Sunday 6 October 2013

Terjemahkan kehebatan kempen MT dan sayap-sayap kepada kempen pilihanraya umum kelak!


… saranan Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada Majlis Pengenalan Calon-calon MT dan Exco pergerakan sayap-sayap UMNO 2013 peringkat negeri.

MEMPERKENALKAN... Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan memperkenalkan seorang demi seorang, calon-calon bagi pemilihan Pergerakan Puteri UMNO.  


KOMPLEKS YAYASAN PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menyarankan agar kehebatan berkempen untuk pemilihan Majlis Tertinggi (MT) UMNO serta sayap-sayapnya, dapat diterjemahkan dalam kempen pada pilihanraya umum kelak.

“… kalau kita terjemahkan cara kita berkempen untuk pemilihan Majlis Tertinggi dan lain-lain sayap ini, dalam kempen pilihanraya umum, parti kita tak (akan) kalah.  

“Tapi, nampak sangat UMNO ini,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan yang juga Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri, “… kempen untuk jawatan dalam parti lebih hebat daripada kempen untuk menang pilihanraya…

“Oleh sebab itu, mengambil sempena malam ini, marilah dengan semangat kita yang berkobar-kobar untuk memilih kepimpinan parti, bersama-sama mengambil iktibar, mengkaji, menyedari bahawa parti kita UMNO perlu diperkasakan lagi,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar, berkata demikian dalam ucapan ringkas 14-minit pada Majlis Pengenalan Calon-calon Ahli MT dan Exco pergerakan sayap-sayap UMNO 2013 peringkat negeri malam Ahad, 6 Oktober di sini.

THE BIG WITS... Dato' Sri DiRaja Adnan diapit kiri-kanan oleh (dari kanan, Dato' Mukhriz; Dato' Sri Mohamad; Dato' Sri Idris; Dato' Mohamad; dan Encik Azlan.


CALON-CALON NAIB PRESIDEN TURUT HADIR

Sebahagian tertentu calon-calon berkenaan turut hadir antaranya ialah calon-calon untuk jawatan naib presiden – Dato’ Mukhriz Mahathir dan Dato’ Wira Ali Rustam; calon-calon untuk MT – Dato’ Sri Mohamad Hassan; Dato’ Sri Idris Haron; Encik Azlan Man; Dato’ Ismail Sabri Yaakob; Dato’ Hassan Malek; Dato’ Sri Jamil Khir Baharom dan Timbalan Pengerusi Tetap UMNO, Dato’ Sri Mohamad Aziz.  

Menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, sungguhpun keanggotaan UMNO ialah kira-kira tiga (3) juta orang, tetapi ‘semangat, kekentalan dan darah perjuangan’ parti dan anggotanya banyak menyusut.

“UMNO tidak lagi dihormati oleh orang seperti dahulu. Ini kita kena ingat.

“Bermakna, kita dalam proses kempen ini, jangan merasakan sedap sendiri. Kita perlu juga memikirkan kembali bagaimana untuk kita, kalau menang nanti, bersama-sama dengan Presiden, Dato’ Sri Najib Tun Razak, Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengukuhkan semula semangat perjuanagan UMNO supaya kita boleh menang insyaAllah, dalam Pilihanraya Umum ke-14 nanti,” katanya.

Beliau memberikan contoh betapa keputusan dua (2) pilihanraya umum yang lepas tidak menunjukkan petanda yang baik hingga para pemimpin dan anggota UMNO boleh masih berselasa dengannya.

CALON-CALON MT DI ATAS PENTAS...


‘TREND TIDAK SELESA KEPADA KITA’

“Soalnya sekarang ini ialah, (pada pilihanraya umum tahun) 2008, kita menang 140 (kerusi parlimen); (pilihanraya umum tahun) 2013, kita menang 133… Maknanya, ‘trend’ itu tidak menunjukkan satu keselesaan kepada kita.

“Mungkin (pada pilihanraya umum akan datang pada tahun) 2018 nanti, tinggal 103 (kerusi)! (Dengan jumlah kerusi parlimen sebanyak) 103 tak boleh memerintah,” katanya mengingatkan tentang keberangkalaian senario buruk tersebut

Oleh sebab itulah juga katanya, sama ada calon ataupun para penyokong, perlu berusaha kea rah mengukuhkan parti dan beliau sendiri sengaja tidak menawarkan diri untuk bertanding jawatan MT kali ini demi mengukuhkan UMNO Negeri.

“Saya tak bertanding senang sahaja, sebab saya fikirkan, tenaga saya lebih diperlukan untuk mengukuhkan UMNO Negeri Pahang, (agar negeri ini) jangan jatuh ke (pihak) pembangkang, itu sahaja,” katanya disusuli tepukan para hadirin yang kira-kira 2,000 orang.

Beliau seterusnya meluahkan harapannya kepada para calon yang memenangi jawatan-jawatan yang ditandingi kelak, agar dapat bersama-sama membantu kepimpinan parti yang ditunjangi oleh Dato’ Sri Mohd Najib.

WANITA PENUHI DEWAN...


TAK PERLU CALON YANG KAKI ‘JACK’

Kepimpinan utama parti dan negara itu beliau percaya, memerlukan bantuan, sokongan, dan fikiran yang terbuka daripada calon-calon yang menang ini.

“Jangan menang MT esok, (apabila) bercakap dalam MT; meng‘jack’ saja, meng‘jack’, membodek, membodek… ‘Oh, Dato’ Sri Pengerusi… Minta maaf. Kita menang pilihanraya ini. UMNO menambahkan kerusinya, daripada 79 kepada 88. Kita menang…’

“Kita kalah!!! (Daripada) 140 (kerusi parlimen yang diperolehi pada pilihantraya umum tahun 2008), tinggal 133 (pada pilihanraya umum tahun 2013), boleh khabar (kepada) Presiden, menang lagi. Ahhh… macam ini nak masuk MT, susahlah.

“Maknanya, (perlu) orang yang berani bercakap. Dengan penuh hormat kepada Presiden tapi bercakap, bercakap dengan tertib dan teratur. Tapi kalau dengan pakai kipas, meng‘jack’ saja, susah sikit. Kalau ‘jack’ (dengan beri) ubat (penyelesai masalah yang) betul tak apa. Ubat salah…,” katanya. – Khabar