Monday 25 March 2013

Pembangunan tanah di Pahang mesti tak babitkan kawasan-kawasan rizab!


… demi pelihara alam sekitar dan kemapanan hutan, serta jagai kebajikan masyarakat minoriti Orang Asli kita.

TUNAI BUAT PELAJAR STPM CEMERLANG... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menyampaikan cek olok-olok yang turut disertakan dengan cek sebenar kepada pelajar cemerlang ini. Sebagai tanda murah hatinya juga, beliau sendiri tambahkan lagi RM200 kepada nilai itu kemudian. 


KOLEJ ISLAM PAHANG SULTAN AHMAD SHAH (KIPSAS), KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menegaskan  betapa ketetapan dibuatnya agar apa-apa rancangan pembangunan tanah yang hendak diluluskan di negeri ini, mesti tidak membabitkan kawasan-kawasan rizab seperti tadahan air dan tanah Orang Asli.

Ia agar negeri ini menurutnya, dapat terus memelihara alam sekitar lalu menjamin kemapanan (sustainability) hutan, serta menjagai kebajikan dan hak-hak masyarakat minoriti Orang Asli yang telah diwartakan kawasan tanah mereka.

“Kalau kita (luluskan) rancangan pembangunan (tanah) satu tempat, pastikan tak terlibat tadahan air, tak terlibat rizab Orang Asli, tak terlibat sebarang rizab yang lain – hidupan liar sebagainya,” tegasnya.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada soalan wartawan pada pesidangan media sempena Majlis Konvokesyen Prauniversiti Negeri Pahang yang julung-julung kali dianjurkan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Pahang (JPNP) untuk pelajar-pelajar lepasan tingkatan enam, petang Isnin, 25 Mac di sini.

Sungguhpun dengan ketetapan tegas begitu, Dato’ Sri DiRaja Adnan akui, ia masih dilanggari yang puncanya ialah sifat tamak pihak-pihak tertentu termasuklah mereka yang dilesenkan untuk melaksanakan kerja-kerja melibatkan tanah dan perhutanan.

WAJAH YANG BERJAYA... Seorang daripada pelajar lagi, sedang menerima sijil daripada Dato' Sri DiRaja Adnan sambil Encik Rosdi disebelahnya, memerhatikan.  


‘YANG TAMAK, TAMAKLAH JUGA’

“Tapi kadang-kadang manusia ni, susahlah kita nak cakap. Yang tamak tu, tamak jugalah,” katanya dalam nada kesal.

“Katalah kita meluluskan (rancangan pembangunan) tanah itu satu (1) hektar untuk cucuk-tanam. Kadang-kadang orang yang dapat tu ‘bengkok’, dia akan buat sesetengah tempat, 10 hektar. Yang ada lesen (untuk) satu hektar, yang tak ada lesen 10 hektar.

“(Yang melibatkan pula) penebangan hutan. Ia ada syarat-syarat tertentu; pokok (yang hendak ditebang) ni (mestilah ukuran) lilitan sekian-sekian, cara tebang macam mana, tepi sungai jangan usik, ada ‘buffer zone’nya,” tegasnya.

Bagi menangani masalah pelanggaran dan ketidak patuhan inilah menurutnya, aspek-aspek penguatkuasaan oleh jabatan-jabatan berkenaan perlu dipertingkatkan; “walaupun pada keseluruhannya, keadaan masih terkawal”.

Atas tanggungjawab jabatan-jabatan tersebutlah menurutnya, untuk mengambil langkah-langkah yang diperlukan termasuk bagi menambahkan bilangan kakitangan mahupun peralatan yang diperlukan.

SAAT MEMBAHAGIAKAN... Inilah antara penerima pada Majlis Konvokesyen Prauniversiti Negeri Pahang petang Isnin itu. Dengan adanya majlis konvokesyen ini, ia tentu dapat menjadi pembakar semangat untuk mereka melakukan yang lebih baik lagi apabila menjejakkan ke universiti kelak. 


KERJA PENGUATKUASAAN BUKAN MUDAH

“Sekarang ni kita mempunyai alat-alat canggih; GPS, ‘remote sensing’ semua. Kita boleh gunakan satelit. Terpulang kepada inisiatif jabatanlah. Saya hanya boleh memberikan panduan,” katanya lagi.
  
Beliau juga berkata, pakar-pakar perhutanan ada maklumkan kepadanya bahawa pokok-pokok yang mencapai usia matangnya perlu ditebang yang jika tidak, akan mati hingga memberi kesan buruk kepada pokok-pokok lain.

“… kalau ikut amalan, kita jangkakan setiap 25, 30 tahun, hutan tu pusing balik. Kita tebang kawasan A, kita ikut syarat-syarat yang telah ditentukan, (dan sesudah) 20 tahun kita akan datang balik (di kawasan A yang sama, kita masih dapat) tebang sebagaimana kita tebang 20 tahun dahulu.

“Tapi kalau kita kerja kawasan A, kita tidak ikut peraturan, kita langgar semua – buffer zone sebagainya, lilitan pokok; 20 tahun akan datang, kita datang (semula ke kawasan yang sama tetapi) tak ada hutan. Itu mustahak penguatkuasaan tu,” katanya.

Dalam pada itupun, Dato’ Sri DiRaja Adnan tetap akur betapa kerja-kerja penguatkuasaan khususnya di dalam kawasan hutan dengan segala halangannya, bukanlah kerja mudah.

'UP-CLOSE' WITH THE MB... Menteri Besar sedang melayani soalan wartawan pada persidangan media. Di sebelahnya ialah Encik Rosdi. 


SYARAT ADA ZON PENAMPAN DI KEDUA-DUA TEBING, TIGA KALI GANDA LEBAR SUNGAI

Menurut rekod, syarat-syarat diterima-pakai di Pahang berkaitan perhutanan khususnya, ialah antara yang paling ketat. Malah, Pahang ialah negeri pertama dalam kalangan negeri di Semenanjung Malaysia yang menerima-pakai Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 1993 pada 23 Disember 1993 lagi.

Di bawah Akta yang dipinda inilah, hukuman bagi kesalahan mengambil hasil hutan dari hutan simpan kekal dan tanah kerajaan tanpa kebenaran diberatkan lagi, yakni denda tidak melebihi RM500,000 (sebelumnya, cuma RM10,000) dan penjara tidak kurang setahun tetapi tidak melebihi 20 tahun (sebelumnya, cuma tidak lebih tiga tahun).

Selain itu, Kerajaan Negeri juga mewajibkan apa juga kerja perhutanan/pembalakan hendaklah menuruti piawaian MC&I (Malaysian Criteria and Indicator). 

Dan ini diperketatkan dengan ketetapan, jika kawasan berkenaan ada sungai, bagi sungai yang lebarnya lebih tujuh (7) meter mesti ada zon penampan (buffer zone) seluas tiga kali ganda lebar sungai itu di tebing kiri dan kanannya! 

Bagi sungai yang lebarnya kurang tujuh (7) meter, hendaklah masih mempunyai zon penampan itu seluas 20 meter di kedua-dua belah tebingnnya.

RAKYAT AKAN SOKONG BN MENANG SEMUA 14 PARLIMEN

Pada persidangan media yang sama, Dato' Sri DiRaja Adnan juga Pengerusi, Barisan Nasional (BN) Negeri, ditanya sekali lagi tentang peluang kemenangan BN Negeri dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang.   

“Hati saya ada rasa sedaplah… Saya yakin pengundi negeri Pahang akan beri kemenangan kepada Barisan (Nasional),” katanya sambil menegaskan agar beliau tidak dilihat bercakap besar tentangnya.

“Saya yakin di negeri Pahang ni, rakyat akan beri sokongan kepada Barisan Nasional untuk menang kesemua 14 kerusi parlimen. Rakyat akan beri sokongan. (Ini) berdasarkan kepada reaksi, laporan, kajian kita – kajian oleh jabatan-jabatan, kajian oleh pihak-pihak yang berkecuali, ada ‘research group’.

“Yang mustahak sekarang ialah calon. Calon akan menentukan menang-kalah. (calon yang dipilih juga) akan menentukan menang besar, menang kecil. Calon, calon,” katanya lagi.

Yang turut hadir ialah isterinya, Datin Sri DiRaja Junaini Kassim – yang juga seorang Pengetua di Sekolah Menengah Panglima Perang, Indera Mahkota; serta, Timbalan Pengarah, JPNP, Encik Rosdi Ismail. – Khabar