Wednesday 2 October 2019

YAM Tengku Muda, Menteri Besar terima menghadap/kunjung hormat Menteri Luar Singapura


PENGHADAPAN DI RUMAH NEGERI... 


kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – YAM Pengerusi Jumaah Pemangku Raja, Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Al-Haj menerima menghadap Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan petang Rabu, 2 Oktober di Rumah Negeri, Taman Gelora dekat sini.

Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail juga hadir pada penghadapan ini, begitu juga bekas Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob. Yang turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak.

Sebelum itu pada sebelah tengah hari, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menerima kunjung hormat Menteri Luar tersebut di sebuah hotel terkemuka di bandar Kuantan ini.

Selain Dato’ Sri Dr Salehuddin, antara yang turut hadir pada majlis ini yang disusuli jamuan makan tengah hari ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga Pengarah, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (B-PEN), Dato’ Fadzilla Salleh.  

Menurut kenyataan media oleh Pejabat Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Dr Vivian berada di negeri ini sempena lawatan ke tiga (3) negeri – Negeri Sembilan, Pahang dan Terengganu yang bermula semalam (Selasa, 1 Oktober) dan berakhir esok (Khamis, 3 Oktober).

PERTEMUAN KALI KEDUA DALAM TEMPOH LIMA BULAN... 


PERTEMUAN KEDUA DALAM TEMPOH 5 BULAN

Kenyataan media itu juga menyebut betapa kunjung hormat tengah hari ini merupakan pertemuan kedua oleh kedua-dua Dato’ Sri Wan Rosdy dan Dr Vivian, dalam tempoh lima (5) bulan ini.

Kali pertama ialah pada awal Mei lepas di pejabat Dr Vivian di Singapura. Ketika itu, Dato’ Sri Wan Rosdy mengambil kesempatan berada di negara-pulau itu sempena mengetuai delegasi perdagangan Kerajaan Negeri serta penganjuran ‘Seminar Pelaburan Pahang’ di sana.

Sebelum tiba ke Pahang khususnya Kuantan pada hari ini menurut kenyataan media itu lagi, Dr Vivian telah melawat Negeri Sembilan semalam dan esok, beliau akan ke Terengganu pula.

Lawatan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Singapura untuk mengukuhkan hubungan dengan negeri-negeri di Malaysia. – Khabar