Tuesday 23 December 2014

KDYMM Sultan Pahang lancar Syiling Peringatan dan Setem Kenangan sempena memuliakan Sambutan 40 Tahun Pemerintahan Baginda



PERSEMBAHAN KE SISI KEBAWAH DULI TUANKU... KDYMM Sultan Pahang sedang menerima persembahan. DYMM Sultanah Pahang turut kelihatan, begitu juga Dato' Sri DiRaja Adnan, Dato' Sri Shahiruddin dan Dato' Shahaniza. 

SEBUAH HOTEL LIMA BINTANG, KUALA LUMPUR – KDYMM Sultan Pahang telah perkenan mencemar duli, berangkat merasmikan Majlis Pelancaran Syiling peringatan dan Setem Kenangan sempena memuliakan Sambutan 40 Tahun Pemerintahan Baginda.

Baginda Tuanku – Sultan Ahmad Shah ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al-Muadzam Shah, dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang V pada 7 Mei 1974, serta ditabalkan setahun kemudian.

Yang turut berangkat pada majlis yang diadakan secara sederhana tetapi tetap meriah pada malam tadi, Isnin, 22 Disember di sini ialah DYMM Sultanah Pahang, serta anakanda-anakanda Baginda.

Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob dan isteri, Datin Sri DiRaja Junaini Kassim; serta, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Sri Muhammad Safian Ismail turut hadir.

Begitu juga kedua-dua Pengerusi Jawatankuasa bagi pelaksanaan kedua-dua acara ini iaitu ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri Dato’ Sri Shahiruddin Ab Moin dan Dato Shahaniza Shamsuddin.

DALAM SESI FOTO BERKUMPULAN... 

SETEM KENANGAN MULA DIJUAL 29 DISEMBER

Syiling peringatan ini dijual pada harga RM6,999 sekeping dan hanya dikeluarkan sebanyak 3,999 keping. Sementara setem kenangan ini dijual dengan harga RM19.10 bagi satu ‘set folder’ lengkap yang mengandungi 20 keping setiap satu.

Syiling peringatan ini boleh didapati melalui tempahan daripada syarikat pengeluarnya –
Triplenine Goldworld Gallery Sdn Bhd, manakala setem kenangan akan dijual di kesemua pejabat pos seluruh negara bermula Isnin, 29 Disember ini. 

INILAH CONTOH SYILING PERINGATAN... – BERNAMA/Khabar