kamarSUA, WISMA
SRI PAHANG, KUANTAN
– Penganjuran Kongres Maruah Melayu (KMM) semalam membuktikan betapa tepatnya
langkah diambil oleh UMNO dan PAS dalam menganjurkan penyatuan ummah dan
Muafakat Nasional, kata Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau
yang turut hadir pada KMM tersebut berkata, kehadirannya dan pula mendengar
amanat oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, “… mengesahkan betapa
tindakan UMNO dan PAS yang lebih awal sebelum ini dalam mengusul dan menjayakan
gerakan penyatuan ummah kemudiannya Muafakat Nasional, adalah tepat sekali.
“Dan inilah juga
– penyatuan ummah dan Mufakat Nasional, merupakan intipati perjuangan kami
kerana melihat kepentingan orang Melayu di bawah Kerajaan Persekutuan pimpinan
Pakatan Harapan (PH) yang Tun Dr Mahathir ketuai, sudah terhakis teruk dan
tergugat,”
katanya yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO.
Berikut
disiarkan kenyataan media 15-perenggan oleh Dato’ Sri Wan Rosdy – yang juga
Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri, sepertimana dikeluarkan oleh Pejabat
Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar pagi Isnin, 7 Oktober di sini.
Atas
kesedaran tentang pentingnya perpaduan Melayu dan disebalik pandangan negatif
sesetengah pihak, saya telah hadir ke Kongres Maruah Melayu (KMM) bersama-sama Setiausaha
Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa serta 13 lagi ahli Majlis Tertinggi parti, pagi
semalam.
KEPENTINGAN
MELAYU TERHAKIS TERUK DAN TERGUGAT
Kehadiran
pada kongres anjuran Pusat Kecemerlangan Melayu, Universiti Malaya (UM) itu
serta mendengar sendiri amanat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, telah
mengesahkan betapa tindakan UMNO dan PAS yang lebih awal sebelum ini dalam
mengusul dan menjayakan gerakan penyatuan ummah kemudiannya Muafakat Nasional,
adalah tepat sekali.
Dan
inilah juga – penyatuan ummah dan Mufakat Nasional, merupakan intipati
perjuangan kami kerana melihat kepentingan orang Melayu di bawah Kerajaan
Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang Tun Dr Mahathir ketuai, sudah
terhakis teruk dan tergugat.
Oleh
kerana itulah juga agaknya, kenapa Tun Dr Mahathir sendiri dalam amanatnya pada
KMM tersebut antara lain menyebut, “Saya
nak mengaku di sini; Kerajaan walaupun dipimpin oleh orang Melayu tidak sekuat
keMelayuannya sekarang.
“Kalau dahulu
kita boleh harap kerana Kerajaan dipimpin oleh orang Melayu kerana orang Melayu
memang kuat. Tidak kuat kerana nak tak nak, kita kena ambil kira perasaan orang
lain”.
Oleh
kerana itulah juga, Kerajaan Persekutuan pimpinan PH yang diketuai Tun Dr
Mahathir, telah dilihat terlalu ‘accomodative’
serta ‘beri muka’ (ENG; give face) secara
tidak munasabah kepada kehendak-kehendak bukan Melayu.
CAKAP TAK SERUPA
BIKIN
Contoh
yang nyata ialah dengan melihat kepada komposisi kabinet yang dibentuk yang
mana, sungguhpun ada sebahagian daripada kementerian utama diterajui Menterinya
orang Melayu tetapi tidak dapat tidak, ada juga yang terpaksa dilepaskan kepada
bukan Melayu seperti Kementerian Kewangan dan Kementerian Komunikasi dan
Multimedia.
Oleh
kerana komposisi kabinet yang sebegitulah, maka berlaku seperti kata bidalan – ‘Bagaimana acuan, begitulah rupa kuihnya’.
Dan
Tun Dr Mahathir sendiri telah berkali-kali menyebut sebelum ini dan diulang
sebut buat kali terakhirnya pada KMM betapa orang Melayu semakin lemah akibat
parti politik yang mereka anggotai telah menjadi semakin banyak akibat
perpecahan.
Dalam
pada itupun, Tun Dr Mahathir telah membentuk kemudian mengetuai Parti Bersatu
yang dengan itu sendiri telah memperlihatkan betapa Tun Dr Mahathir telah ‘cakap tak serupa bikin’.
Sungguhpun
Parti Bersatu yang baharu ‘setahun
jagung’ ini terbentuk dan pula tidak mempunyai banyak kerusi dalam Kerajaan
PH, beliau masih diangkat sebagai Perdana Menteri yang tentunya kuasa
sepenuhnya tidak ada padanya.
NASI BELUM LAGI
MENJADI BUBUR
Oleh
kerana itulah maka kini beliau terpaksa mengeluh di depan kami para hadirin
pada KMM betapa, “… Kerajaan walaupun
dipimpin oleh orang Melayu tidak sekuat keMelayuannya sekarang”.
Namun
kepada saya, ‘nasi belum lagi menjadi
bubur’. Sepertimana kebimbangan dan kesayuan Tun Dr Mahathir telah luahkan pada
KMM semalam, itulah juga yang menjadi kebimbangan dan kesayuan saya dan
rakan-rakan saya.
Mungkin
selepas ini akan ada satu gerakan yang lebih besar bersama-sama demi
mengukuhkan kuasa keMelayuan kita yang dalam masa yang sama, tidak mengenepikan
hak-hak bukan Melayu sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Negara.
Dan
saya amat percaya kepada pepatah – sesudah ‘biduk
berlalu,’ maka ‘kiambang’pun
pastinya akan ‘bertaut’lah juga, dan
kembalilah Melayu pada persada kuasa yang sepatutnya di atas tanah tumpah darah
kita yang asalnya bernama Tanah Melayu, In Sya Allah. – Khabar