Saturday, 4 January 2020

Tegas tapi berehsan menangani kerja-kerja penguatkuasaan ke atas kebun haram Cameron Highlands

“Kerajaan Negeri tidak menguatkuasakan Seksyen 425 Kanun Tanah Negara itupun sudah cukup baik,” tegas Menteri Besar

MAJLIS PENYERAHAN SUMBANGAN CEK KEPADA YANG MEMERLUKAN... Daripada 20 orang yang menerima sumbangan ini petang Jumaat, 27 Disember lepas (2019) di Bilik Kunjung Hormat, Pejabat Menteri Besar, Wisma Sri Pahang, Kuantan; 17 daripadanya ialah dalam kalangan kaum India. 

Ini membuktikan betapa pentadbiran Kerajaan Negeri di bawah kepemimpinan Dato' Sri Wan Rosdy adalah bersifat 'inclusivity', yang melampaui batasan kaum dan anutan agama. 


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN“Kerajaan Negeri tidak menguatkuasakan Seksyen 425 Kanun Tanah Negara itupun sudah cukup baik. Kalau mengikut Kanun Tanah Negara (Seksyen) 425, boleh didenda sehingga RM500,000.

“Kita cuma beri notis (pengosongan) kepada peneroka-peneroka haram ini,” demikian kata Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail kepada wartawan yang menemuinya baru-baru ini.

Kata-kata ini jelas merujuk kepada pendekatan yang penulis kenali sebagai ‘tegas tapi berehsan’ (ENG; firm yet merciful) yang Kerajaan Negeri ambil dalam menangani isu berkaitan kerja-kerja penguatkuasaan ke atas kebun-kebun haram di Cameron Highlands yang sedang dalam pelaksanaan menerusi ‘Ops Lestari 2’.  

(Kerja-kerja penguatkuasaan ‘Ops Lestari 2’ sepatutnya bermula 1 April lepas ke atas kebun-kebun haram seluas 97.12 hektar (240 ekar) di Sungai Ichat, Kuala Terla dalam Mukim Ulu Telom, tetapi tertangguh akibat 23 pekebun haram di sana memperolehi perintah injunksi daripada Mahkamah Tinggi Kuantan.

(Pada 30 September lepas bagaimanapun, pekebun yang sama menarik balik perintah injunksi tersebut yang ekoran itu, mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Dato’ Sri Wan Rosdy pada 9 Disember memutuskan agar ‘Ops Lestari 2’ dilancarkan semula bermula 16 Disember lepas).

ANTARA PENERIMA PETANG JUMAAT... 


‘SESUNGGUHNYA ALLAH MENYURUH (KAMU) BERLAKU ADIL DAN EHSAN…’
   
Pendekatan ini – sekaligus menolak dakwaan sesetengah ‘pencacai politik’ kononnya Kerajaan Negeri zalim ekoran pelaksanaan kerja-kerja penguatkuasaan yang dijalankan; tentunya menepati tuntutan agama Islam dengan misalnya mengambil Surah An-Nahl, Ayat 90 yang diterjemahkan bermaksud;

“Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan ehsan, memberi bantuan kepada rakan-rakan dan saudara-mara, dan Dia melarang (melakukan) perbuatan keji, ketidak adilan dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepada kamu agar kamu dapat mengambil pelajaran”.

Pendekatan ini juga menepati apa yang pernah disuarakan oleh Presiden Amerika Syarikat ke-16, Abraham Lincoln betapa; “Saya selalu dapati bahawa ehsan membuahkan yang lebih baik berbanding keadilan yang ketat (strict justice)”.

Bahawa Kerajaan Negeri tidak mengguna pakai Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) seperti yang Wan Rosdy katakan itu, sememangnya sesuatu yang bersifat ehsan kerana, selain pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM500,000, seksyen ini juga memperuntukkan hukuman penjara lima (5) tahun!

Hukuman-hukuman lebih berat ini diperkenalkan menerusi pindaan tahun 2016 ke atas Seksyen 425 KTN yang sama, yang menurut Menteri Sumber Asli, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika itu, ialah bagi menangani isu pencerobohan tanah di kawasan tanahtinggi tersebut.

'A PICTURE TELLS A THOUSAND WORDS'... 


PEKEBUN RAYU CUMA DUA (HARI), TAPI MB BERI TIGA (3) HARI SETIAP MINGGU UNTUK KOSONGKAN KEBUN HARAM

Keehsanan Kerajaan Negeri juga terserlah menerusi kebenaran yang diberikan kepada pekebun-pekebun haram terbabit, untuk menanggal dan mengangkut keluar peralatan atau barangan dari tapak-tapak kebun haram ini selama tiga (3) hari pada Jumaat, Sabtu dan Ahad, apabila operasi penguatkuasaan tidak diadakan.

“Walaupun sebelum ini notis (pengosongan) yang secukupnya telahpun diberi kepada mereka dan mereka sebenarnya mempunyai banyak masa (termasuk untuk menanggal dan mengangkut keluar peralatan atau barangan) tetapi mereka tidak berbuat demikian.  

“Dan Kerajaan Negeri masih lagi bertolak ansur, bertimbang rasa (untuk memberikan lagi tempoh). Ada permohonan yang sepatutnya cuma (dua) hari (pada) Sabtu dan Ahad, tapi saya telah minta supaya disambung satu (1) hari lagi menjadikan hari Jumaat, Sabtu dan Ahad,” kata Wan Rosdy lagi, yang menyerlahkan sikap keehsanannya itu.

Notis pengosongan ke atas keseluruhan kebun haram seluas 97.12 hektar (240 ekar) di Sungai Ichat, Kuala Terla dalam Mukim Ulu Telom bagi pelaksanaan penguatkuasaan ‘Ops Lestari 2’, telahpun dikeluarkan sejak 14 Mac atau kira-kira sembilan (9) bulan lepas lagi.

Ehsan yang dihulurkan oleh Kerajaan Negeri ini adalah disebalik keengganan pekebun sendiri untuk menerima hakikat bahawa mereka mengerjakan tanah secara haram lalu hendaklah segera mengosongkannya.

SEPERTIMANA TERSIAR PULA DALAM AKHBAR HARIAN METRO 14 JANUARI...


BANJIR LUMPUR 2013 & 2014 YANG KORBANKAN NYAWA

Memanglah sejak Ogos 2009 lagi, Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands (PDTCH) mengeluarkan notis pengosongan ke atas tanah-tanah/kebun-kebun berkenaan yang sungguhpun begitu, aktiviti penerokaan haram terus berlaku.  

Lanjutan itu, Lesen Pendudukan Sementara (TOL) yang perlu diperbaharui setiap tahun, dikeluarkan kepada pekebun-pekebun atas ehsan Kerajaan Negeri juga, selepas menimbangkan rayuan oleh pihak-pihak tertentu.

Bagaimanapun, ehsan ini tidak dibalas sewajarnya sebaliknya, apa yang dilakukan oleh sesetangah pekebun ini ialah dengan menjalankan aktiviti pertanian yang tidak menurut kehendak amalan pertanian yang baik, hingga mencemarkan alam sekitar.

Maka, sejak tahun 2017 – ekoran banjir lumpur yang meragut nyawa dan merosakkan harta benda yang berlaku dua (2) tahun berturut-turut pada 23 Oktober 2013 dan 5 November 2014 di Lembah Bertam dan Pekan Ringlet dan sekitarnya; TOLpun tidak dikeluarkan lagi.

Di Sungai Ichat sendiri, oleh kerana kandungan air mentahnya tercemar teruk maka hasrat asal Kerajaan Negeri untuk menjadikannya (Sungai Ichat) sebagai satu daripada dua (2) sumber air selain Sungai Terla untuk diproses oleh Loji Rawatan Air (LRA) Terla, tidak dapat dilaksanakan, yang dengan itu mengancam keperluan air dirawat bagi hampir 70 peratus penduduk Cameron Highlands.

PEKEBUN TETAP BERDEGIL

Tetapi, pekebun-pekebun berkenaan tetap berdegil dengan antara lain mempertahankan kononnya Sungai Ichat tidak menyumbang kepada LRA Terla lalu sepatutnya, mereka dibenarkan terus mengerjakan kebun-kebun haram di situ.

Dan keberangkatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meninjau ke kawasan tanah-tanah/kebun-kebun haram berkenaan pada 7 September lepas, telah memuktamadkan mengenainya.

“Setakat ini kualiti sungai tidak baik dan sekarang kerajaan sedang dalam proses membersihkannya. Kita mahu mana-mana mereka yang menceroboh harus berhenti kerana akibat pencerobohan ini akan memudaratkan pihak tertentu.

“Kerajaan Pahang memang memandang serius perkara ini. Sebab itu tindakan meroboh dan ambil balik tanah (yang diceroboh) dipergiatkan dan Kerajaan Pusat sedang memerhati serta menyokong tindakan ini,” titah Baginda sepertimana BERNAMA melaporkan.

Oleh itulah juga kita berharap, pekebun-pekebun berkenaan termasuk penyokong mereka yang segelintir, supaya terimalah realiti serta memberi sepenuh kepercayaan kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat untuk memulih dan kembali melestarikan Cameron Highlands. 

Ini sepertimana juga telah dibincangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands yang antara lain memperkenalkan sistem pajakan tanah sekuarng-kurangnya tiga (3) tahun – bukan lagi pemberian TOL setahun-setahun serta beberapa lagi ketetapan penting; agar pekebun dapat terus menjalankan usaha-tani mereka sambil memelihara alam sekitar. – Khabar