Monday 15 December 2014

Bajet Lebihan ke-12 dalam tempoh 21 tahun!!!



Menteri Besar umumkan Bajet Negeri 2015 bernilai RM879 juta – RM872.42 juta untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

“Ini bermakna, Bajet (Negeri) 2015 akan menunjukkan ‘surplus’ sebanyak RM6.58 juta; ‘surplus’ ke-12 dalam tempoh 21 tahun, 1992 sehingga 2013,” katanya.       

DALAM UCAPAN BAJET NEGERI 2015, 55-MINITNYA... Bermula 11.09 pagi dan berakhir 12.04 tengah hari Isnin ini, Dato' Sri DiRaja Adnan telah menyampaikan Ucapan Bajet Negeri 2015 yang meliputi pelbagai perkara, demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat-jelatalah juga. 
  

DEWAN UNDANGAN NEGERI, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob hari ini mengumumkan Bajet Negeri 2015, yang merupakan bajet lebihan ke-12 dalam tempoh 21 tahun sejak 1992.

Bajet Lebihan ini – kira-kira RM6.58 juta, diperolehi selepas mengambil kira kutipan hasil untuk tahun depan (2015) yang dianggarkan RM879 juta, berbanding perbelanjaan yang disasarkan sebanyak RM872.2 juta.  

“Ini bermakna, Bajet (Negeri) 2015 akan menunjukkan ‘surplus’ sebanyak RM6.58 juta; ‘surplus’ ke-12 dalam tempoh 21 tahun, 1992 sehingga 2013,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan dalam Ucapan Bajet Negeri 2015 kira-kira 55 minit pada Persidangan Ketiga, Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri ke-13 pagi Isnin, 15 Disember, di sini.

Menurutnya, RM879 juta yang diperuntukkan untuk Bajet Negeri kali ini diperolehi daripada kutipan hasil tanah dan galian, RM371 juta; hasil-hasil lain, RM245 juta; pemberian geran daripada Kerajaan Persektuuan, RM165 juta; dan, hasil perhutanan, RM98 juta.

Manakala RM872.42 juta yang diperutukkan sebagai perbelanjaan ialah RM687.33 juta sebagai Perbelanjaan Mengurus, dan selebihnya, RM185.09 juta sebagai Perbelanjaan Pembangunan.  

PEMANDANGAN LUAS... Dari sudut Galeri Awam dan Ketua-ketua Jabatan, melihat ke bawah semasa Dato' Sri DiRaja Adnan menyampaikan Ucapan Bajet Negeri 2015. 
 

TIGA STRATEGI UTAMA BAJET NEGERI 2015
       
Sehubungan itu, Menteri Besar menyebut tentang strategi Bajet Negeri 2015 yang akan tertumpu kepada tiga (3) yang utama iaitu; Memperkukuh Pertumbuhan Ekonomi; Mensejahterakan Rakyat; dan, Membangun Modal Insan.

Sebelum itu, beliau menyatakan kesyukurannya kerana negeri ini berjaya berkembang pesat, selari dengan arus globalisasi hinggakan tahun lepas sahaja (2013), ia mencatat pelaburan yang diluluskan kira-kira RM7,760 juta selain mewujudkan 7,000 peluang pekerjaan baharu – mahir dan separuh mahir.

Pada tahun 2014 ini katanya, Keluaran Dalam Negara Kasar Negeri (KDNK) diunjurkan mencapai RM26,759 juta dengan kadar pertumbuhan 5.5 peratus. Pendapatan per kapita penduduk pula katanya, dijangka mencecah RM26,750 dengan kadar peningkatan 1.8 peratus berbanding tahun lepas (2013). 

“Selaras dengan pendapatan per kapita yang meningkat, purata pendapatan bulanan isi rumah diunjurkan naik kepada RM4,100 pada tahun 2014 iaitu peningkatan empat (4) peratus berbanding tahun 2013.

“Kadar kemiskinan tegar diunjurkan berkurangan kepada 0.15 peratus. Memandangkan keadaan ekonomi negeri yang semakin sihat, kadar pengangguran telah dapat dikurangkan kepada 2.5 peratus tahun 2014, berbanding 2.6 peratus pada tahun 2013,” katanya.

PROJEK PR1MA NEGERI DI RAUB... Ini merupakan foto fail mengenai projek PR1MA Negeri di Raub. Dalam Ucapan Bajet Negeri 2015, Menteri Besar juga menyebut tentang betapa sehingga November lepas (2014), Kerajaan Negeri telah meluluskan pembinaan 17,279 unit rumah tersebut melibatkan keluasan tanah, 2,146 ekar di suluruh negeri ini. 


JALAN SG LEMBING-JETANTUT DI BAWAH RMK-11

Dato’ Sri DiRaja Adnan turut menyentuh tentang prasarana termasuklah dalam penyediaan bekalan air bersih, dengan sasaran untuk memastikan 98 peratus daripada keluasan negeri ini mendapat bekalan tersebut.

Sehubungan itu, beliau turut menyebut sebanyak 13 projek melibatkan 60 pakej kontrak, telah dilaksanakan, melibatkan kerja-kerja pembinaan loji rawatan air baharu, pembinaan tangki simpanan air, pemasangan paip, dan, menaiktaraf sistem pembekalan sedia ada.

Mengenai jaringan lebuhraya, beliau ada menyatakan tentang keutamaan untuk meningkatkan mutu rangkaian jalan raya ke pedalaman, seperti yang bakal dibina bagi menghubungkan pekan Sungai Lembing dekat sini, ke daerah Jerantut.

Kerajaan Persekutuan katanya, telahpun meluluskan peruntukan RM2 juta untuk skop kerja ukur melibatkan jajaran baharu tersebut dan pelaksanaannya dijangka dimasukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (2016 – 2020).

Beliau juga menyentuh tentang usaha memajukan sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan program ‘Satu Daerah Satu Industri’ (SDSI) katanya, ialah satu daripada usaha tersebut bagi mengetengahkan satu produk bagi setiap satu daerah.

TAMAN PERINDUSTRIAN KUANTAN MALAYSIA-CHINA (MCKIP)... Dengan nilai pelaburan kira-kira RM4,200 juta oleh Alliance Steel (M) Bhd bagi mendirikan sebuah kompleks kilang keluli modern bersepadu di MCKIP ini, pembangunan pesat bukan setakat di sini malah di seluruh negeri dan negara ini, pasti akan terus berlaku. 

Persoalan tentang taman ini ada dibangkitkan oleh wakil rakyat pembangkang pada sesi soal-jawab di persidangan Dewan Undangan Negeri pagi Isnin ini, yang dijawab sendiri oleh Menteri Besar dengan memberikan maklumat yang sepatutnya. 


PENDARATAN IKAN LAUT KEDUA TERBESAR

“Pada awal RMK-10, jumlah projek Industri Asas Tani melebihi 300 projek sepertimana yang disasarkan dan pengeluaran telah melebihi RM28 juta setahun.  Pencapaian sehingga Jun 2014, pengeluaran kasar telah mencapai sebanyak RM23.8 juta dan telah membimbing sebanyak 740 projek.

“Sehingga kini, sebanyak 310 projek telah mencapai pendapatan melebihi RM2,000 sebulan,” katanya. 

Beliau juga menyebut betapa tiga (3) daerah iaitu Kuantan, Pekan dan Rompin, merupakan penyumbang pendaratan ikan laut kedua terbesar di Semenanjung Malaysia selepas Perak, dengan 110,594 tan metrik ikan marin bernilai RM1,280 juta telah dihasilkan.

Mengenai Orang Asli katanya, mereka tidak akan dipinggirkan yang kerana itu, usaha meningkatkan kualiti hidup mereka menerusi pembiayaan program-program berkenaan, akan diteruskan.

Anak-anak Orang Asli yang menerima pendidikan di sekolah rendah ketika ini katanya, dianggarkan 12,000 orang manakala di sekolah menengah ialah seramai 5,000 orang dan mereka diberi bantuan galakan pendidikan seperti bantuan pakaian seragam, bantuan makanan dan kelas tambahan peperiksaan.

PRASARANA PERHUBUNGAN DARAT YANG MENARIK, PADA WAKTU MALAM... 
 

KAJIAN UNTUK TINGKATKAN CAJ-CAJ TERTENTU

Pada 10-minit terakhir ucapannya, Dato’ Sri DiRaja Adnan kembali menyebut mengenai kewangan negeri khususnya tentang betapa kutipan hasil yang diperolehi setiap tahun ‘tidak dapat menutup, memenuhi keperluan yang kita terpaksa pikul setiap tahun’.

Secara kasar katanya, hasil yang Kerajaan Negeri mampu kutip ialah cuma kira-kira RM350 juta setahun sedangkan komitmennya terhadap pelbagai perkara, ialah kira-kira RM550 juta setahun.

“Komitmen ini termasuklah (bagi pembayaran) emolumen, bayaran bonus, kenaikan gaji dan sebagainya (kepada penjawat-penjawat awam). Dalam keadaan ini, Kerajaan Negeri telah mengambil keputusan untuk kaji balik supaya kita boleh kutip sekurang-kurangnya hasil yang boleh menampung keperluan kita,” katanya.

Pun begitu, beliau menegaskan, Kerajaan Negeri tetap tidak bercadang untuk menaikkan cukai tanah atau ‘quit rent’.

“Tetapi, Kerajaan (Negeri) terpaksa menilai kembali bayaran-bayaran lain yang dikenakan di bawah Peraturan Tanah Pahang. Ini termasuk mungkin ‘royalty’, bayaran untuk mendapatkan suratan hakmilik, bayaran untyuk mendirikan ‘billboard’.

PAIP AKAN KAJI KENAIKAN TARIF AIR

“Ini kita kena kaji semula dan dalam satu kajian yang dibuat, jika caj-caj tertentu ini dinaikkan sedikit, Kerajaan (Negeri) mampu memperolehi lebih-kurang RM150 juta hasil tambahan setahun,” katanya lagi.

Beliau turut menyebut tentang tarif air yang tidakpun dinaikkan sudah lebih 32 tahun sejak tahun 1982 lagi sedangkan kini, Kerajaan Negeri terpaksa memberi peruntukan RM50 juta setahun kepada Jabatan Bekalan Air yang kini diperbadankan sebagai Pengurusan Air Pahang Bhd (PAIP).

“Kerajaan Negeri menyerahkan kepada PAIP untuk menentukan sama ada tarif patut dikaji semula ataupun tidak kerana, kalau tarif tidak dikaji semula, maka PAIP akan sentiasa perlukan suntikan kewangan daripada Kerajaan Negeri, setakat ini RM50 juta setahun, tetapi mungkin akan meningkat pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

Namun, beliau segera berkata betapa, “Walau apapun Yang Berhormat, Tuan Yang Dipertua, hasrat Kerajaan Negeri ialah untuk pastikan semua lapisan rakyat di Pahang ini, dapat hidup aman dan tenteram”.

Persidangan Dewan Undangan Negeri yang bermula hari ini, akan berlangsung selama lima (5) hari dan berakhir pada Jumaat, 19 Disember. – Khabar