Friday 11 October 2019

Syukur Belanjawan 2020 turut umum manfaat langsung kepada Pahang


“Menerusi peruntukan RM69.5 juta kepada Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) untuk meningkatkan lagi taraf infrastruktur Pelabuhan Kuantan, ia adalah berselari dengan usaha giat Kerajaan Negeri dalam mewujudkan sebuah lagi kawasan perindustrian seluas kira-kira 1,215 hektar (3,000 ekar) sebagai Taman Perindustrian Antarabangsa Kuantan (KIIP) berhampiran pelabuhan tersebut,” kata Menteri Besar.

DALAM KENANGAN... Bekas Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Razak Hussein sedang meninjau kerja-kerja awal dalam membangunkan Rancangan Tanah Felda. 

kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menyatakan kesyukuran betapa Belanjawan 2020 yang dibentangkan di Parlimen petang ini, Jumaat, 11 Oktober turut mengumumkan perkara-perkara positif berkaitan Pahang.

Antaranya ialah peruntukan RM810 juta bagi hal-hal berkaitan kebajikan masyarakat di Rancangan Tanah Felda yang mana Pahang mempunyai peneroka teramai di negara ini iaitu kira-kira seramai 43,124 orang.

Begitu juga peruntukan RM69.5 juta bagi kerja-kerja meningkatkan lagi taraf infrastruktur Pelabuhan Kuantan, serta pengumuman untuk membina kembali klinik-klinik kesihatan termasuk di Cameron Highlands.

“Menerusi peruntukan RM69.5 juta kepada Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) untuk meningkatkan lagi taraf infrastruktur Pelabuhan Kuantan, ia adalah berselari dengan usaha giat Kerajaan Negeri dalam mewujudkan sebuah lagi kawasan perindustrian seluas kira-kira 1,215 hektar (3,000 ekar) sebagai Taman Perindustrian Antarabangsa Kuantan (KIIP) berhampiran pelabuhan tersebut,” katanya.

Berikut ialah kenyataan media penuh Dato’ Sri Wan Rosdy sepertimana didikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar sebaik-baik tamat ucapan Encik Guan Eng yang bermula 4.05 petang, pada 6.25 petang.

KENYATAAN MEDIA

Saya bersyukur kerana Belanjawan 2020 yang dibentangkan selama 2 jam 20 minit oleh Menteri Kewangan, Encik Lim Guan Eng pada petang ini, turut mengumumkan perkara-perkara positif yang berkaitan langsung dengan Pahang.

Misalnya, peruntukan kira-kira RM810 juta termasuk RM100 juta untuk bekalan air dan RM 70 juta bagi perumahan generasi baharu demi menjagai kebajikan masyarakat Felda adalah dialu-alukan, yang tentunya akan dimanfaati oleh kira-kira 43,124 peneroka – jumlah paling ramai di negara ini; serta anggota keluarga mereka yang terdapat di Rancangan Tanah-Rancangan Tanah Felda di negeri ini.

Menerusi peruntukan RM69.5 juta kepada Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) untuk meningkatkan lagi taraf infrastruktur Pelabuhan Kuantan, ia adalah berselari dengan usaha giat Kerajaan Negeri dalam mewujudkan sebuah lagi kawasan perindustrian seluas kira-kira 1,215 hektar (3,000 ekar) sebagai Taman Perindustrian Antarabangsa Kuantan (KIIP) berhampiran pelabuhan tersebut.

Dengan ini, sudah pasti menjadi penggalak tambahan (additional booster) kepada bakal-bakal pelabur untuk mendirikan kilang-kilang mereka di KIIP, selain kawasan perindustrian lain yang berdekatan seperti di Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) 1, 2 dan 3.

Menerusi Pelabuhan Kuantan yang dinaikkan tarafnya lagi, sudah pasti memudahkan kerja-kerja pengangkutan masuk dan pengangkutan keluar bahan-bahan serta barangan khususnya eksport ke Negara China terutamanya.

KLINIK KESIHATAN BAHARU DI TANAH RATA

Saya juga menyambut baik pengumuman untuk membina klinik-kilinik kesihatan baharu termasuklah sebuah di Cameron Highlands, yang mana klinik kesihatan sedia ada ialah di pekan kecil Tanah Rata.

Dengan ini saya berharap, semoga apa yang telah diumumkan oleh Menteri Kewangan dalam Belanjawan 2020 bertemakan – Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama Ke arah Kemakmuran Bersama ini, dapat direalisasikan khususnya di negeri ini . – Khabar