“Di
dalam kelapa ada tombong,
Mari
disimpan di dalam peti,
Tidak
dihairan orang yang sombong,
Orang
hormat dek kerana budi”.
MENTERI BESAR DAN BEKAS MENTERI BESAR, DENGAN SEBAHAGIAN ANGGOTA EXCO KERAJAAN NEGERI... Yang turut menyertai sesi berfoto kumpulan ini ialah Timbalan Yang Dipertua Dewan Negeri, Dato' Mohamad Jaafar (kiri sekali).
DEWAN NEGERI, WISMA
SRI PAHANG, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy
Wan Ismail telah menarik perhatian wakil rakyat sekelian dengan bacaan pantun
serta beranalogi, ketika menyampaikan Ucapan Penangguhan sempena berakhirnya
Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri ke-14 petang Jumaat, 27 Julai di sini.
Persidangan ini telah berlangsung selama
lima (5) hari, bermula dengan Istiadat Pembukaan yang telah disempurnakan oleh
KDYMM Pemangku Raja Pahang pada pagi Isnin, 23 Julai yang lepas.
Dato’ Sri Wan Rosdy sendiri yang mula
dikenali kini dengan sikap berhemah, ‘cool-headed and soft-spoken’ dan tidak meninggi diri
apatah lagi sombong, telah mendeklamasikan pantun empat (4) keratnya seperti
berikut;
“Di
dalam kelapa ada tombong,
Mari
disimpan di dalam peti,
Tidak
dihairan orang yang sombong,
Orang
hormat dek kerana budi”.
Dan pantunnya ini segera mendapat
reaksi positif dengan ada dalam kalangan anggota kumpulan ‘WhatsApp’ tertentu,
telah memperkatakannya, termasuk yang membuat teka-teki daripadanya.
BERSAMA-SAMA AHLI-AHLI YANG BERHORMAT PEMBANGKANG... CUKUP TUJUH (7) WAKIL RAKYAT PEMBANGKANG DARI PAKATAN HARAPAN YANG MERUPAKAN AHLI-AHLI DAP.
IBARAT
MENGURUS MAJLIS KENDURI KAHWIN
Lanjutan itu, beliau yang kali kedua
hadir pada persidangan Dewan Negeri ke-14 ini selaku Menteri Besar, telah
menyatakan penghargaan dan terima kasihnya kepada semua yang terlibat, dalam
menjayakan persidangan kali ini lalu beranalogi;
“…
yang saya ibaratkan, menguruskan kenduri kahwin; Majlisnya berjalan lancar,
nasi minyaknya tak lembik, lauknya cukup, gulainya sedap, mempelai pengantin
tiba tepat waktunya.
“Tetamu
datang beradab, penyambut tetamunya mesra, yang bersilat tidak berkelahi
menghunus keris; maka, senanglah hati tuanrumahnya.
“Tuanrumahnya
– itulah saya, dan saya amat bersyukur dengan segala-galanya, Alhamdulillah,” katanya yang mendapat perhatian sepenuhnya oleh wakil
rakyat-wakil rakyat daripada kedua-dua pihak Kerajaan dan pembangkang.
Berikut disarkan sebahagian lagi
kata-kata penghargaannya terhadap mereka yang berkenaan;
PENGHARGAAN
DAN TERIMA KASIH BUAT SEMUANYA
“Mengambil kesempatan berada pada
penghujung persidangan kita kali ini, sukacita saya ucapkan tahniah dan terima
kasih kepada Yang Berhormat Yang Dipertua Dewan dan Yang Berhormat Timbalan Yang
Dipertua Dewan, sehinggalah kepada Yang Hormat Setiausaha Dewan serta
kakitangan-kakitangan di bawahnya.
“Atas komitmen tinggi dan kerja
keras merekalah – ada yang masih bekerja hingga ke malam selepas tamat setiap
hari persidangan; maka persidangan Dewan ini dapat berjalan lancar.
“Ucapan terima kasih juga ialah
kepada Yang Hormat Ketua-ketua Jabatan Kerajaan serta Agensi Kerajaan yang
telah hadir setiap hari, serta menyediakan butiran yang diperlukan kepada pihak
Kerajaan untuk menjawab pertanyaan-pertanyaan yang dibangkitkan.
“Saya turut berterima kasih kepada
anggota-anggota Tentera Udara Diraja Malaysia yang telah melakukan perbarisan
pada hari Istiadat Pembukaan, selain anggota-anggota polis yang memberikan
khidmat keselamatan, serta kru kesihatan dengan sebuah ambulans ‘standby’, demi
menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada yang memerlukan.
“Tidak lupa terima kasih saya kepada
kakitangan Jabatan Kerja Raya (J.K.R) dan Majlis Perbandaran Kuantan (M.P.K),
yang berperanan dalam penyediaan tapak serta hiasan pada hari Istiadat Pembukaan.
BUAT KENANG-KENANGAN... Selain Dato' Sri Wan Rosdy dan Dato' Sri DiRaja Adnan Yaakob, ialah wakil rakyat, Encik Mohd Sofian Abdul Jalil (PAS - Luit) yang merupakan adik kepada bekas Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato' Ahmad Munawar Abdul Jalil.
TEPATI
JADUAL ASAL TEMPOH 5-HARI BERSIDANG
“Last but not least’, sudah tentulah
ucapan terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat sekelian, yang secara
berhemah dan budiman (gentleman), berbahas dan terlibat aktif dalam sesi
soal-jawab.
“Dengan sikap hemah dan budiman
inilah, paling tidak, jadual asal kita untuk menyudahkan persidangan kita ini
dalam tempoh lima (5) hari sahaja – tanpa perlu dipanjangkan; dapat terlaksana.
“Tahniah pula kerana menghormati
persidangan Dewan – dengan menghormati Yang Berhormat Yang Dipertua dan Timbalan
Yang Dipertua, serta Ahli-ahli Yang Berhormat; telah menunjukkan kematangan dan
kebijaksanaan Ahli-ahli Yang Berhormat semua.
“Sesungguhnya kita juga haruslah
sedar betapa, akhlak itu adalah pakaian kita selamanya, budi-bahasa
melambangkan jiwa mulia, dan tutur-kata menggambarkan isi dalam dada.
“Selepas ini, saya berharap, kembalilah Ahli-ahli
Yang Berhormat sekelian ke kawasan masing-masing dan berkhidmatlah
sebaik-baiknya demi memastikan kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat yang
kita masing-masing wakili.
“Semoga kita dapat berjumpa lagi,
dalam suasana yang serupa sepertimana tempoh persidangan lima (5) hari ini;
pada persidangan yang akan datang pula, insyaAllah”. – Khabar.