Monday 4 March 2013

Lebih banyak lagi usaha dan program pembangunan untuk manfaat Orang Asli, kata Menteri Besar

… antaranya, pengwujudan Program Penyusunan Kampung serta pengwartaan lagi 14,000 hektar sebagai tanah Orang Asli.

Ini ialah sedikit gambaran tentang antara kandungan manifesto Barisan Nasional (BN) Pahang bagi menghadapi pilihanraya umum kali ini.

MERAIKAN KEHADIRAN MENTERI BESAR... Ini ialah antara 'bunting' yang digantung sebagai menandakan kehadiran Menteri Besar ke Kampung Orang Asli Sungai Bot ini. 

Daripada segi kemudah-sampaian, bolehlah dikatakan bagus kerana adanya jalan bertar sepanjang cuma empat (4) km dari simpang jalan besar Karak-Simpang Pelangai di luar sana. Maka tidak hairanlah kenderaan enjin berkuasa kecil seperti dalam foto ini juga dapat turut dipandu-masuk hampir ke 'muka pintu'.  


KAMPUNG ORANG ASLI SUNGAI BOT, MUKIM PELANGAI, BENTONG – Kerajaan Negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) akan melaksanakan lebih banyak program pembangunan untuk Orang Asli di negeri ini, antaranya termasuklah Program Penyusunan Kampung (PPK).

Ketika menyatakan ini pada persidangan media sempena Majlis Ramah Mesra dan Penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada 566 Orang Asli daerah Bentong pada pagi Isnin, 4 Mac di sini, Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob berkata;

“Dalam manifesto Barisan Nasional Negeri Pahang, kita menjanjikan akan membuat lebih banyak lagi kita namakan Program Penyusunan Kampung termasuk di Cameron Highlands, di Bentong dan di lain-lain tempat.

“Dan pada ketika yang sama, kita menjanjikan proses pengwartaan lebih kurang 14,000 hektar tanah (sebagai tanah Otrang Asli) dan ada tanah-tanah tertentu kita (akan) berikan hak milik kepada individu”.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat Orang Asli agar tidak lagi ‘berpindah-randah’, sebaliknya menetap di satu-satu pertempatan itu sambil memberikan tumpuan kepada pembelajaran anak-anak.

HADIRIN DAN HADIRAT PAGI ISNIN... Sebahagian besarnya memakai topi JAKOA menandakan sokongan mereka yang tidak berbelah-bahagi kepada jabatan itu seterusnya Kerajaan yang ada.  


KERAJAAN MASIH BERI GERAN TAHUNAN RM50 JUTA KEPADA PAIP

Daripada segi prasarana asas seperti bekalan air katanya, liputan pembekalannya ialah kira-kira 100 peratus di seluruh negeri tetapi kira-kira 98 peratus ke kawasan-kawasan pertempatan Orang Asli yang ada.

Ia ekoran kedudukan pertempatan Orang Asli yang terpencil di kawasan-kawasan luar Bandar dan pula jarak dari sebuah rumah ke sebuah rumah lain yang berjauhan yang menyebabkan kesukaran untuk kerja-kerja pembekalan.

“Setakat mana yang Orang Asli boleh mengharapkan bekalan air luar bandar (yang dibekalkan menerusi usaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Jabatan Kesihatan) , itu akan diteruskan, itu tak ada masalah.

“Tapi kalau (masih) ada masalah, insyaAllah, PAIP (Pengurusan Air Pahang Bhd) akan masuk. P.A.I.P itu ialah pewaris kepada Jabatan Bekalan Air (JBA Negeri),” katanya lagi.

Sungguhpun sudah diperbadankan katanya lagi, Kerajaan Negeri memberikan geran tahunan RM50 kepada PAIP bagi memastikan kelancaran dalam menguruskan pentadbiran hariannya.      

SABAR BERATUR UNTUK TUNAIKAN BAUCAR BR1M...


RM40 JUTA DIBELANJA UNTUK BEKALAN AIR KAMPUNG TRADISIONAL
  
Dato’ Sri DiRaja Adnan seterusnya memberi gambaran tentang besarnya peruntukan yang diperlukan dalam usaha menyediakan bekalan air dirawat ke seluruh negeri ini dengan memberi contoh pembekalan air serta peruntukannya untuk daerah Bera.

Kira-kira RM400 juta katanya, telah diperuntukkan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) bagi menaikkan taraf  pembekalan air dirawat di rancangan tanah-rancangan tanah Felda di daerah itu, yang bakal diseliakan oleh Felda Engineering.

Manakala Kerajaan Negeri sendiri tambahnya, telahpun membelanjakan kira-kira RM40 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) ini, bagi kerja-kerja menaikkan taraf pembakalan air dirawat ke kawasan-kawasan pertempatan tradisional di daerah itu (Bera).

“Maknanya, peruntukan untuk (kerja-kerja pem)bekalan air ini tinggi… Itu sebabnya kita (Kerajaan Negeri) berhutang dengan Kerajaan Persekutuan hampir RM1.2 billion semata-mata untuk menaikkan taraf bekalan air. Tapi orang kata kita bangkrap, bukan kita bangkrap...,” kata Menteri Besar.

Mengenai majlis pagi Isnin ini yang dihadiri kira-kira 1,000 Orang Asli termasuk 566 orang penerima BR1M katanya, beliau telah menasihatkan mereka khususnya para penerima BR1M, agar dapat menggunakan wang tersebut dengan bijaksana,

BERSAMA-SAMA MEDIA... Diapit oleh Senator Dato' Mohd Olian (di kanan) dan Encik Esa (berbaju biru di kirinya), Dato' Sri DiRaja Adnan sedang hendak memulakan persidangan medianya. 


PAKATAN JANJI MACAM-MACAM TAPI TAK BOLEH TUNAIKAN

“… dan pada ketika yang sama, saya menyatakan, Barisan Nasional boleh menjanjikan perkara yang boleh kita tunai. Tapi, kalau Pakatan Rakyat… menjanjikan macam-macam hinggakan mereka tidak akan boleh tunaikan janji mereka,” tegasnya.

Sambil itu beliau turut menasihatkan Orang Asli ini supaya sentiasa peka kepada hal-hal keselamatan dengan mengambil tahu lalu melaporkan kepada pihak berkuasa jika ternampak perkara-perkara yang agak luar biasa berlaku di kampung masing-masing.

Dato’ Sri DiRaja Adnan turut ditanya mengenai jalan menghubungkan mukim Pelangai ini dengan pecan Karak yang sering terjejas dan rosak akibat banjir yang sering melanda setiap tahun.  

Menurutnya, dalam perancangan jangka pendeknya, mana-mana bahagian yang rosak akan dibaiki oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) manakala jangka panjang, ialah menantikan siapnya Central Spine Road (CSR, menghubungkan Kuala Krai-Gua Musang di Kelantan, melalui Raub dan Bentong hinggalah ke Simpang Pelangai, sekat sini; yang dijangka lebih lurus dan dibina melepasi paras banjir) kelak.    

Antara yang turut hadir pada majlis pagi Isnin ini ialah Senator Dato’ Mohd Olian Abdullah; Pegawai Daerah Bentong, Dato’ Toantowee Mohd Lotfie; serta Pengarah, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang, Encik Esa Abdul Hamid. – Khabar