Thursday 2 January 2020

Ketetapan bersama Kerajaan Persekutuan, Negeri demi kelestarian Cameron Highlands

KERJA-KERJA PENGUATKUASAAN RANCAK DIJALANKAN...   


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Jika menurut aspek perundangan dikatakan bahawa, kealpaan terhadap undang-undang bukanlah alasan untuk melepaskan diri daripada undang-undang berkenaan (ENG; ‘Ignorant of the law is no excuse).

Maka, begitulah juga kita katakan betapa, kealpaan terhadap apa juga keputusan yang telah Kerajaan tetapkan bukanlah alasan bagi sesiapapun untuk mencemuh  kononnya Kerajaan tidak bertindak sewajarnya ke atas sesuatu perkara.

Dalam isu semasa berkaitan kerja-kerja penguatkuasaan ke atas kebun-kebun haram di Cameron Highlands menerusi Ops Lestari 2 yang dimulakan kembali Isnin lepas (23 Disember) setelah 23 pekebun kecil di situ menarik balik perintah injunksi mereka 30 September lalu, inilah yang kelihatan terjadi.

Betapa, segelintir ‘Tom, Dick and Harry’ telah memberikan ulasan-ulasan negatif terhadap tindakan terbaharu oleh Kerajaan yang dilaksanakan menerusi agensi-agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri diketuai oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).      

Antaranya termasuk daripada seorang Timbalan Menteri yang sepatutnya menjaga hal-ehwal agama. Beliau antara lain kononnya mencadangkan agar sistem pajakan tanah dengan tempoh pajakan lebih lama, diamalkan.

SEPERTIMANA TERSIAR DALAM AKHBAR BERITA HARIAN TERBITAN SABTU, 25 JANUARI...  


SELUAS 5,519 HEKTAR BEKAS TANAH TOL, DIBERI MILIK KEPADA PSK UNTUK KEMUDIAN DISEWA/PAJAKKAN KEPADA PEKEBUN KECIL

Sedangkan inilah yang telah lama ditetapkan oleh Kerajaan Pahang dan sudahpun dibincang dan diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands yang dipengerusikan bersama oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail pada 9 Disember lepas.

Telah ditetapkan bahawa, kesemua tanah pertanian yang diberikan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) sebelum ini – sebanyak 78 hakmilik yang berkeluasan kira-kira 5,519 hektar (13,637.75 ekar), telah diberi milik kepada Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) Pahang, yang kemudian akan menyewa/memajakkannya dalam tempoh yang ditetapkan, kepada para pekebun.

Demi memastikan pekebun/penyewa/pemajak benar-benar bertanggungjawab dalam mengerjakan tanah pertanian ini kelak, mereka juga hendaklah terlebih dahulu memperolehi sijil MyGAP (Malaysian Good Agricultural Practice) yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian.  

Selain itu, Unit Kawal Selia MyGAP di bawah anak syarikat Kerajaan Pahang – Pahang Corporation Sdn Bhd, telah ditubuhkan yang akan melaksanakan kerja-kerja mengawal-selia aspek pematuhan kepada kriteria yang ditetapkan oleh MyGAP.

Bagi menjamin pengurusan cerun yang lebih cekap pula, telah juga diputuskan bahawa kesemua ‘sheltered farming’ (rumah plastik) yang didirikan oleh pekebun, perlu mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH). 

KERAJAAN AKAN WARTAKAN HUTAN SIMPANAN KEKAL SUNGAI ICHAT

Dan pula, penggunaan jentera berat pula perlu mendapat permit daripada sebuah jawatankuasa teknikal yang diwakili oleh PDTCH, MDCH, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Perhutanan dan Jabatan Kerjaraya (JKR).

Dalam pada itupun, Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands tersebut juga mengambil maklum beberapa lagi usaha dan tindakan yang diambil oleh Kerajaan Pahang yang antaranya ;

# Kawasan di Sungai Ichat dan sekitarnya yang berkeluasan 121.12 hektar (300 ekar), telah diluluskan bagi maksud pengwartaan sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) Sungai Ichat, pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 13 Mac 2019.  

# Seluruh kawasan dalam daerah Cameron Highlands telah diluluskan bagi maksud pengwartaan sebagai kawasan operasi MDCH dalam mesyuarat MMK pada 17 September 2019.

# Pengwartaan seluruh Hutan Simpanan Kekal (HSK) Batu Gangan, HSK Batu Gangan Tambahan, HSK Hulu Ichat, dan HSK Sungai Terla B yang seluas kira-kira 2,289.62 hektar (kira-kira 5,657.77 ekar) sebagai Taman Negeri.

‘ALTERNATIVE’ LEBIH MENYELURUH

Dengan keputusan-keputusan ini telah sekaligus menjawab tohmahan kononnya tanah yang dikosongkan menerusi kerja-kerja penguatkuasaan, akan Kerajaan Negeri gunakan untuk maksud lain demi kononnya, keuntungan pihak-pihak tertentu. 

Keputusan-keputusan ini juga tentu dapat menjawab kepada persoalan kononnya Kerajaan Pahang tidak memberi tanah ‘alternative’ kepada pekebun haram terbabit sedangkan, keputusan-keputusan ini sebenarnya merupakan ‘alternative’ yang lebih menyeluruh dan praktikal kepada seluruh isu tanah pertanian yang dihadapi di Cameron Highlands ketika ini.

Dan ini juga tentunya sebagai menjunjung titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah berkenan bercemar duli meninjau ke kawasan kebun-kebun haram berkenaan pada 7 September lepas lalu menitahkan –

“Sungai Ichat ini satu sumber air yang diperlukan oleh kawasan persekitaran ini. Kalau itu (sungai) diracuni, mungkin tiada lagi sumber lain.

“Setakat ini kualiti sungai tidak baik dan sekarang kerajaan sedang dalam proses membersihkannya. Kita mahu mana-mana mereka yang menceroboh harus berhenti kerana akibat pencerobohan ini akan memudaratkan pihak tertentu”.

Baginda turut bertitah; “Kerajaan Pahang memang memandang serius perkara ini. Sebab itu tindakan meroboh dan ambil balik tanah (yang diceroboh) dipergiatkan dan Kerajaan Pusat sedang memerhati serta menyokong tindakan ini”. – Khabar