Sunday 17 March 2013

Bantuan tahunan pelajar tajaan Yayasan Pahang (YP) di Mesir akan naik?


… atas sikap ambil berat Kerajaan Negeri ekoran kenaikan mendadak harga barangan keperluan, yang bebankan kira-kira 130 pelajar kita di sana.

MULAKAN LANGKAH... Bergerak dari sekolah berdekatan - Sekolah Menengah Kebangsaan Inderapura, mereka berjalan kaki kira-kira 1 km sebelum berhimpun semula di Padang F.A untuk mengikuti siaran langsung ucapan Perdana Menteri, dan kemudian ucapan Menteri Besar sendiri. 


PADANG F.A, JERANTUT – Kerajaan Negeri sedang meneliti usaha menaikkan bantuan tahunan pelajar-pelajar tajaan Yayasan Pahang (YP) di Mesir, ekoran kenaikan mendadak harga barangan keperluan hingga membebankan mereka di negara yang belum reda daripada pergolakan itu.

“Di Mesir sekarang ini,” kata Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, “Kalau masa saya pergi dulupun telah naik (harga) barang. Semasa Perdana Menteri singgah sekejap di Kaherah baru-baru ni, pelajar-pelajar kita beritahu; dulu daging RM15 sekilo, sekarang RM45, RM50 sekilo.

“Terpaksa Perdana Menteri termasuk juga kita di peringkat negeri, Yayasan Pahang, fikirkan bagaimana nak naikkan elaun anak-anak ni untuk mereka berbelanja, sara hidup seharian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada penghujung ucapan luar teks 13-minitnya sempena Majlis Pelancaran 1Malaysia Komuniti PerWani serta Program 1 Million Women Purple Walk Peringkat Negeri pagi Ahad, 17 Mac di sini yang dihadiri wanita berbaju-T ungu, kira-kira 20,000 orang.

Pelancaran peringkat negeri adalah serentak dengan peringkat kebangsaan yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak di Pusat Pentabiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya.

CENDERAHATI BUAT 'CIKGU'... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menerima cenderahati daripada Dato' Syed Mutalib, yang bukan sahaja bekas anak muridnya, tetapi juga bekas setiausaha sulit kanannya yang kini mengetuai pentadbiran sebuah daerah yang semakin pesat membangun. 


BILA KERAJAAN JATUH, BEREBUT PULA JADI PEMIMPIN

Adalah difahamkan, terdapat kira-kira 130 pelajar tajaan YP di Mesir era pasca gejala ‘Arab Spring’ ketika ini, yang sedang mengikuti kursus sama ada dalam bidang Pendidikan Islam ataupun Perubatan.

Berbanding bantuan tahunan yang baharu lagi dinaikkan kepada pelajar-pelajar Perubatan, pelajar Pendidikan Islamlah – yang menikmati RM6,000 setahun, yang bakal menerima manfaat daripada kata-kata terkini Menteri Besar ini.

Dato’ Sri DiRaja Adnan kemudian mengulangi gesaannya kepada rakyat agar tidak mudah-mudah mengambil langkah untuk menukar Kerajaan yang ada sepertimana kerajaan-kerajaan yang telah ditukarkan di Timur Tengah termasuklah Mesir.

Apatah pula katanya, apabila sahaja Kerajaan ditukarkan, akan berlaku perebutan kuasa antara mereka yang ingin menduduki tampuk kepimpinan Kerajaan yang baharu mengambil alih kuasa tersebut.

“Apabila Kerajaan ini tukar, keamanan tidak timbul (wujud) sebab orang akan berebut. Bila Kerajaan yang ada jatuh, maka orang akan kata dialah layak menjadi Perdana Menteri,” katanya.

MESRA BERSALAMAN... Dato' Sri DiRaja Adnan, disusuli isteri, Datin Sri DiRaja Junaini; sedang mesra bersalaman dengan sebahagian daripada 20,000 orang yang hadir pada majlis pagi minggu yang panas terik ini.  


‘SAYA TAK KATA BARISAN NI BAIK SANGAT, TAPI TENTU PEMBANGKANG NI JAHAT BENAR’

“Jadi tuan-tuan dan puan-puan sekelian, fikirlah. Saya tak kata Barisan (Nasional, yang menerajui Kerajaan yang ada) ni baik sangat, tapi tentu pembangkang ni jahat benar. Itu je,” katanya lagi disambut ketawa hadirin tanda sokongan.

Dato’ Sri DiRaja Adnan turut mengulas ucapan Dato’ Sri Mohd Najib yang dapat turut diikuti secara langsung menerusi paparan skrin besar di depan pentas di padang ini yang menurutnya, wanita bukan sahaja perlu disayangi malah dihormati.

“Kita kena sayangkan wanita sebab wanita ni, walaupun kita perkasakan dia, walaupun wanita ni hatinya kuat, semangat tinggi; tapi wanita tetap wanita. Wanita ni lembut, oleh sebab itu kita kenalah jaga dia,” katanya.

Beliau turut menyebut tentang kejadian pencerobohan oleh pengganas di Lahad Datu, Sabah yang masih berlaku di sebalik pasukan keselamatan negara khususnya polis dan tentera, telah melaksanakan tugas mereka dengan baik.   

“Maknanya, negara kita ni, walaupun aman-tenteram tetapi akan sentiasa diancam. Oleh sebab itu kita kena sentiasa berwaspada sama ada di Sabah, sama ada di Sarawak, sama aa di Johor, Kelantan, Terengganu, sempadan; kita mesti sentiasa berwaspada.

'SEMPOI', BERSAHAJA MENTERI BESAR KITA... Tanpa kekok, Dato' Sri DiRaja Adnan duduk bersila di depan khemah untuk menikmati juadah/makan tengah hari dalam pek plastik yang disediakan untuk para hadirin. 

Yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Ir Mohd Soffi (bertopi) dan Dato' Shafik Fauzan.     


SEMUA MESTI MAINKAN PERANAN JAGA KEAMANAN

“Oleh sebab itu, kita semua mesti mainkan peranan. Kita ada kampung masing-masing. JKKK ada ketua masing-masing, ada pengikut, ada jawatankuasa. Perhatikan orang keluar-masuk kampung kita.

“Kalau lain je, kalau kita tak kenal je, eloklah kita beritahu pihak berkuasa. Beritahu pihak polis supaya tindakan awal dapat diambil,” katanya lagi.

Antara yang turut hadir ialah isteri beliau, Datin Sri DiRaja Junaini Kassim; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri – Dato’ Ir Mohd Soffi Abdul Razak; Dato’ Wan Rosdy Ismail dan Dato’ Shafik Fauzan Sharif;

Ahli Parlimen, Dato’ Dr Mohamad Shahrum Osman (BN – Lipis); Pegawai Daerah Jerantut, Dato’ Syed Mutalib Syed Hassan; serta, ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan. – Khabar