Saturday 20 December 2014

PM, MB singgah bersarapan Nasi Dagang Ubai

'SELF-SERVICE'... Dato' Sri Mohd Najib sedang menyenduk sendiri ramuan-ramuan berkenaan ke dalam pinggannya. 


SEBUAH GERAI NASI DAGANG, SIMPANG KE KAMPUNG UBAI, PEKAN – Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak yang dalam perjalanan dari Pangkalan TUDM, Kuantan untuk menghadiri majlis di bandar Pekan, telah singgah di sini pagi Sabtu, 20 Disember, untuk bersarapan berjuadahkan nasi dagang.

Beliau yang diiringi Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, meluangkan masa kira-kira 20 minit untuk menikmati juadah tersebut – Nasi Dagang Ubai, sambil bertegur-sapa, bertanya khabar dengan pelanggan-pelanggan lain.

Kehadiran Dato’ Sri Mohd Najib yang juga ahli Parlimen Pekan, telah menarik perhatian orangramai yang kemudian mengambil kesempatan untuk beramah mesra dan bergambar dengannya.

Mengulas persinggahan ini dalam ucapannya pada majlis berkhatan beramai-ramai  Parlimen Pekan di Dewan Jubli Perak Sultan Hj Ahmad Shah, Pekan kemudian, BERNAMA melaporkan beliau berkata, betapa satu kepuasan untuk dirinya berkesempatan bersarapan dan bermesra dengan rakyat seperti itu.

“Bagi ahli politik seperti saya, bukan kejayaan dasar besar yang memberi kepuasan kepada diri saya, tetapi lebih kepada perkara kecil seperti ini yang memberi kepuasan sehingga menusuk kalbu saya.

BERSARAPAN SAMBIL BERMESRA DI MEJA MAKAN... Dengan kopi-O panas sebagai minuman, tiada apa lagi yang kurangnya tentang juadah sarapan di gerai tepi jalan Kuantan-Pekan ini.


DAMPINGI RAKYAT CARA ISTIMEWA

“Menerusi cara ini juga saya dapat mendampingi rakyat dengan cara yang lebih istimewa,” katanya.

Mengenai majlis berkhatan itu, BERNAMA turut melaporkan saranan Dato’ Sri Mohd Najib agar syarikat tempatan memperluaskan pemasaran teknologi berkhatan bukan sahaja di dalam negara tetapi juga mengeksportnya.

Amalan berkhatan menurut Perdana Menteri, bukan sahaja diwajibkan dalam kalangan umat Islam tetapi juga dalam kalangan penganut agama-agama lain termasuklah agama pegangan kaum Yahudi.

“Malah di negara kita, orang bukan Islampun menganggap berkhatan sebagai amalan yang baik dan patut dilakukan oleh mereka,” beliau dipetik sebagai berkata pada majlis anjuran Biro Agama, Umno Bahagian Pekan dan Biro Agama Umno Malaysia itu.

Beliau turut berkata, penggunaan teknologi berkhatan moden seperti yang diperkenalkan oleh Sunatech Sdn Bhd pada majlis ini, adalah  hasil kajian anak tempatan dan merupakan antara teknologi terkini dalam berkhatan, yang bukan sahaja mampu mengurangkan rasa sakit tetapi juga mudah dan selamat.

SEMBURAN AIR BOMBA... Dato' Sri Mohd Najib sedang membuat semburan air ke arah anak-anak kita yang akan berkhatan ini. 


SERAMAI 327 ORANG BERKHATAN

“Malah, ia hanya mengambil masa 10 minit untuk satu sesi dan merupakan satu kaedah mudah, tiada jahitan, tiada balutan dan tidak sakit.

“Kanak-kanak yang melakukan khatan melalui kaedah ini juga dikatakan boleh melakukan aktiviti rutin harian seperti mandi serta bersolat dan ia amat sesuai untuk dieksport ke luar negara," katanya.

Seramai 328 kanak-kanak dari sekitar Parlimen Pekan terlibat dalam program dua hari, berkhatan secara percuma itu.

Bagi program hari ini, 120 orang akan dikhatankan di Baitul Rahah manakala selebihnya 208 orang akan dikhatankan esok, dengan bantuan 10 doktor dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dibantu 70 anggota ATM yang lain. – BERNAMA/Khabar