Monday, 19 January 2015

Orang Asli perlu lebih proaktif untuk maju, kata Menteri Besar



DIVIDEN DAN BONUS YANG BUKAN KEPALANG NILAINYA...  Dato' Sri DiRaja Adnan tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama-sama para penerima dividen dan bonus. Mengiringinya ialah Senator Dato' Muhammad Olian (sebelah kanannya) serta, Dato' Hasnan dan Encik Isa (kedua-duanya berbaju korporat JAKOA) 

 
DEWAN UTAMA, KOMPLEKS YAYASAN PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Dalam pada Kerajaan memberi bantuan dan menyediakan kemudahan yang diperlukan, masyarakat Orang Asli diminta lebih proaktif demi memastikan kemajuan mereka.

Ketika membuat saranan ini, Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob berkata, Kerajaan sememangnya sentiasa mengambil berat tentang kebajikan Orang Asli termasuklah yang berkaitan dengan soal kediaman.

Yang oleh itulah juga katanya, Kerajaan – Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, sentiasa mahu memastikan agar Orang Asli mempunyai tanah mereka sendiri untuk mendirikan kediaman masing-masing.

“Jadi kita harap, apabila sudah dibantu – contohnya, apabila diberikan dividen, jangan lupa untuk menabung.

“Jangan digunakan secara boros, dihabiskan dalam satu hari,” katanya sepertimana laporan berita oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bonus dan Dividen Projek Tanaman Semula Komersial (TSK) Orang Asli Pahang pagi Isnin, 19 Januari, di sini.

MEMBERI KEPADA YANG MEMERLUKAN... 


TERDEDAH DENGAN KEHIDUPAN ORANG ASLI SEJAK KECIL

Yang turut hadir ialah Ahli Dewan Negara bagi masyarakat Orang Asli, Senator Dato’ Muhammad Olian Abdullah; Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Dato’ Hasnan Hassan; dan, Pengarah, JAKOA Negeri, Encik Isa Ab Hamid.

Menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, kesungguhannya membantu masyarakat Orang Asli selama ini ialah kerana telah ‘didedahkan’ dengan kehidupan masyarakat Orang Asli sejak kecil, termasuk tentang kesukaran mereka untuk mencari rezeki.

“Saya tahu mereka ini susah dan kehidupan jauh di dalam hutan, selain bergantung kepada hasil hutan. Malah semasa kecil, arwah nenek saya mengupah Orang Asli untuk mengerjakan sawah,” katanya.

Beliau seterusnya memuji kerjasama dan disiplin masyarakat Orang Asli di negeri ini khususnya semasa bencana banjir baru-baru ini yang menurutnya, mematuhi arahan berpindah.

Yang turut mendapat pujiannya ialah ekoran kerja-kerja penyelarasan yang mantap antara JAKOA dengan agensi-agensi penyelamat, hingga memudahkan kerja termasuk dalam urusan pengagihan bantuan.

Beliau menambah kata betapa bencana banjir pada kali ini juga telah menjadi pengalaman berguna kepada Kerajaan Negeri untuk meningkatkan prosedur berhadapan banjir pada tahun-tahun akan datang. 

KEHADIRAN PENUH DEWAN...Inilah sebahagian daripada masyarakat Orang Asli yang hadir memenuhi Dewan pada pagi Isnin ini. – Bernama/Khabar