Saturday, 14 July 2018

“(Ia) satu amanah besar yang perlu dipikul apatah pula dengan landskap politik yang berubah,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy.


Beliau diumumkan sebagai Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang yang baharu menggantikan Dato’ Sri DiRaja Adnan.

PELANTIKAN BAHARU... 

Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan pelantikannya sebagai Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri yang baharu sebagai amanah besar yang perlu dipikul, dengan berlatar belakangkan keadaan politik negara yang sudah berubah.

Sambil itu beliau berharap agar rakan-rakannya dalam UMNO – pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli keseluruhan khususnya di Pahang; dapat membantunya dalam menjalan dan menunaikan amanah dan tanggungjawab tersebut.

“(Ia) satu amanah besar yang perlu dipikul apatah pula dengan landskap politik yang berubah,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy sebagai reaksi kepada pengumuman pelantikannya ke jawatan tersebut oleh Presiden UMNO, Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi petang Sabtu, 14 Julai ini.

“(Saya ber)harap, (akan men)dapat sokongan rakan-rakan (pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli) UMNO untuk membantu,” katanya lagi yang juga Ketua UMNO Bahagian Cameron Highlands .

Pengumuman Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid ini dibuat dalam satu kenyataan media yang disiarkan oleh portal berita milik UMNO Malaysia – UMNO Online, di bawah tajuk Zahid Umum Ahli Majlis Tertinggi Lantikan dan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri.

'BE YOUR OWNSELF'... Semoga kepimpinan baharu oleh Dato' Sri Wan Rosdy dapat berikan semangat yang diperbaharukan buat pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli UMNO Pahang sekelian.  


SATU PILIHAN YANG TEPAT

Untuk Pahang, selain Dato’ Sri Wan Rosdy; yang turut dilantik ialah Ahli Parlimen Rompin yang juga Ketua UMNO Bahagian Rompin, Dato’ Hasan Ariffin sebagai Timbalan Pengerusi; dan, Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Dato’ Sri Ab Hamid Nazahar atau lebih popular dengan panggilan Hamid Mandela, sebagai Setiausaha.

Sementara itu, dalam reaksinya kepada ‘follow-up’ oleh wartawan Utusan Malaysia, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob telah dilaporkan mengalu-alukan pelantikan Dato’ Sri Wan Rosdy ini.

Dato’ Sri DiRaja Adnan yang menerajui Badan Perhubungan Negeri sejak empat (4) penggal lepas, percaya yang Dato’ Sri Wan Rosdy mampu menggalas tanggungjawab ini dengan baik.

“Satu pilihan yang tepat kerana beliau seorang Menteri Besar yang jujur, ikhlas dan bijaksana. Sangat sesuai,” sepertimana Dato’ Sri DiRaja Adnan kata mengenai penggantinya. – Khabar