“Tindakan kita
ini bukan bermakna bahawa kita ini tak ada duit sangat, ‘no’.
“Ini adalah
untuk mengelakkan mereka terus dengan tunggakan yang lebih besar dari semasa ke
semasa, sehingga menyebabkan satu ketika esok, mereka tidak lagi mampu untuk
membayar,” kata Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail.
DATO' SRI MUHAMMAD SAFIAN... Ketua jentera pelaksana kita, setelah arahan dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri mengenai tunggakan hasil tanah dan sewaan PAKR yang perlu dilaksanakan dengan berkesan dan jayanya.
BILIK GERAKAN
NEGERI, TINGKAT 7, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Pentadbiran Negeri hari ini mengumumkan
langkah serta-merta yang akan diambil bagi mendapatkan semula kira-kira RM123.32 juta tunggakan-tunggakan cukai-cukai tanah dan taksiran am, serta sewaan
Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) seluruh Pahang.
Tunggakan-tunggakan
ini ada yang sejak lebih 40 tahun (sejak 1970-an) seperti di bawah cukai
taksiran am atau cukai pintu; serta purata tiga (3) tahun dan empat (4) tahun
bagi masing-masing cukai tanah (quit rent) dan sewaan PAKR.
Menurut
pecahan, RM123.32 juta ini meliputi RM63.54 juta bagi tunggakan cukai tanah
(quit rent); RM50.04 juta bagi tunggakan cukai taksiran am atau cukai pintu;
dan, RM9.74 juta bagi tunggakan sewa PAKR.
Bagi
yang masih gagal membayar tunggakan-tunggakan ini dalam tempoh-tempoh yang ditentukan;
tindakan akan dikenakan antaranya ialah rampasan tanah dan rumah bagi
tunggakan-tunggakan cukai tanah dan sewa PAKR, dan, penyitaan ke atas
premis-premis bagi tunggakan cukai taksiran am.
Ini
dinyatakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail
pada persidangan media khas mengenai tunggakan-tunggakan hasil negeri petang Jumaat,
6 Julai di sini.
DIBERI
TEMPOH-TEMPOH ‘REASONABLE’
“Dan saya sangat
mengharapkan orangramai, orang-orang yang terlibat; supaya mengambil tindakan
sewajarnya. Kita akan berikan tempoh-tempoh yang ‘reasonable’ untuk mereka
membayar,”
katanya.
“Tindakan kita
ini bukan bermakna bahawa kita ini tak ada duit sangat, ‘no’. Ini adalah untuk
mengelakkan mereka terus dengan tunggakan yang lebih besar dari semasa ke
semasa, sehingga menyebabkan satu ketika esok, mereka tidak lagi mampu untuk
membayar.
“Kita tidak
mempunyai pilihan lain, dan ini juga sejajar dengan konsep kita untuk
menguatkuasakan undang-undang di negeri Pahang ini. Dan kita mengharapkan juga
semua jabatan/agensi yang berkaitan dengan tindakan-tindakan sebagaimana saya
nyatakan tadi, dapat mempersiapkan diri masing-masing untuk mula mengambil
tindakan,”
tegasnya.
Berkaitan
tunggakan cukai tanah katanya, Pentadbiran Negeri akan mengelurkan notis kepada
semua pemilik tanah yang berkenaan supaya menjelaskan tunggakan-tunggakan itu dalam
tempoh-tempoh yang diberikan.
“Untuk maksud
ini, kegagalan seseorang itu membayar boleh mengakibatkan tanah ini diambil
balik, dalam ertikata mengikut undang-undang – dirampas balik (berdasarkan
Notis 8A) selepas kita mengeluarkan Notis 6A.
PADA PERSIDANGAN MEDIA KHAS PETANG JUMAAT... Selain Dato' Sri Muhammad Safian; antara yang turut kelihatan ialah Dato' Indera Roslan (berbaju kebangsaan, bersongkok) dan Dato' Indera Nazri (di sebelahnya).
PROSES RAMPAS TANAH
ANTARA 3 DAN 5 BULAN
“Proses hendak
mengambil balik ini mengambil masa lebih kurang tiga (3) hingga lima (5) bulan,” katanya sambil
berkata, sasaran utama ialah terhadap mereka yang tunggakannnya terlalu lama
serta yang nilainya besar.
Sasaran
juga menurutnya, ialah ke atas 141 pelbagai jenis syarikat yang mempunyai
tunggakan melebihi RM10,000, dengan nilai tunggakan RM22.655 juta melibatkan 361
keping geran tanah.
Antara
langkah yang akan diambil untuk menangani masalah tunggakan hasil tanah katanya,
ialah cadangan penurunan kuasa kepada Pentadbir Tanah bagi pembayaran tunggakan
cukai tanah dan denda lewat secara ansuran, berdasarkan Kaedah 24 (2) Kaedah
Tanah Pahang (KTP) 1992.
Begitu
juga katanya, dengan pemasangan papan tanda, poster peringatan membayar cukai tanah
di tempat-tempat strategik seperti persimpangan-persimpangan jalan, taman-taman
perumahan, kawasan industri, balairaya, masjid, surau dan lain-lain tempat yang
bersesuiaan.
Mengenai
tunggakan sewa PAKR pula katanya, ia melibatkan 86 projek di seluruh negeri ini
yang mana rumah-rumah ini telahpun diberi kepada rakyat golongan berpendapatan
rendah dengan ‘end financing’nya disediakan oleh Kerajaan Negeri.
RUMAH GAH TAPI
MASIH TAK BAYAR HUTANG
“Untuk ini, kita
juga akan mengeluarkan notis-notis kutipan kepada pemilik-pemilik rumah kos
rendah yang gagal menjelaskan bayaran bulanan mereka. Ini juga kita mengikutkan
tempoh masa,”
tegasnya.
“Dan tindakan
yang boleh kita ambil ialah, ‘lead’ kepada perampasan rumah juga. Tapi, kita
tengok dulu rumah-rumahnya. Kerana, ada rumah-rumah kos rendah ini tak nampak ia
sebagai seorang rumah kos rendah. Rumahnya begitu gah, tapi masih tak bayar
hutang.
“Tapi kalau kita
tengok rumah dia tu memang, daripada mula beli rumah murah sampai sekarang
keadaannya masih begitu, yang itu kita akan cari kaedah untuk (mereka) menjelaskan
bayaran-bayaran tunggakan mereka. Kita lebih bertolak ansur daripada segi itu,” kata Dato’ Sri
Muhammad Safian lagi.
Antara yang turut hadir pada persidangan
media khas ini ialah Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Indera Roslan Harun;
Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; serta Yang
Dipetua-Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Daerah-daerah dan Majlis Daerah;
serta, Pegawai-pegawai Daerah. – Khabar