Friday 20 November 2015

Suratan hakmilik tanah untuk suku ekar tapak rumah Orang Asli!


… Pahang dijangka jadi negeri pertama berbuat demikian

“Dan kerja sukat-menyukat ini akan dijalankan mengikut ketepatan di atas tanah,” kata Menteri Besar pada perjumpaan dengan kira-kira 300 Batin serta JKKK Orang Asli negeri.   

BERKONGSI ROSTRUM... Dengan 'sporting'nya, Dato' Sri DiRaja Adnan yang masih sedang berucap, menyilakan Batin Kampung Tanam, Muadzam Shah naik ke pentas bagi menerangkan masalah air yang dihadapi penduduk Orang Asli kampung itu. 

Betullah juga... Takkanlah mereka perlu mengambil bekalan air daripada sumber yang berlumpur sedangkan projek tanaman di situ memperolehi bekalan daripada sumber air yang lebih bersih yang tidak boleh dikongsi bersama?
  

DEWAN UTAMA, KOMPLEKS YAYASAN PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob hari ini mengumumkan keputusan Kerajaan Negeri untuk mengeluarkan suratan hakmilik tanah tapak rumah seluas suku ekar bagi sesebuah keluarga Orang Asli di negeri ini.

Pengumuman ini dibuatnya dalam ucapan luar teks disulami dialog selama kira-kira 48-minit pada Majlis Ramah Mesra Bersama Batin dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Orang Asli petang Jumaat, 20 November di sini.

Adalah difahamkan, dengan pengumuman di depan kira-kira 300 Batin dan JKKK Orang Asli ini, menjadikan Pahang sebagai negeri pertama di negara ini yang akan melakukanya!
  
“Tentang masalah tanah mereka ini, kawasan yang dirizabkan banyak juga,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, merujuk kepada seluas 7,038 hektar tanah yang telah diwartakan sebagai Rizab Tanah Orang Asli dengan tambahan lagi 8,958 hektar diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri yang sedang dalam proses pengwartawaan.

“Tapi, saya telah berbincang dengan rakan-rakan dan Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan membuat keputusan segera iaitu tapak-tapak perumahan seluas suku ekar, kita akan beri surat hakmilik tanah,” katanya yang ditemui media sebaik-baik selesai majlis tersebut.

LAGI RUNGUTAN DIDENGARI... Dan menurut Dato' Sri DiRaja Adnan, biarlah perjumpaan-perjumpaan sebegini memenuhi matlamatnya dengan misalnya pada kali ini, jika 40 masalah dibangkitkan, janganlah jumlah yang sama masih diutarakan pada majlis akan datang. Harapannya ialah, masalah itu akan berkurangan dek kerana tindakan berkesan Kerajaan telah laksanakan.


SUKAT IKUT ATAS TANAH

“Dan kerja sukat-menyukat ini,” tegasnya, “… akan dijalankan mengikut ketepatan di atas tanah. Maknannya, kita tidak pakai ikut lukisan, pelan atas meja, tidak. Tapi, pergi ke bawah, kita tentukan mana tapak yang dimiliki oleh siapa, diduduki oleh siapa, kita akan berikan berdasarkan kedudukan di atas tanah”.

Ketika ditanya tentang tarikh pelaksanaan keputusan ini katanya; “Kita akan buat serta-merta. Saya akan bermesyuarat Exco (MMK Negeri) sekejap lagi, kita akan buat keputusan dan minit mesyuarat itu dihantar kepada JAKOA dan juga Pejabat Tanah setiap daerah”.

Adalah difahamkan juga, keputusan ini adalah praktikal dan ‘doable’ terutamanya bagi  masyarakat Orang Asli yang mempunyai pendapatan berpatutan menerusi penglibatan dalam misalnya projek Tanam Semula Komersil (TSK).

Dengan pendapatan inilah, mereka mampu untuk menanggung kos kerja ukur serta pembayaran premium tanah bagi pemilikan tanah-tanah tersebut, yang dianggarkan antara RM2,000 dan RM3,000.

Dan menurut rekod Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri, selain keluasan  15,996 hektar tanah (7,038 hektar telah diwartakan, lagi 8,958 sudah MMK Negeri luluskan untuk pengwartaan) yang telah dirizabkan sebagai Tanah Orang Asli;

SUASANA CERIA SEPANJANG MAJLIS PETANG JUMAAT INI... 


SISTEM SAHAM UNTUK TANAH LADANG

Seluas 1,358 hektar lagi merupakan tanah hakmilik menerusi dasar Rancangan Tanah Kelompok (RTK) yang daripadanya, kira-kira 61 hektar merupakan tanah tapak rumah dan selebihnya, 1,297 hektar ialah tanah lot pertanian.

Dato’ Sri DiRaja Adnan juga berkata, Kerajaan Negeri bagaimanapun tidak bercadang untuk mengeluarkan suratan hakmilik bagi tanah-tanah ladang bagi mengelak daripada aktiviti menjual semula tanah-tanah ladang tersebut.    

Sebaliknya, sistem saham akan dilaksanakan dengan setiap keluarga Orang Asli yang terlibat, akan memperolehi dividen keuntungan daripada penghasilan ladang-ladang yang dibangunkan.

“Katalah ada 60 ekar, kongsi 10 orang – enam (6) ekar seorang (tapi) dia tak tahu tanah dia di mana, sebab system saham. Kalau kita tentukan dia enam (6) ekar, enam (6) ekar, takut lepas setahun dia jual. Tengok-tengok, orang lain pula yang tinggal di situ,” katanya lagi.

Menjawab rungutan tentang masalah bekalan air ke kampung-kampung Orang Asli di seluruh negeri, beliau menegaskan betapa peruntukan RM16 juta oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) untuk menanganinya adalah tidak mencukupi dan beliau akan meminta peruntukan ini dinaikkan.

SIJIL DAN WANG TUNAI BUAT 10 PELAJAR ORANG ASLI CEMERLANG UPSR... Selain Dato' Sri DiRaja Adnan; yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Sri Shahiruddin; dan, Encik Isa. 

Foto ini dirakam bersama-sama dengan 10 pelajar Orang Asli yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR baru-baru ini, dengan mendapat kesemua 5A. Selain sijil, masing-masing menerima wang tunai RM750 sumbangan Dato' Sri DiRaja Adnan sendiri (RM500); serta JAKOA (RM150); dan, Yayasan Pahang (RM100). 


BERI PENDAHULUAN BULANAN RM300

Mengenai masalah bekalan air dihadapi oleh Orang Asli di Kampung Tanam, Muadzam Shah, Rompin yang tanah asal mereka telah dibangunkan dengan sebuah projek penanaman nanas besar-besaran menerusi Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) katanya;

Beliau akan menghubungi pengurusan berkenaan meminta agar penduduk kampung tersebut dibenarkan untuk mendapatkan bekalan air daripada punca yang sama yang pemaju projek nanas berkenaan dapatkan bekalan air bagi tanaman berkenaan.

“Saya nak cadangkan kepada ECER – pada hari Isnin ini saya akan hubungi pihak berkenaan supaya pertama sekalinya; bekalan air itu mesti dibenarkan Orang Asli mengambil bekalan air dari mana pemaju projek nanas tersebut dapat bekalan air mereka. Mesti bekalan itu dapat disalurkan kepada Orang Asli, 70 rumah sahaja.

“Dan yang keduanya, pendahuluan kepada masyarakat Orang Asli ini mesti diberi. Kita tak boleh tunggu hasil (tanaman nanas itu) keluar baharu diberi kepada mereka. Mereka (telah) hilang pendapatan.

“Saya hendak mendesak supaya pihak ECER sekurang-kurangnya memberi RM300 sebulan kepada setiap keluarga sementara menunggu hasil dikeluarkan pada bulan April tahun depan,” katanya.

Yang turut hadir pada majlis petang Jumaat ini ialah Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Shahiruddin Ab Moin; JuruteraAwam  Kanan Bahagian Teknikal, KKLW, Encik Mat Rodi Junoh; serta, Pengarah, JAKOA Negeri, Encik Isa Hamid. 

MELAYANI MESRA, MEDIA... Dato' Sri DiRaja Adnan yang juga Pengerusi, Jawatankuasa Hal Ehwal Orang Asli Negeri - satu-satunya Menteri Besar yang sanggup memegang portfolio ini dan beliau kelihatan selesa dengannya apatah lagi masyarakat Orang Asli sekelian; kelihatan sedang melayani pihak media sambil Batin-batin serta Encik Isa, memerhatikan.  – Khabar