Thursday, 3 October 2019

Kerajaan Negeri bantah penutupan UNITEN Kampus Sultan Hj Ahmad Shah (KSHAS) di Muadzam Shah

UNITEN KSHAS... Dalam kalangan 'orang lama' sepertimana Administrator kepada laman sesawang ini, tentunya kampus di Muadzam Shah yang mengambil sempena nama Almarhum Paduka Ayahanda, KDYMM Sultan Hj Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ini turut mendatangkan nilai sentimental terhadap kami semua.   


kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Kerajaan Negeri turut membantah apa juga usaha oleh pengurusan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) untuk menutup Kampus Sultan Hj Ahmad Shah (KSHAS)nya di Bandar Muadzam Shah, Rompin.

“Walau apapun perancangan yang ada, dengan memberi apa juga istilah ‘bombastic’ kepada usaha tersebut; pucuk pangkalnya ialah UNITEN KSHAS di Muadzam Shah akan ditutup. Ini sememangnya Kerajaan Negeri tidak dapat terima lalu membantahnya,” kata Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Oleh itulah, Kerajaan Negeri meminta pengurusan UNITEN serta pengurusan tertinggi Tenaga Nasional Bhd (TNB) sendiri agar dapat menyemak kembali perancangan itu dengan mengambil kira bantahan oleh Kerajaan Negeri dan pelbagai pihak lain,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pagi Khamis, 3 Oktober.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada keputusan Lembaga Pengarah UNITEN pada 24 September lepas mengenai inisiatif yang dikenali ‘Reimagining UNITEN’, bagi memusatkan kampus-kampusnya yang ada hanya ke Putrajaya.

Di bawah inisiatif ini juga, UNITEN dikatakan akan berganding bahu dengan Jabatan Real Estate Ventures (REVD) TNB untuk mentransformasikan UNITEN KSHAS di Bandar Muadzam Shah kepada premis TNB yang baharu.

KERAJAAN NEGERI LULUS 68 HEKTAR UNTUK UNITEN KSHAS

Ketika Kerajaan Negeri meluluskan tanah seluas kira-kira 68 hektar (168 ekar) kepada UNITEN pada penghujung tahun 1990-an dulu menurut Dato’ Sri Wan Rosdy, ialah bagi maksud pembinaan segala jenis infrastruktur yang diperlukan agar terbinalah sebuah kampus yang dapat menampung keperluan pendidikan dan penginapan ribuan pelajarnya.

Sejak kemasukan 200 pelajar pertama pada tahun 2001 hinggalah kemuncaknya pada tahun 2015 dengan seramai 4,300 orang katanya, UNITEN KSHAS telah turut menyumbang kepada peningkatan aktiviti sosio-ekonomi Bandar Muadzam Shah sendiri.

“Sungguhpun kini jumlah pelajarnya menurun kepada 1,300 orang tetapi ini sebenarnya merupakan kesan daripada faktor ekonomi nasional dan dunia. Apabila keadaan ekonomi bertambah baik saya percaya, jumlah kemasukan pelajar akan kembali ramai.

“Oleh itulah, sepertimana positifnya pandangan Kerajaan Negeri tentang kewujudan UNITEN KSHAS – apatah pula dengan nilai sentimental pada namanya mengambil sempena nama Almarhum Paduka Ayahanda, KDYMM Sultan Hj Ahmad Shah Al-Musta‘in Billah; begitulah juga diharapkan di pihak UNITEN dan TNB.

“Adalah diharapkan, daripada melakukan usaha untuk menutupnya, adalah lebih wajar berusaha untuk menyemarakkannya lagi dengan pengenalan lebih banyak kursus peringkat diploma, ijazah sarjana muda dan ijazah sarjananya, dengan tidaklah terhad kepada adanya Kolej Pengurusan Perniagaan dan Perakaunan (COBA) sahaja,” katanya lagi. – Khabar