Friday 25 December 2020

Langsai hutang RM2,335 juta (RM2.335 billion) Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan!

  kejayaan besar Dato’ Sri Wan Rosdy tahun 2020 ini, menerusi rundingan digerakkannya sehingga hutang-hutang ini terlangsai menerusi kaedah dihapuskira, ditukar kepada geran atau dinovasikan. 

SALING BERTUKAR CENDERAHATI... Foto ini dirakam petang Rabu, 23 Disember bersempena Majlis Menandatangani Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Pahang. 


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Umum cuma ketahui tentang langsainya hutang RM2,074 juta (RM2.074 billion) Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan menerusi perjanjian-perjanjian di bawah Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Pahang yang termeterai pada Rabu, 23 Disember 2020.

Namun, ada dua (2) lagi hutang Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan bernilai RM260.598 juta yang turut terlangsai pada tahun 2020 ini juga menjadikan kesemuanya, RM2,335 juta (RM2.335 billion).

Dan ini dikira kejayaan besar oleh Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail – dalam tempoh tidak sampaipun tiga (3) tahun sebagai Menteri Besar (sejak 15 Mei 2018); hasil rundingan digerakkannya sehingga hutang-hutang ini terlangsai menerusi kaedah sama ada dihapuskira, ditukar kepada geran atau dinovasikan.

Dua (2) lagi hutang berkenaan yang turut terlangsai ialah berkaitan kos penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Pahang 2012 sebanyak RM205.724 juta, dan kos pengurusan bencana/bantuan mangsa banjir tahun 2014/2015 sebanyak RM54.874 juta.

Hutang SUKMA Pahang 2012 yang terlangsai ialah susulan pertemuan dan surat Menteri Besar kepada Menteri Kewangan pada 24 April 2020 hingga Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan dalam surat mereka pada 27 April 2020 bahawa pinjaman pokok kira-kira RM168.8 juta ditukarkan kepada geran, dan faedah kira-kira RM36.924 juta dihapuskira.

HUTANG RM205.724 JUTA SUKMA PAHANG 2012 JUGA LANGSAI

Bagi hutang berkaitan pengurusan bencana/bantuan mangsa banjir tahun 2014/2015 yang asalnya sebanyak RM100 juta pula, ia adalah susulan pertemuan dan surat Menteri Besar kepada Menteri Kewangan pada 24 April 2020 juga menatijahkan MoF memaklumkan dalam surat pada 13 November 2020 persetujuan menukarkan kira-kira RM54.874 juta kepada geran.

Namun baki RM45.126 juta untuk hutang yang sama berkaitan pengurusan bencana/bantuan mangsa banjir tahun 2014/2015 ini masih sebagai pinjaman yang akan distrukturkan/jadualkan semula pembayarannya.

Dalam pada itupun, hutang-hutang lain Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan masih dalam peringkat perundingan lanjut, termasuk hutang sebanyak RM295 juta bagi projek pembinaan Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) seluruh Pahang; dan hutang sebanyak RM72.224 juta bagi projek PAKR Sungai Pandan, Kuantan.

Kembali kepada hutang terlangsai sebanyak RM2,074 juta (RM2.074 billion) ekoran termeterainya perjanjian-perjanjian di bawah Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Pahang, ia berlaku selepas tertangguh sejak Ogos 2015.

Penangguhan ini ekoran beberapa permintaan Kerajaan Negeri bagi penambahbaikan kepada skim penstrukturan semula yang dicadangkan, tidak dipertimbangkan oleh Kerajaan Persekutuaan ketika itu.

PASUKAN KHAS TANGANI PENSTRUKTURAN SEMULA

Setelah tertangguh sekian lama dan susulan surat hasrat tawaran Penstrukturan Semula  Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Pahang daripada Menteri Air Tanah dan Sumber Asli kemudiannya, pada 27 Ogos 2018;

Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pada 29 Ogos 2018 yang kini dipengerusikan oleh Dato’ Sri Wan Rosdy, bersetuju menubuhkan Pasukan Khas diurusetiakan oleh Bahagian Kawal Selia Air (BKSA), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Akhirnya, pada 6 September 2018, Kerajaan  Negeri melalui surat Menteri Besar kepada Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli ketika itu, telah  memaklumkan persetujuan Kerajaan Negeri kepada Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Pahang ini.

Dan setelah beberapa siri rundingan, kedua-dua pihak – Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), bersetuju meluluskan perjanjian-perjanjian merangkumi –

Perjanjian Utama, melibatkan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB); Perjanjian Pajakan melibatkan PAAB dan PAIP; serta, Perjanjian Kemudahan juga melibatkan PAAB dan PAIP.

HAPUSKIRA DAN NOVASI HUTANG

Susulan perjanjian-perjanjian inilah dipersetujukan bahawa, Kerajaan Persekutuan menghapuskira hutang Kerajaan Negeri bagi pelaksanaan projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) sebanyak RM1,001 juta (RM1.001 billion), iaitu sebahagian daripada keseluruhan hutang sebanyak RM2,074 juta (RM2.074 billion).

Baki hutang sebanyak RM1,073 juta (RM1.073 billion) lagi dinovasikan (ENG; ‘novation’ – the replacement of one obligation by another by mutual agreement of both parties) lalu ditanggung kini oleh PAAB.

Sehubungan itu, aset-aset bekalan air dalam bentuk struktur binaan seperti Loji Rawatan Air (LRA) dan tanah yang setara dengan nilai baki hutang sebanyak RM1,073 juta (RM1.073 billion), telah diberi milik kepada PAAB untuk selama 45 tahun.

Aset-aset bekalan air ini pula kemudian akan dipajakkan semula kepada PAIP, dan PAIP akan membuat bayaran sewa pajakan kepada PAAB selama 45 tahun juga. PAAB pula dengan itu, akan membayar baki hutang Kerajaan Negeri sebanyak RM1,073 juta (RM 1.073 billion) tersebut kepada Kerajaan Persekutuan dalam tempoh 25 tahun.

Selain itu, PAAB juga bertanggungjawab untuk membiayai perbelanjaan modal bagi projek-projek pembangunan berkaitan aset bekalan air baharu bagi Kerajaan Negeri yang menurut Ketua Setiausaha KASA, Dato’ Sri Ir Dr Zaini Ujang;

PAAB SALUR DANA RM788 JUTA UNTUK TINGKATKAN MUTU BEKALAN AIR PAHANG

“… menerusi perjanjian ini (juga) dan menurut ‘business plan’ PAIP, mereka memerlukan RM788 juta untuk mengurangkan NRW (Non Revenue Water), menaik taraf loji, menukar paip dan buat loji baharu.

“Dalam tempoh tiga (3) tahun bermula 2021, PAAB akan beri pendanaan sebanyak RM788 juta. Ini satu momentum yang amat besarlah dalam tempoh singkat – syarikat air tidak ada hutang pada masa yang sama, dia (PAIP) dapat aset-aset baharu untuk memastikan bekalan air lebih teratur di Pahang”.    

Kata kuncinya di sini ialah, kegigihan dan kejayaan besar Dato’ Sri Wan Rosdy dalam menangani isu hutang-hutang Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan, sambil itu memastikan agar kebajikan rakyat termasuk dalam memperolehi perkhidmatan bekalan air terawat yang bermutu, terus terpelihara. – Khabar