“Dan, satu dasar
telahpun dibuat oleh Kerajaan Persekutuan; apabila kita strukturkan semula bekalan air di negeri Pahang ini maka secara
otomatiknya, RM2.2 billion tadi akan dilupuskan bukan sebagai hutang,” kata
Setiausaha Kerajaan Negeri.
BILIK GERAKAN
NEGERI, TINGKAT 7, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Sebanyak RM2,200 juta perbelanjaan
berkaitan air daripada RM3,200 juta hutang Kerajaan Negeri dengan Kerajaan
Persekutuan akan lupus, menjadi geran; dengan berlakunya penstrukturan bekalan
air kelak.
Demikian
kata Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail pada
persidangan media khas mengenai tunggakan hasil negeri petang Jumaat, 6 Julai
di sini.
“Kita berhutang
dengan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM3.2 billion. Kita tak ada masalah sangat
nak membayarnya kerana, pertama ialah, daripada jumlah itu, RM2.2 billion
adalah untuk bayaran berkaitan dengan bekalan air.
“Dan, satu dasar
telahpun dibuat oleh Kerajaan Persekutuan; apabila kita strukturkan semula bekalan air di negeri Pahang ini maka secara
otomatiknya, RM2.2 billion tadi akan dilupuskan bukan sebagai hutang.
“Jadi kita dalam
proses sekarang ini, menstrukturkan pengurusan PAIP ini. Kita punyai agensi
yang berkaitan dengan air ini ialah PAIP – Pengurusan Air Pahang Bhd. So bila
kita strukturkan semula esok, semua ini akan dijadikan sebagai geran.
PINJAM DIANGGAP HUTANG
RM200 JUTA BAIKI KEMUDAHAN SEMASA SUKMA
“Jadi, RM2.2
billion hutang tadi, habis. Tinggal RM1 billion lagi,” katanya dan
menambah betapa baki hutang RM1,000 juta ini pula ialah berkaitan tiga (3)
perkara; pembinaan rumah kos rendah, penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) dan
perbelanjaan semasa banjir besar beberapa tahun lepas.
Dengan
tindakan Kerajaan Negeri untuk mengutip semula tunggakan sewa Perumahan Awam
Kos Rendah (PAKR) yang berjumlah RM9.74 juta katanya, boleh digunakan untuk
membayar kembali hutang di bawah kategori ini.
Semasa
penganjuran SUKMA pula katanya, pinjaman kira-kira RM200 juta untuk pembinaan kemudahan
sukan seperti kolam renang dan lapan sasar menembak serta kerja-kerja pembaikan
stadium telah dianggap sebagai hutang.
Begitu
juga semasa negeri ini dilanda banjir besar beberapa tahun lepas, apabila
pinjaman sebanyak RM40 juta untuk menanganinya kata Dato’ Sri Muhammad Safian,
juga dianggap Kerajaan Persekutuan sebagai hutang.
“Kita sekarang
merayu kepada Kerajaan Persekutuan supaya menganggap ia sebagai geran, tidak
sebagai hutang.
BAKI HUTANG
SEPATUTNYA TINGGAL RM760 JUTA
“Jadi, kalau ada
hutangpun, ‘balance’nya adalah lebih kurang RM760 juta. RM760 juta ini kita ada
cara kita, termasuklah kita akan mengutip hutang-hutang kita dengan TNB
umpamanya.
“Sebab dia (TNB)
menggunakan air untuk ‘generate power’ – air di Cameron Highlands, air di
Empangan Tekai. Kita akan tuntut bayaran. Diapun berhutang juga dengan kita,” katanya lagi.
‘Berapa
lamakah tempoh untuk selesaikan perkara ini?’ tanya susulan wartawan kanan
Berita Harian, dan Dato’ Sri Muhammad Safian secara spontan menjawab, “Saya diberi mandat oleh Kerajaan Negeri
baru-baru ini, selesaikan sebelum hujung tahun ini”. – Khabar