Sunday 13 October 2013

14 koperasi di Pahang ialah antara 100 terbaik di negara ini!!!


… yang membanggakan Menteri Besar, lalu berpesan agar ‘ini perlu kita kekalkan’

DALAM UCAPAN LUAR TEKS 16-MINITNYA... 


HOTEL M.S.GARDEN, KUANTAN – Sebanyak 14 koperasi di Pahang tergolong dalam kalangan 100 koperasi terbaik negara maka Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan menyarankan agar prestasi cemerlang ini terus dikekalkan.

“Yang paling menariknya, koperasi di negeri Pahang ini ada 14 buah yang merupakan 100 koperasi teratas dalam Malaysia,” katanya disusuli secara sederap, tepukan para hadirin.  

“Maknanya, 100 koperasi yang terbaik ini, 14 dari Pahang, lebih 10 peratus dari Pahang (dan) ini perlu kita kekalkan,” katanya lagi dalam ucapan luar teks kira-kira 16-minitnya pada program Sembang Koperasi tengah hari Ahad, 13 Oktober di sini.

Program anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) ini dihadiri sendiri oleh menterinya – Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Hasan Malek, serta, ahli-ahli koperasi dan orangramai yang memenuhi setiap ruang dewan di tingkat 5, hotel milik Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) ini.

Dato’ Sri DiRaja Adnan seterusnya berkata betapa, sesebuah koperasi yang diuruskan dengan baik dan sempurna, dapat menjadi kekuatan kepada koperasi serta ahli-ahlinya untuk menangani isu-isu seperti kenaikan harga barangan keperluan atau kemelesetan ekonomi.   

BINCANG DI MEJA MAKAN... Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan sedang berbincang sesuatu dengan Dato' Hasan, sebaik-baik tiba di meja makan. Yang turut kelihatan ialah Dato' Shahiruddin (kiri sekali). 


KUKUHKAN LAGI KOPERASI MASING-MASING

“Itu sebabnya tuan-tuan dan puan-puan; datang pada hari ini betul… bersembang-sembang dan lebih kurang. Tapi jangan lupa bila balik nanti, mengukuhkan lagi pergerakan koperasi kita,” katanya.

Beliau turut menyebut statistik berkaitan koperasi di negeri Pahang ini iaitu terdapat 819 koperasi berdaftar dengan keanggotaan seramai 296,799 orang atau hampir 300,000 orang.

Modal syer atau saham terkumpul menurutnya, ialah RM240.1 juta manakala aset atau harta terkumpul pula pada keseluruhannya, bernilai RM498.3 juta!

“Maknanya, pergerakan koperasi di negeri Pahang ini sebenarnya adalah besar. Dan sudah pasti, kalau koperasi itu besar, dapat buat kuntungan maka faedahnya dapat dinikmati oleh koperasi (serta anggota-anggotanya).

“Seperti kata Dato’ Hasan tadi, kalau ‘company’, syarikat; orang tertentu, beberapa orang sahaja (yang akan menikmati keuntungan). Tapi kalau koperasi, kita ramai-ramai boleh mendapat faedah,” katanya lagi.

BERMESRA DENGAN HADIRIN, SEMASA BERJALAN MASUK KE DEWAN... 


TAUKE AKAN BANGKRAP JIKA TIDAK BELI DUA MINGGU

Dato’ Sri DiRaja Adnan turut menyentuh tentang gerakan kepenggunaan yang antara lain katanya, ia (kepenggunaan) sebenarnya, ialah ‘senjata  yang paling ampuh’ untuk menghadapi dan mengatasi isu kenaikan harga barangan.

Beliau berkata betapa beliau difahamkan, pengeluar ayam misalnya, boleh jatuh muflis sekiranya pengguna – dengan kuasa dan gerakan kepenggunaannya, tidak membeli ayam selama cuma dua (2) minggu sebagai tindak-balas kepada kenaikan harga ternakan tersebut.

“Begitu juga saya difahamkan; kalau harga ikan naik, jangan beli ikan dua (2) minggu, maka tauke ikan akan bangkrap.

“Oleh sebab itu, kita kena bersama-sama dalam gerakan koperasi ini, bukan (setakat) soal menambah saham sahaja. Bukan (setakat) soal menambah harta sahaja. Tetapi, untuk (turut) menjaga kedudukan kita sebagai pengguna.

“Ini adalah satu cara yang sangat berkesan. Dan, kita tidak mati kalau tak makan ikan dua (2) minggu. Kita tidak mati kalau tak makan ayam dua (2) minggu,” katanya lagi.

HADIRIN, PADA MAJLIS SANTAI TENGAH HARI HUJUNG MINGGU... 


HASRAT PM UNTUK BELA RAKYAT

Beliau seterusnya berkata, memanglah menjadi hasrat Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak, untuk terus membela rakyat termasuklah mereka dalam golongan berpendapatan rendah.

Ekoran itu katanya, banyak ikhtiar serta usaha dilakukan untuk menjana dan menggerakkan ekonomi negara yang dengannya, rakyat termasuklah golongan berpendapatn rendah, dapat turut menikmat kesan limpahan daripadanya.

Dalam pada itupun beliau mengakui, betapa sebahagian tertentu rakyat yang marah terhadap Kerajaan apabila Kerajaan mengumumkan baru-baru ini, penarikan subsidi minyak sebanyak 20 sen dan kemarahan ini kononnya bakal diterjemahkan dalam bentuk undian pada pilihanraya umum akan dating.

“Tapi, mereka tidak sedar bahawa Kerajaan sekarang ini, dalam perbualan saya dengan YAB Perdana Menteri; ialah untuk mencari satu jalan, satu mekanisme bagaimana subsidi Kerajaan  ini dapat dinikmati oleh orang yang layak,” katanya.

“Sekarang ini,” katanya lagi, “Kalau saya menunggang motosikal dan orang (lain khususnya yang lebih berada) punyai kereta ‘porche’, kereta ‘mercedes’; dia dapat subsidi (minyak) juga. Ini jangan kira nelayan-nelayan asing yang datang ke laut dalam kita dan orang kita pula pergi menjual (kepada nelayan-nelayan asing ini) ke tengah laut, (minyak) disel dan sebagainya.

HANYA YANG LAYAK DAPAT SUBSIDI

“Dan jangan kira lagi, pemandu-pemandu dari negara-negara jiran (yang mengisi minyak di negara ini) – semuanya menikmati subsidi”.

“Saya percaya,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan penuh yakin, “Kalau YAB Perdana Menteri diberikan sokongan, apabila kaedah memberi subsidi ini dapat diatur semula – hanya yang layak sahaja yang dapat subsidi;

“… maka subsidi yang berjumlah RM24 bilion setahun itu (yang tidak lagi digunakan untuk menampung subsidi untuk minyak berkenaan) boleh digunakan untuk diberikan terus kepada rakyat”.

Selain Dato’ Hasan, yang turut hadir pada program tengah hari cuti hujung minggu ini ialah Pengerusi, Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan Negeri, Dato’ Shahiruddin Ab. Moin;


Ahli Parlimen, Dato’ Manan Ismail (BN – Paya Besar); wakil rakyat negeri, Encik Suhaimi Jusoh (BN - Lepar); Pengerusi Eksekutif SKM, Dato’ Nik Ali Mat Yunus; dan, Pengarah SKM Negeri, Encik Mohamad Zawawi Mahmud. – Khabar