Tuesday, 26 July 2016

UMNO Pahang sekali lagi tegaskan sokongan penuhnya kepada Presiden parti

“Prinsip kita mudah. Kalau Presiden tidak disokong, kita nak sokong siapa lagi?

“Dari dulu sampai sekarang, sejak UMNO ditubuhkan; Presiden sentiasa disokong oleh ahli-ahli untuk mengukuhkan parti bagi menghadapi pilihanraya seterusnya,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan

MESRA DENGAN PENERIMA/PENEROKA... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang berbual mesra dengan pasangan penerima pada pagi Selasa ini. Yang turut kelihatan ialah (dari kiri) Dato' Abu Bakar; Dato' Abdul Manan; Encik Shahrizal; dan, Encik Mohd Hasrin.  


PERKARANGAN DEWAN SERBAGUNA, RANCANGAN TANAH FELDA SUNGAI PANCHING TIMUR, KUANTAN – Badan Perhubungan UMNO Negeri sekali lagi menegaskan sokongan penuhnya kepada Presiden parti dalam pada isu mengenai 1MDB terus diperkatakan.

“UMNO Negeri Pahang memberikan sokongan penuh kepada Presiden parti. Prinsip kita mudah. Kalau Presiden tidak disokong, kita nak sokong siapa lagi?

“Dari dulu sampai sekarang, sejak UMNO ditubuhkan; Presiden sentiasa disokong oleh ahli-ahli untuk mengukuhkan parti bagi menghadapi pilihanraya seterusnya,” kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob yang juga Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri.

Beliau berkata demikian pada persidangan media sempena Majlis Penyampaian Suratan Hak Milik Tanah kepada Peneroka Felda Sungai Panching Timur Peringkat 03 pagi Selasa, 26 Julai, di sini.

Kata-katanya ini sebagai menjawab soalan wartawan mengenai isu 1MDB, terbaru; ekoran persidangan media mengenainya oleh Peguam Negara Amerika Syarikat, Loretta Lynch pada Rabu, 20 Julai lepas.     

LAGI PENEROKA TERIMA SURATAN HAK MILIK TANAH DARIPADA MENTERI BESAR KITA... 


AHLI UMNO WAJIB SOKONG PRESIDEN

“Ini bukan soal peribadi. Bukan soal peribadi, bukan soal emosi. Tapi ini berdasarkan kepada pemikiran yang rasional.

“Dari dahulu lagi – zaman Almarhum Tunku (Abdul Rahman), Allahyarham Tun Razak (Hussein), Tun Hussein (Onn), zaman Tun Dr Mahathir (Mohamad), zaman Tun Abdullah (Ahmad Badawi), dan sekarang ini zaman Dato’ Sri Najib Tun Razak; ahli UMNO wajib menyokong Presiden parti,” tegas Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi.

“Sejarah UMNO juga menunjukkan, kalau Presiden UMNO itu disokong, siapapun – walaupun Timbalan Presiden itu kuat, kuat sangat; takkan menang lawan Presiden,” katanya lagi.

Beliau seterusnya menyarankan agar rakyat khususnya ahli-ahli UMNO, dapat mengikuti perkembangan terbaru ini dengan hati terbuka, kepala yang dingin, sambil mendapatkan maklumat sahih mengenainya.

“… kemudian itu, terpulang kepada undang-undang untuk mengambil tempat. Biarlah undang-undang berjalan, berkuatkuasa. Kita jangan campuri,” katanya.

DALAM KALANGAN HADIRIN SEKELIAN... 
 

JEMPUT PAKAR BERI PENJELASAN

Bagi dirinya sendiri kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi, beliau berpuas hati tentang perjalanan 1MDB sambil memberi analogi; “Kalau 1MDB keluar duit, kemudian itu dapat balik, tak ada masalah.

“Macam bank pinjamkan wang, dia dapat duit dia (bank berkenaan) balik. Apa yang dibuat oleh peminjam kepada wang yang dipinjam itu, itu cerita lain”.

Kepada soalan lanjutan, beliau memberitahu tentang majlis-majlis penerangan yang akan dianjurkan di negeri ini dengan menjemput mereka yang pakar mengenainya supaya rakyat faham isu yang sedang dihadapi sekarang.    

Beliau juga menyarankan agar artikel mengenai isu yang sama oleh seorang yang bernama Lim Sian See, dibaca kerana apa yang diutarakan oleh penulis itu adalah mantap, kukuh dan meyakinkan.

“Jadi, kita bacalah dahulu, tahu fakta-fakta baru kita keluar kenyataan. (Artikel oleh) Lim Sian See sangat meyakinkan.

MENGHADAPI DAN MELAYANI MEDIA... Selain Dato' Sri DiRaja Adnan yang sedang menerangkan sesuatu pada persidangan media ini; serta, (duduk dari kiri) Dato' Abdul Manan, Dato' Abu Bakar, dan Dato' Mohd Zaili (sebelah kiri Dato' Sri DiRaja Adnan, separuh terlindung) ialah; 

(berdiri dari kiri) Encik Abu Samah, Dato' Suhaimi, Encik Shahrizal dan Encik Mohd Hasrin.  
 

BIARLAH UNDANG-UNDANG MENGAMBIL TEMPATNYA

“Seperti kata YAB Perdana Menteri, biarlah undang-undang mengambil tempat. Itulah ulasan saya,” kata Menteri Besar itu lagi.

Beliau seterusnya secara sinis menempelak kumpulan yang mahu menganjurkan Bersih 5.0 kononnya sebagai tanda bantahan kepada Kerajaan pimpinan Perdana Menteri akibat daripada gejala 1MDB.

“Saya minta maaflah, saya bukan takbur. Dia orang nak buat Bersih 150pun tak ada hal. Kita ada polis, kita ada… Jangan ganggu (keamanan), jangan tumpah darah sudahlah,” katanya.  

Diminta mengulas lanjut katanya, sepertimana perhimpunan Bersih yang lepas-lepas, penganjurannya sekadar sebagai pernyataan perasaan sekumpulan rakyat yang jika mereka dapat mengumpulkan 150,000, 200,000 orang, Barisan Nasionalpun boleh menghimpunkan sehingga 400,000 orang.

“Tapi, kita banyak kerja lain. (Penganjurannya mungkin) bagus daripada segi penjanaan ekonomi - orang makan (di kedai-kedai sekitar kawasan perhinmpunan), alat-alat semua laku. Tapi, teksi tak dapat cari makan, jalan ‘jam’, orang nak pergi ke kedai tak dapat,” tempelaknya.

85 PERATUS PENEROKA PAHANG SUDAH TERIMA GERAN TANAH

Pada awal persidangan media, Dato’ Sri DiRaja Adnan jelas berbangga dengan hakikat betapa, 85 peratus daripada kira-kira 44,000 peneroka Felda di Pahang kini, telahpun menerima suratan hak milik tanah masing-masing.

Pencapaian ini menurutnya, mengatasi peringkat nasional yang mana, 80 peratus daripada daripada 112,635 peneroka seluruh negara yang telahpun menerma suratan hak milik tanah masing-masing.

Yang turut hadir pada majlis pagi Selasa ini ialah Pengerusi, Jawatankuasa Hal Ehwal Felda Negeri, Dato’ Abu Bakar Harun; wakil rakyat Parlimen, Dato’ Abdul Manan Ismail (BN – Paya Besar); wakil rakyat-wakil rakyat negeri – Dato’ Mohd Zaili Besar (BN – Panching) dan Dato’ Mohd Suhaimi Jusoh (BN – Lepar);

Pengarah Tanah Felda, Encik Shahrizal Mohd Saleh; Pengurus Besar, Felda Wilayah Kuantan, Encik Mohd Hasrin Ismail; dan, wakil peneroka Felda Sungai Panching Timur, Encik Abu Samah Kassim.

Pada majlis ini, 63 peneroka dari peringkat 03 dan yang terakhir di Felda Sungai Panching Timur ini, menerima suratan hak milik tanah masing-masing daripada Dato’ Sri DiRaja Adnan.

Bagi peringkat 01, melibatkan seramai 220 orang, telahpun menerimanya pada tahun 1995; manakala bagi peringkat 02, seramai enam (6) orang, telahpun menerimanya pada tahun 2003. – Khabar