Friday, 30 January 2015

KDYMM Sultan Pahang berangkat lagi ke Cameron Highlands, tinjau kemajuan projek tebatan banjir Sungai Bertam


… keberangkatan kedua dalam tempoh kira-kira dua (2) bulan selepas 19 November, menunjukkan ambil beratnya Baginda tentang usaha pemulihan tanahtinggi ini

PERSEMBAHAN TAKLIMAT 'ON-SITE'... Selain Dato' Sri DiRaja Adnan, yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Sri Ir Mohd Soffi (dua dari kiri).

PUSAT GERAKAN RELA DAN BOMBA SUKARELA, LEMBAH BERTAM, CAMERON HIGHLANDS – KDYMM Sultan Pahang telah berkenan berangkat mencemar duli, ke daerah ini bagi meninjau kemajuan terkini mengenai projek tebatan banjir di Lembah Berta mini.

Keberangkatan kali kedua petang Jumaat, 30 Januari – tidak sampaipun 80 hari selepas keberangkatan pada Rabu, 19 November lepas; menunjukkan lagi sikap ambil beratnya Baginda terhadap usaha-usaha pemulihan kawasan tanahttinggi ini.

Keberangkatan Baginda dengan helikopter dari Kuala Lumpur di padang Kelab Golf Sultan Ahmad Shah di Tanah Rata dekat sini, telah disambut oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob.

Baginda kemudian – dengan diiringi oleh Dato’ Sri DiRaja Adnan, terus ke sini bagi meninjau serta dipersembahkan taklimat mengenai projek tebatan banjir berkenaan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

Mengenai taklimat tersebut, BERNAMA melaporkan bahawa Baginda telah menzahirkan rasa tidak puas hati dengan tindakan pihak berkenaan, dalam menangani usaha pemulihan selepas kejadian banjir lumpur yang dialami di Lembah Bertam ini, November lepas.

SANA TU... KDYMM Tuanku kelihatan, sedang menunjukkan ke satu arah sambil menitahkan sesuatu yang berkaitan dengan kerja-kerja tebatan banjir Sungai Bertam ini.


TINDAKAN TIDAK SEPERTI YANG DIHARAPKAN

Menurut laporan berita itu, Baginda telah menyifatkan tindakan yang diambil sebagai tidak efisien dan tidak lancar, tidak sepertimana yang diharap-harapkan.

“Cameron Highlands adalah sebuah pusat peranginan yang unggul. Jadi, adalah penting untuk kita mengekalkan kecantikannya,” titah Baginda semasa sesi taklimat tersebut.

Lanjutan itu, Baginda turut menitahkan agar semua agensi terlibat, perlu bekerjasama dalam menghadapi serta menangani krisis atau bencana seperti banjir lumpur yang dialami.

“Saya ingin memaklumkan kepada rakyat Pahang bahawa, Kerajaan sentiasa mengambil berat tentang kebajikan mereka. Kita semua sentiasa bekerja sebagai satu pasukan.

“Jadi saya harap, pihak yang berkenaan akan mengambil tindakan yang sewajarnya,”
titah Baginda lagi.

Antara yang turut hadir ialah Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri – Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak, dan, Dato’ Shafik Fauzan Sharif; serta, Pegawai Daerah Cameron Highlands, Dato’ Ab Rahman Hamzah. 

BERSEDIA UNTUK MENERIMA PERSEMBAHAN TAKLIMAT... – BERNAMA/Khabar