Wednesday 23 October 2013

Usaha tegas Kerajaan Negeri sanggah gerakan buruk-burukkan Islam


… termasuk lulus enam resolusi, antaranya usaha wujudkan pelan induk bagi memperkasakan gerakan dakwah Islamiah di Pahang  


MENERIMA RESOLUSI 6-PERKARA... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menerima resolusi enam perkara berkenaan daripada Prof Madya Dr Asyraf, sambil yang lain menyaksikan iaitu (dari kiri ke kanan) Dato' Abdul Rahman; Sahibus Samahah Dato' Abdul Rahman; dan, Dato' Ahmad Munawar


NOTA EDITOR;

Esok, Khamis, 24 Oktober, akan berlangsunglah persidangan proses Semakan Berkala Sejagat atau ‘Universal Periodic Review’ (UPR) mengenai hak asasi manusia di Malaysia oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu atau Human Rights Council, United Nation (UNHRC) di Geneva, Switzerland.

Beberapa pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) di Malaysia telah menubuhkan apa yang dikenali sebagai ‘the Coalition of Malaysian NGOs’ in the UPR Process (COMANGO), khusus untuk mengemukakan beberapa tuntutan terhadap Kerajaan Negara ini, terutamanya dalam soal kebebasan beragama dan hak asasi manusia, pada persidangan tersebut.

Sebelum itu, pada 11 Julai lepas, ada dilaporkan betapa mereka telah mengadakan taklimat mengenainya yang dipengerusikan oleh seorang pemimpin parti pembangkang dan dihadiri oleh wakil-wakil NGO antaranya daripada Majlis Peguam dan NGO yang dikenali sebagai Sexual Orientation and Gender Identity (SOGI) yang dikatakan memperjuangkan gejala Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender (LGBT).

Bertentangan dengan COMANGO ialah gabungan NGO Melayu-Islam yang dikatakan peka dengan implikasi dan kesan serius daripada persidangan tersebut lalu menubuhkan Muslim-Unviersal Periodic Review Organisation (Muslim-UPRo) bagi menyanggah desakan COMANGO.

Dan kini, 17 orang wakil Muslim-UPRo sudah berada di Geneva untuk maskud tersebut. Maka, persidangan media oleh Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob berkaitan hal yang sama pada tengah hari Rabu, 23 Oktober di Bilik Mesyuarat, Tingkat 6, Kompleks Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur, Kuantan; adalah bertepatan dengan masanya.

Berikut disiarkan secara ‘verbatim’, apa yang telah diluahkan oleh Dato’ Sri DiRaja Adnan pada persidangan media yang turut dihadiri oleh kesemua anggota Exco Kerajaan Negeri, serta, Mufti Negeri, Sahibus Samahah Dato’ Abdul Rahman Osman; Ketua Hakim Syarie, Dato’ Abdul Rahman Yunus; dan, Pengerusi, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Prof Madya Dr Asyraf Dasuki.

Yang lain ialah Pengurus Besar, Yayasan Pahang, Dato’ Saariah Saad; Ahli Lembaga Pengelola, Yayasan Pahang, Dato’ Ahmad Munawar Abdul Jalil; serta, Presiden, Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Wan Emril Wan Embong.  


KOMPLEKS YAYASAN PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN“Pada hari ini, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif selaku Pengerusi, Jawatankuasa Hal Ehwal Ugama Islam Negeri, kita akan menghadap dan memaklumkan ke sisi KDYMM Sultan Pahang

“… tentang tuntutan yang dibuat oleh gabungan NGO Malaysia (COMANGO) yang dalam usaha mereka untuk mewujudkan apa yang disebutkan soal; saya sentuh satu aspek sahaja – liberalisme di Malaysia ini, yang kita dapati tidak sesuai dengan masyarakat kita terutamanya masyarakat Islam.

“Beberapa pihak telah mengadakan perbincangan, saya pengerusikan sekejap tadi dan kemudian Dato’ Mufti, Dato’ Ketua Hakim Syar’ie, kemudian kita juga jemput Prof Madya Dr Asyraf Dasuki, untuk bersama-sama membincangkan tentang ancaman yang akan kita hadapi jika gerakan COMANGO dibiarkan berleluasa.

“Mereka telah ke peringkat antarabangsa iaitu ke peringkat semasa Semakan Berpenggal Sejagat yang dibuat iaitu Universal Periodic Review. Ini dilakukan oleh Human Rights Council (HRC) ataupun Majlis Hak Asasi Manusia, United Nations yang berpangkalan di Geneva, yang dibuat empat tahun sekali.

“Dipendekkan cerita seolah-olah COMANGO ini ingin melaporkan, ingin buat ‘report’ kepada HRC ini, atau Majlis Hak Asasi Manusia ini, bahawa keadaan di Malaysia ini menindas kebebasan termasuk juga kebebasan berugama.

KESERIUSANNYA... Wajah serius yang diperlihatkannya pada persidangan media tengah hari Rabu itu, adalah selari dengan seriusnya isu yang umat Islam negara ini hadapi dalam mendepani NGO-NGO sepertimana COMANGO. 


COMANGO ANGGAP MALAYSIA TINDAS HAK ASASI, BEBAS BERUGAMA

“Kita telah ada juga wujudkan sebuah gabungan, pertubuhan dan kita telahpun hantar wakil ke Geneva dan mereka telahpun berada di sana sekarang; untuk memberikan hujah-hujah mempertahankan keadaan di Malaysia.

“COMANGO memberi anggapan seolah-olahnya Malaysia ini menindas hak asasi manusia, menindas kebebasan berugama kemudian mereka cuba menggalakkan perkara-perkara liberal yang bertentangan dengan ugama.

“Saya tidak mahu mengulas lanjut tetapi antara perkara lainnya ialah soal seperti LGBT, kemudian itu soal perkembangan syiah di Malaysia, contohnya.

“Dan kita agak dukacita kerana dalam COMANGO juga, pertubuhan yang dianggotai oleh cerdik-pandai Islam tapi cerdik pandai mereka itu hanya pada peringkat tertentu, bukannya soal Islam.

“Mereka memperjuangkan hak asasi dan tak cukup dengan itu, membuat tohmahan, melaporkan seolah-olah kita di Malaysia ini menindas hak asasi dan juga menindas kebebasan berugama.

AKAN SEMBAH MAKLUM KE SISI KDYMM SULTAN PAHANG

“Atas kesedaran itulah kita pagi tadi, ada sikit perbincangan di kalangan cerdik-pandai kita dan mengambil keputusan kita akan menyembah maklum ke sisi KDYMM Tuanku Sultan Pahang selaku Ketua Ugama, tentang keadaan yang boleh mengancam, boleh mengancam kesucian ugama Islam dan mengancam akidah umat Islam di Malaysia termasuk di Pahang.

“Saya akan sembah-maklum ke sisi Tuanku Sultan dan pada ketika yang sama, kita juga meluluskan resolusi untuk kita kemukakan kepada YAB Perdana Menteri supaya Kerajaan Malaysia mengambil pertimbangan, mengambil kira bahawa, bukan sahaja COMANGO yang boleh bersuara.

“Ada banyak lagi di sana, NGO-NGO Islam yang merangkumi berbagai-bagai fahaman politik tetapi semata-mata untuk mempertahankan kesucian ugama Islam; ada bersama-sama untuk menentang gerakan COMANGO ini.

“Kita berharap, janganlah sampai keadaan di Malaysia ini menjadi kucar-kacir, bukan sahaja pertelingkahan antara Islam dan bukan Islam, tetapi besok, pertelingkahan antara mazhab pula. Yang ini yang kita hendak elakkan.

“Kita telah luluskan resolusi hasil perbincangan ini dan kita akan sembah-maklum ke sisi Tuanku (Sultan) dan juga KDYTM Tengku Mahkota, dan resolusi ini ada enam;

JANGAN PERTIKAI ASPEK ‘FUNDAMENTAL’

“Pertamanya, kita memandang serius dan kita kecewa dengan sikap dan pendirian COMANGO yang cuba mempertikaikan perkara yang menyentuh aspek ‘fundamental’ negara yang telah dimaktub dalam Perlembagaan.

“Keduanya, kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang memperuntukkan Perkara 3 (1) dalam Perlembagaan bahawa Islam adalah ugama rasmi dan ugama lain boleh diamalkan dengan bebas; tidak perlu dipertikaikan.

“Ketiga, Kerajaan Negeri Pahang mengambil pendirian menyokong lapan resolusi yang dikemukakan oleh Muslim-UPRo – ini pertubuhan yang akan menyanggah COMANGO.

“Kita menyokong lapan resolusi yang dikemukakan oleh Muslim-UPRo ini yang merupakan gabungan mewakili NGO-NGO Islam yang juga membuat representasi ke Semakan Berpenggal Sejagat, Universal Periodic Review yang sedang diadakan di Geneva, Switzerland.

“Yang keempat, kita minta supaya sokongan terhadap Muslim-UPRo ini untuk kita menangkis hujah COMANGO, diberi sokongan oleh semua pihak di seluruh negara.

KOMITED UNTUK GEMBLING TENAGA ULAMA, CENDEKIAWAN, NGO ISLAM

“Kelimanya, Kerajaan Negeri komited untuk menyelaraskan dan menggembling tenaga para ulama, cendekiawan dan NGO-NGO Islam yang bersama-sama menyokong untuk kita meratakan kefahaman kepada rakyat akan ancaman puak-puak seperti COMANGO ini.

“Dan yang keenamnya, bagi merealisasikan hasrat di atas, kita akan merangka satu pelan induk. Apa yang akan kita namakan nanti, kita akan mohon perkenan KDYMM Tuanku Sultan dulu dan juga Tuanku Tengku Mahkota;

“… dan ianya merangkumi semua organisasi termasuk agensi Kerajan dan bukan Kerajaan, semata-mata untuk wujudkan satu pelan induk yang bersepadu dan holisitik bagi memperkasakan gerakan dakwah Islamiah di negeri Pahang ini dan juga untuk pastikan supaya kesucian ugama Islam tidak tergugat dan akidah umat Islam di negeri Pahang juga tidak terancam”. – Khabar