Tuesday 30 December 2014

Ambil berat berterusan terhadap nasib, kebajikan mangsa banjir!


… dengan antara lain, KDYTM Tengku Mahkota berangkat mencemar duli, melawat ke kawasan-kawasan dilanda banjir di Temerloh, dan pusat-pusat pemindahannya termasuk di R&R Temerloh.

Menteri Besar pula – disamping hadiri pengkebumian kakak ipar di Bentong pada lewat pagi, kembali semula ke Kuantan lawati mangsa banjir di SMK Pandan.

SUASANA DI SEBUAH PUSAT PEMINDAHAN... Hati siapakah yang tidak senang dan tenang - lalu hilang sebentar segala resah akibat banjir; apabila lauk diceduk ke pinggan sendiri oleh tokoh negeri yang unggul seperti KDYTM Tengku Mahkota sendiri.

Di sebelah kanan Baginda (berbaju merah, bertopi) ialah ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Sharkar Shamsuddin, yang juga wakil rakyat (BN - Lanchang) yang juga Ketua UMNO Bahagian Temerloh. 
 

Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Menyedari hakikat inilah, paling tidak yang boleh dilakukan dalam pada negeri dan beberapa negeri lain dilanda banjir besar, ialah untuk meringankan beban yang mangsa-mangsa banjir ini tanggungi.

Inilah yang secara terus-menerus dilakukan oleh tokoh-tokoh negeri kita sepertimana diteladankan oleh KDYTM Tengku Mahkota Pahang; dituruti Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob serta ahli-ahli Exco Kerajaan Negerinya; dan, wakil-wakil rakyat sekelian.

Selain lawatan demi lawatan dilakukan – termasuk misi pengantaran barangan keperluan ke lokasi-lokasi yang memerlukan; pada masa yang sama, langkah-langkah lanjutan diambil untuk menjagai kebajikan mangsa-mangsa banjir.

Pada Selasa, 30 Disember, hal yang samalah dilakukan dengan KDYTM Tengku Mahkota telah mencemar duli, berangkat melawat ke kawasan-kawasan banjir dan pusat-pusat pemindahan mangsa banjir di daerah Temerloh.

BAGINDA, BRIG-JEN TENGKU ABDULLAH AL-HAJ... Segak dan tampannya Baginda dalam pakaian seragam Askar Wataniah yang Baginda sendiri ialah Komander, Regimen 505nya yang kini berpangkalan di Pekan. 

Foto ini - Baginda bersama-sama anakanda, YAM Tengku Muhammad Riayatuddin Shah;  dirakam di atas LPT yang telah ditutup akibat banjir di KM126 yang berdekatan. 
 

PUSAT PEMINDAHAN ‘SPONTAN’ DI R&R TEMERLOH

Pusat-pusat pemindahan ini termasuklah ke sebuah yang dijadikan sebagai pusat berkenaan secara spontan oleh penduduk berhampiran yang terbabit – kira-kira 50 orang, di kawasan Rehat dan Rawat Temerloh, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), berhampiran KM126 yang ditengelami air hingga memutuskan hubungan.

Dato’ Sri DiRaja Adnan pula, pada sebelah pagi, perlu menguruskan penghantaran jenazah kakak iparnya, Allahyarham Rohana Kassim yang meninggal di sebuah pusat perubatan di Kuantan; ke Bentong, dengan pengangkutan udara.

Dan beliau berada di sana, di Tanah Perkuburan Islam Barak untuk acara pengkebumian, sebelum pula kembali ke Kuantan untuk melawati mangsa-mangsa banjir di Sekolah Menangah Kebangsaan (SMK) Pandan.

Selainnya kata orang, ‘is history’. Yang menandakan begitu tingginya sikap mengambil beratnya tokoh-tokoh negeri kita terhadap mereka yang memerlukan, dalam menghadapi saat-saat yang mencabar dan penuh dugaan ini. 

Foto-foto yang disiarkan di sini ialah sumbangan dan atas ehsan BERNAMA, serta yang dipetik daripada kumpulan WhatsApp Ketua-ketua Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan/ADUN. 

PELUKAN MESRA SEORANG PEMIMPIN NEGERI... Kanak-kanak mangsa banjir di pusat pemindahan SMK Pandan ini tentu berbangga kerana mendapat pelukan keayahan, daripada tidak lain, Dato' Sri DiRaja Adnan sendiri. 

Yang turut kelihatan dala  foto ini ialah wakil rakyat-wakila rakyat Dato' Sohaimi Mat Shah (BN - Sungai Kembing); Dato' Shohaimi Yusoh (BN - Lepar); dan, Pegawai Daerah Kuantan, Dato' Norhayad Ahmad (berbaju dan bertudung biru). – Khabar