# Memperkasakan sektor pendidikan dan sosial
# Membangun modal insan
# Menggalakkan sektor pelancongan
# Mensejahterakan rakyat
# Merancakkan pertumbuhan ekonomi
MENYAMPAIKAN UCAPAN BAJET NEGERI 2016... Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan sedang menyampaikan ucapan 32-minitnya, yang bermula 12.19 tengah hari dan berakhir pada 12.51 tengah hari.
DEWAN UNDANGAN NEGERI, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Dengan mengemukakan bajet lebihan kira-kira RM1.28
juta - anggaran kutipan hasil, RM728.9 juta mengatasi anggaran perbelanjaan, RM727.62
juta bagi Bajet Negeri 2016;
Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja
Adnan Yaakob menegaskan, fokus ialah kepada lima (5) strategi utama iaitu,
memperkasakan sektor pendidikan dan sosial, membangunan modal insan,
menggalakkan sektor pelancongan, mensejahterakan rakyat, dan, merancakkan pertumbuhan
ekonomi.
Ini pula berlatar
belakangkan prestasi kukuh Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negeri ini yang
dijangka sebanyak 5.7 peratus menjelang tahun depan (2016), selari dengan
pertumbuhan ekonomi negara pada kadar antara lima (5) dan enam (6) peratus
setahun.
Perkara-perkara ini
disebutnya dalam ucapan 32-minit membentangkan Bajet Negeri 2016 pada persidangan kali ketiga,
penggal kedua, Dewan Undangan Negeri Ke-13 pagi Isnin, 16 November di sini.
“Kerajaan Negeri akan menitikberatkan keseimbangan di
antara ekonomi modal dengan ekonomi rakyat. Pada ketika yang sama, Kerajaan
Negeri akan terus berusaha meningkatkan kutipan hasil dan sentiasa mengamalkan
berbelanja berhemah untuk mengurangkan defisit fiskal,” tegasnya.
MENYEMAK DAN MENELITI, SEBELUM MENYAMPAIKAN... Selain Dato' Sri DiRaja Adnan, yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri - Dato' Sri Mohd Sharkar Shamsuddin, Dato' Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak, dan, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail.
TERUS USAHA REALISASIKAN PENDIDIKAN KUALITI, LATIHAN
KEMAHIRAN TINGGI
Di bawah strategi
memperkasakan sektor pendidikan dan sosial, Kerajaan Negeri katanya, akan terus
memastikan program pendidikan yang berkualiti serta latihan kemahiran tinggi, direalisasikan.
Kolej Islam Pahang
(KIPSAS) pula katanya, telah dinaiktarafkan kepada Kolej Universiti Islam
Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS), yang menawarkan pendidikan Islam secara formal dan tidak formal.
“Penaiktarafan kolej universiti (kepada KIPSAS) adalah
bagi membolehkan sebuah IPT
berteraskan Islam milik Kerajaan Negeri Pahang untuk terus berdaya saing dalam
persada pendidikan tinggi tanah air,” katanya.
Di bawah strategi membangun modal insan, Kerajaan Negeri akan terus memperkasakan golongan belia dengan penganjuran
pelbagai program seperti Hari Belia Negeri dan Anugerah Belia Negara serta kursus-kursus
keusahawanan.
Sehubungan itu katanya, sebanyak
RM490,000 diperuntukkan bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti pembangunan belia
di negeri ini.
DI DALAM DEWAN YANG MULIA...
PEMBANGUNAN SUKAN TURUT JADI TUMPUAN
“Kerajaan Negeri juga memberi tumpuan kepada pembangunan
sukan di Negeri Pahang. Pelbagai projek telah dirancang untuk dilaksanakan
dalam RMK-11 antaranya membina baru Kompleks Belia Dan Sukan Negeri Pahang,
padang hoki, penambahbaikan litar ‘drift’ yang melibatkan kos RM114.4 juta,” katanya.
Bagi menggalakkan sector pelancongan – strategi utama ketiga; Kerajaan
Negeri katanya, sedang melakukan perancangan teliti bagi merealisasikan Kempen
Tahun Melawat Pahang 2017.
“Bagi terus menjadikan Pahang
sebagai destinasi pelancongan pilihan, Kerajaan (Negeri) akan meneruskan
galakan pelaburan terutamanya bagi hotel baru bertaraf empat (4) dan lima (5)
bintang.
“Langkah ini dapat membantu
menyediakan penginapan bertaraf antarabangsa yang mencukupi sekaligus menarik
kedatangan pelancong terutamanya dari kategori mewah dan berbelanja tinggi
khususnya bagi menghadapi Kempen Tahun Melawat Pahang 2017,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau
turut menyatakan betapa – disebalik pelbagai cabaran, Pahang masih kekal di
landasannya dalam mencapai sasaran ketibaan seramai 15 juta pelancong dalam dan
luar negara menjelang tahun 2017 itu.
PELANCONGAN JANA PERBELANJAAN PELANCONG RM6,200 JUTA!
“Sektor (pelancongan) ini telah
menjana perbelanjaan pelancong sebanyak RM6.2 bilion pada tahun 2014 dan
berpotensi untuk dipertingkatkan lagi. Pada tahun 2014, Negeri Pahang telah
berjaya menarik kemasukan seramai 9.4 juta pelancong.
“Bagi tempoh Januari hingga Jun
tahun 2015, kedatangan pelancong adalah seramai
5.041 juta orang, iaitu peningkatan sebanyak 8.26 peratus
berbanding 4.7 juta pelancong dalam
tempoh yang sama pada tahun 2014.
“Pelancong domestik menyumbang seramai
3.9 juta orang manakala pelancong antarabangsa adalah seramai 1.1 juta orang,” katanya.
Bagi menjayakan strategi
keempat iaitu mensejahterakan rakyat pula katanya, janji pilihanraya umum lepas
untuk membina 15,000 unit rumah mampu-milik menjelang tahun 2018 terus
dilaksanakan.
Sehingga 31 Oktober lepas katanya, sebanyak 81 projek PR1MA telah
diluluskan dengan 30,325 unit rumah bakal dibina di setiap daerah yang meliputi
4,164.58 ekar tanah yang diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri.
DUA PROJEK PR1MA SUDAH DAPAT CCC
“Syukur, Alhamdulillah, dua (2) projek
telah memperolehi Perakuan Penyiapan dan Pematuhan (CCC) iaitu PR1MA Batu 14
(Fasa 1) dan PR1MA Triang, Bera sebanyak 394 unit rumah. Bagi PR1MA Triang,
Bera penyerahan kunci kepada pembeli-pembeli telah dilaksanakan pada 12 Oktober
2015,”
katanya.
Kerajaan Negeri juga katanya, akan terus memberi perhatian kepada kebajikan
Orang Asli dengan antara lain, memberi bantuan seperti bantuan makanan
tambahan, wang saku dan tambang pengangkutan sekolah, disamping projek
pembangunan ladang getah dan kelapa sawit serta tanaman kontan menerusi Projek
Pembangunan Ekonomi Orang Asli.
“Yayasan Pahang juga menyediakan
peruntukan sebanyak RM1.95 juta untuk Program Pembangunan Tamadun Masyarakat
Asli (PETAMA) bagi membangunkan belia-belia Orang Asli dengan ilmu dunia dan
ukhrawi, serta program-program kemasyarakatannya,” tegasnya.
Ke arah menjayakan
strategi kelima yakni, merancakkan pertumbuhan ekonomi, Kerajaan
Negerui katanya, akan terus berusaha dalam mendapatkan pelaburan dari
pelabur-pelabur domestik dan luar negara melalui projek-projek berimpak tinggi.
Antara projek-projek itu
ialah seperti projek pengembangan Pelabuhan Kuantan menerusi aspek pelabuhan laut
dalamnya, serta, pembinaan kilang besi berteknologi tinggi dalam kawasan Taman
Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP).
NILAI PELABURAN RM40,100 JUTA!
Menurut Lembaga Pembangunan
Perindustrian Malaysia (MIDA) katanya, bilangan projek yang mendapat kelulusan lesen
pengilang oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di
negeri ini antara tahun 1987 dan 2014 ialah sebanyak 639 projek.
Yang bersamaan nilai pelaburan kira-kira RM40,100 juta
(RM40.1 billion) dengan jumlah anggaran tenaga kerja yang diwujudkan seramai 84,062
orang.
“Nilai pelaburan langsung domestik adalah sebanyak RM18.12
bilion manakala nilai pelaburan langsung asing adalah RM21.94 bilion,” katanya.
Mengenai Peruasahaan Kecil
dan Sederhana (PKS) katanya, Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha dan
pendekatan ‘turun padang’ dan mendekati kumpulan yang berminat, untuk terlibat
dalam sektor IKS di setiap daerah.
“Seperti yang kita sedia maklum, aktiviti ekonomi
dalam sektor pertanian adalah sumber makanan negara dan merupakan tempat
pergantungan pendapatan petani, pesawah dan nelayan.
PROJEK MESRA MASYARAKAT TANI
“Prestasi sektor pertanian berkembang pesat dengan
sumbangan KDNK Negeri Pahang sebanyak RM11.2 bilion. Kadar peningkatan yang
dicapai tahun 2014 adalah 4.4 peratus.
“Banyak program telah dijalankan di negeri Pahang
seperti Projek Mesra Masyarakat Tani dan pelbagai lagi telah meningkatkan
pengeluaran hasil tanaman makanan sebanyak 10 peratus berbanding pengeluaran
tahun sebelumnya,” katanya.
Persidangan kali ini akan berlangsung selama tujuh (7) hari bermula hari ini dan berakhir pada Selasa, 24 Novermber (dengan cuti mingguan pada Sabtu, 21 November dan Ahad, 22 November). – Khabar