke hadapan dari masa ke masa.

“Dengan kalimah Bismillahirrahmanirrahim, Beta dengan sukacitanya mengisytiharkan Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri Pahang yang ke-13 pada hari ini.

“Wabillahitaufik Walhidayah, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,”. – Khabar