Wednesday 22 January 2020

Kadar cukai tanah baharu

... yang tidak bebankan rakyat 

SEPERTIMANA DIRAKAM SEMPENA PERSIDANGAN MEDIA PETANG RABU INI DI BILIK KUNJUNG HORMAT, PEJABAT MENTERI BESAR...


kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Adalah lumrah manusia untuk merungut atas perkara-perkara yang dilihatnya tidak adil yang berlaku ke atasnya. Namun sesudah diberi penjelasan dan mereka memahaminya, rungutanpun terhenti lalu mereka dapat menerimanya.
                  
Begitulah juga yang berlaku dalam isu berkaitan pengenalan kadar cukai tanah baharu yang Kerajaan Pahang perkenal dan diwartakan, berkuatkuasa 1 Januari lepas (2020).

Ia sebagai memenuhi keputusan Majlis Tanah Negara (MTN) pada 14 Disember 2015 lagi yang mengarahkan Kerajaan Negeri-Kerajaan Negeri membuat semakan semula pada kadar cukai tanah di negeri masing-masing.

Ekoran itu, negeri-negeri seperti Sabah, Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan telah membuat semakan semula tersebut dan Pahang, hanya melaksanakannya pada awal tahun ini, dengan menyelaraskan dua (2) kadar kiraan cukai berbeza yang digunapakai sebelum ini iaitu kadar tahun 1994 atau kira-kira 26 tahun lepas, dan kadar tahun 2007 atau kira-kira 12 tahun lepas.

Sebanyak 702,259 hakmilik di seluruh negeri yang terlibat – paling banyak ialah di bawah kategori bangunan yang antara lain termasuklah kediaman dan perniagaan, dengan 403,581 hakmilik;

ARTIKEL YANG SAMA INI TURUT TERSIAR DALAM RUANGAN MINDA AKHBAR HARIAN METRO TERBITAN SELASA, 28 JANUARI... 


KELOMPOK PALING LANTANG MERUNGUT

Disusuli kategori pertanian, 282,429 hakmilik; kategori industri, 8,288 hakmilik; kategori tiada, 6,360 hakmilik; dan lain-lain termasuk antara lain tanah bagi tapak tangki air dan kumbahan, 1,601 hakmilik.

Sungguhpun keempat terbanyak tetapi pemilik tanah yang di bawah kategori tiada atau ‘Nil Condition’ ialah kelompok yang paling lantang dalam menyuarakan rungutan dan rayuan, diikuti pemilik tanah kategori industri.

Kerajaan Negeri amat memahami akan kelantangan ini sementelah tanah di bawah kategori tiada ialah yang paling tinggi dikenakan cukai tersebut iaitu, sekali ganda daripada kadar cukai tanah tertinggi daripada yang diwartakan.

Dan kadar cukai tanah tertinggi ini ialah bagi tanah kategori industri khusus untuk kawasan perindustrian Gebeng, Kuantan yang ditetapkan pada RM5 semeter persegi daripada sebelumnya hanya 25 sen semeter persegi. Dengan itu, kadar cukai tanah baharu untuk kategori tiada ialah RM10 semeter persegi.

Oleh itulah, ada pemilik tanah di bawah kategori tiada yang merungut tentang kenaan cukai tanah sehingga lebih RM500,000 bagi tanah berkeluasan hanya lima (5) hektar atau bersamaan 50,000 meter persegi.

SEKSYEN 124 KTN

Maka, pemilik-pemilik tanah di bawah kategori tiada – sejak sebelum wujudnya Kanun Tanah Negara (KTN) pada tahun 1965 lagi; disarankan supaya segera ke Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) berhampiran untuk menukarkan kategori tanah tersebut kepada yang sepatutnya, pertanian umpamanya.

Sekiranya tanah itu ditanami tanam-tanaman seperti kelapa sawit yang ditetapkan kadar cukai tanah baharu cuma RM80 sehektar, dikalikan dengan lima (5) hektar maka yang perlu dibayar hanyalah RM400!

Dalam hal ini, menjadi tanggungjawab pemilik tanah sendiri untuk ke PDT berkenaan bagi membuat permohonan penukaran kategori itu. Ini sepertimana ditetapkan di bawah Seksyen 124, KTN.

Inilah juga yang disebut oleh Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail pada persidangan media petang Sabtu, 11 Januari lepas di Balora Benta, Lipis sempena Majlis Ramah Mesra Bersama-sama Masyarakat Dewan Negeri Benta;

“Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri mencadangkan pemegang hakmilik tanah yang tiada syarat ini supaya menukar syarat kegunaan tanah masing-masing kepada penggunaan sebenar bagi penetapan kadar baharu yang bersesuaian dan lebih rendah”.

REMISEN ATAU PENGURANGAN SEHINGGA 80 PERATUS

Yang turut lantang dalam rungutan ialah pemilik-pemilik tanah di bawah kategori industri yang diwakilkan kepada Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) untuk menyuarakannya.

Sungguhpun terdapat 8,288 hakmilik di bawah kategori industri tetapi yang terkesan sebenarnya hanyalah 247 kilang/pelabur yang menjalankan operasi mereka di kawasan perindustrian Gebeng yang terletak dalam Daerah Kecil Gebeng.

Selain di sini yang dikenakan kadar cukai tanah RM5 semeter persegi – naik daripada hanya 25 sen semeter persegi yang dikenakan sejak tahun 2007; di Daerah Kecil Genting Highlands ialah pada kadar RM4 semeter persegi manakala di daerah-daerah lain hanya RM2.50 semeter persegi .

Oleh sebab itulah, bagi Kilang A yang berkeluasan tanah industri dalam Daerah Kecil Gebeng kira-kira 1.012 juta meter persegi; kadar cukai tanah baharu yang dikenakan ialah kira-kira RM5.06 juta berbanding hanya RM235,000 sebelumnya.

Dalam hal ini, Kerajaan Negeri bertindak segera kepada rungutan dan rayuan dengan mengumumkan pada petang Rabu ini, remisen atau pengurangan 80 peratus kepada tanah industri di ketiga-tiga lokasi berkenaan.

PENDUDUK KAMPUNG DAN PENEROKA FELDA TAK TERKESAN

Menerusi remisen atau pengurangan 80 peratus tersebut, kadar cukai tanah baharu bagi Daerah Kecil Gebeng turun kepada hanya RM1 bagi semeter persegi; Daerah Kecil Genting Highlands turun kepada hanya 80 sen semeter persegi; dan di daerah-daerah lain turun kepada hanya 50 sen semeter persegi.  

Bagi tanah di bawah kategori bangunan termasuk kediaman, serta pertanian kurang 4.05 hektar (10 ekar) yang melibatkan peneroka Rancangan Tanah Felda dan penduduk kampung bagaimanapun, tidak terkesan dengan penetapan kadar cukai tanah baharu 2020 ini.

Malah, bagi tanah pertanian melibatkan peneroka Felda ini – selain tidak berlaku kenaikan; mereka yang sepatutnya membayar cukai RM540 setahun telah dikurangkan kepada cuma RM270 setahun ekoran remisen atau pengurangan RM270 yang sejak sekian lama sehingga kini, Kerajaan Negeri terus-menerus bermurah hati berikan kepada mereka.

Bagi tanah pertanian khususnya kelapa sawit melebihi 4.05 hektar tetapi kurang 40 hektar pula, kadar cukai tanahnya dinaikkan daripada RM80 sehektar (menurut kadar tahun 2007) kepada RM120 sehektar.

Bagaimanapun, bertindak balas kepada rungutan dan rayuan jugalah, Kerajaan Negeri turut mengumumkan remisen sebanyak RM50 kepada cuma RM250 sehektar daripada asal RM300 sehektar, bagi tanah pertanian berkeluasan lebih 40 hektar. 

TANAH KEDIAMAN RUMAH BANGLOPUN BAYAR CUKAI TANAH RENDAH

Untuk tanah kategori bangunan khususnya kediaman pula – yang melibatkan 361,858 hakmilik, kadarnya kekal sepertimana pada tahun 2007 lagi iaitu antara lima (5) sen dan 50 sen untuk semeter persegi.

Dengan itu, bagi tanah kategori bangunan khususnya kediaman di pusat bandar Kuantan yang berkeluasan 650 meter persegi – sebagai tapak banglo mewah sekalipun; kadar cukai tanahnya masih kekal cuma RM325.
 
Menerusi penerangan yang telah diberikan disusuli pula dengan keputusan Kerajaan Negeri memberi remisen atau pengurangan bagi keadaan-keadaan yang telah disebutkan tadi, diharapkan isu berkaitan kenaikan kadar cukai tanah 2020 di Pahang, akan terlerailah. – Khabar