Monday 18 March 2013

Gelagat 'biawak sikat' dan 'cerita lawak' pembangkang!!!

Menteri Besar ibaratkan demikian ekoran kenyataan berdolak-dalik mereka terhadap satu-satu isu, dan pula, asyik membangkang tanpa alasan kukuh

TUNGGANG VESPA KE MAJLIS PENYAMPAIAN... Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan bergaya, menunggang motorsikal Vespa ke tapak majlis di Wisma Raya ini. 


WISMA RAYA, RANCANGAN TANAH FELDA JENGKA 14, MARAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan  Yaakob menempelak pembangkang dengan  mengumpamakan mereka sebagai ‘biawak sikat’, yang sering mengutarakan ‘cerita lawak’ hingga menjadi bahan ketawa rakyat semata-mata.

“Sekali nak tutup Lynas, ini tak jadi pula tutup Lynas, nak buat ‘inquiry’ baru. Ini biawak sikat ni, ya... ‘cameleon’,” tegas Dato’ Sri DiRaja Adnan merujuk kepada pendirian yang berubah-ubah oleh kepimpinan tertinggi parti itu berkaitan projek pemprosesan tanah jarang Lynas di Gebeng, Kuantan.

Beliau ditanyakan mengenai gelagat puak-puak pembangkang tersebut pada persidangan media sempena Majlis Penyampaian Suratan Hakmilik Tanah kepada 116 peneroka Rancangan Tanah Felda Jengka 14 pada pagi Isnin, 18 Mac di sini.

Dalam temubual dengan portal berita berpangkalan di Australia – The Sydney Morning Herald baru-baru ini, ketua pembangkang, Dato’ Sri Anwar Ibrahim telah menyebut mengenai kesediaan beliau menyokong projek tersebut jika siasatan awam yang mahu dibuat semula, mengesahkan kilang itu selamat.

Ini bertentangan sama sekali dengan ucapannya pada Himpunan Hijau di Kuantan tahun lepas, membantah operasi kilang itu sambil memberi jaminan akan menghentikannya jika pembangkang menguasai Kerajaan kelak.

BERTANYA KHABAR SAMBIL SAMPAIKAN GERAN... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang bertanyakan sesuatu sebelum menyerahkan suratan hakmilik kepada peneroka ini. Di sebelahnya ialah Dato' Ismail Said (berbaju biru). 


BERIYA-IYA HENDAK BAKAR, KEMUDIAN SOKONG PULA JIKA…

Begitulah kerasnya pendirian tersebut hinggakan soal mengenai memansuhkan projek itu ada tersebut dalam manifesto pilihanraya mereka yang telah diumumkan tidakpun beberapa lama sebelum ini.

Pendirian yang sama turut dikongsi oleh Encik Wong Tack – calon yang telah diumumkan oleh Setiausaha Agung DAP sendiri, yang akan bertanding di parlimen Bentong atas tiket parti itu, pada pilihanraya umum kali ini.

Sedangkan Encik Wong, Pengerusi, Himpunan Hijau, ialah orangnya yang beriya-iya mengeluarkan kenyataan untuk membakar kilang bernilai pelaburan RM2,300 juta itu, jika Barisan Nasional (BN) masih menguasai tampuk kepimpinan negara selepas pilihanraya ini.

Atas sebab-sebab yang beliau sendiri tahu, Encik Wong jugalah yang kemudian telah meminta maaf atas kata-kata berbaur ugutan berkenaan.

Nyata sekali, Dato’ Sr DiRaja Adnan tidak pelik langsung dengan gejala puak-puak pembangkang tersebut yang kelihatan semakin menjadi-jadi menjelangnya Pilihanraya Umum ke-13 yang sedang dinanti-nantikan.

BERLATAR BELAKANGKAN KAIN RENTANG BN, IALAH SESI FOTO BERKUMPULAN PARA PENEROKA PENERIMA GERAN PADA PAGI ISNIN... Semoga ini juga melambangkan sokongan peneroka ini terhadap Kerajaan yang ada, pimpinan BN.  


‘ASYIK BANGKANG SAHAJA, BILA NAK SELESAI?’

Ketika ditanya oleh wartawan mengenai puak-puak pembangkang yang sama yang mempertikaikan majlis-majlis penyampaian suratan hakmilik tanah kepada peneroka sementelahan hampirnya pilihanraya umum itu katanya;

“… memanglah kerja dia (membangkang terhadap apa juga usaha Kerajaan termasuk  menganjurkan majlis-majlis penyampaian suratan hakimilik tanah). Sebenarnya, kita memberi geran sepanjang saya jadi M.B, yang ini je dekat pilihanrayanya.

“Sebelum ini, pergi ke Bera, pergi ke Jengka – banyak dah geran saya beri, jauh sebelum pilihanraya. Memang kerja pembangkang… Sebab itu Tompel (dalam filem ‘Anak Bapak’) marah (dengan dialognya)  ‘Asyik bangkang sahaja, bila bicara nak selesai?’.

“Saya, bila cerita fasal pembangkang ni, saya teringatkan Allahyarham (A.R) Tompel, Allahyarham P.Ramlee. Pendekkan cerita, macam cerita lawak aje pembangkang ni, jadi bahan ketawa,” katanya.

Dato’ Sri DiRaja Adnan turut mengumumkan lawatan rasmi Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak ke Pahang pada Sabtu, 23 Mac ini untuk antara lain, melancarkan Program Jelajah Janji Ditepati (PJJD) – merupakan penutup dan yang terakhir dalam siri PJJD ke negeri-negeri.

MASAK TEMPOYAK IKAN PATIN... Berada di bahagian dapur ini sungguh mengujakan, apatah lagi dengan bau dan aroma masakannya, yang menusuk ke hidung. Foto ini dirakam ketika golongan wanita sedang memasak sebagai hidangan makan tengah hari sempena Majlis Penyampaian Suratan Hakmilik pagi Isnin ini. 


KUANTAN, SIRI TERAKHIR JELAJAH JANJI DITEPATI

Sehubungan itu, beliau menggesa orangramai khususnya penyokong-penyokong Kerajaan serta ahli-ahli parti dalam Barisan Nasional (BN), agar dapat bersama-sama hadir pada program tersebut yang akan diadakan di Padang MPK 2 di Kuantan.

“Pada ketika yang sama juga, ada satu acara lain yang tidak dapat dielakkan di Stadium Darul Makmur (bersebelahan) yang juga Perdana Menteri akan pergi sekejap, kemudian tu akan ke PJJD.

“Silalah datang, 23 haribulan (Mac ini, hari Sabtu, pada sebelah) malam,” katanya.

Selain PJJD menurutnya, Perdana Menteri akan berada di Tanjung Besar, Lipis pada pagi Sabtu tersebut, untuk melancarkan program perumahan dan sosio-ekonomi anjuran dan biayaan Kerajaan Negeri, dikenali sebagai Rimbunan Kasih.

Program ini katanya, disasarkan terhadap golongan miskin, dengan mereka disediakan rumah selain kawasan tanah untuk menjalankan aktiviti ekonomi, ke arah melepaskan mereka daripada belenggu kemiskinan.

Antara yang turut hadir pada majlis penyampaian suratan hakmilik tanah ini ialah Ahli Parlimen-Ahli Parlimen, Dato’ Ismail Said (BN – Kuala Krau) dan Dato’ Ismail Mutalib (BN – Maran); wakil rakyat-wakil rakyat – Wan Salman Wan Ismail (BN – Jengka), Dato’ Ahmad Munawar Abdul Jalil (BN – Luit), Dato’ Shahaniza Shamsuddin (BN – Kuala Sentul); Pegawai Daerah Maran, Dato’ Fadzila Salleh; serta, Pengurus Besar, Felda Wilayah Jengka, Dato’ Shaari Din. – Khabar