“Penerokaan
tanah haram secara besar-besaran kita tak boleh biarkan.
“Tapi,
penerokaan tanah haram semata-mata kita tahu, adalah benar-benar untuk
menjamin, menyara keluarga; ini kerajaan boleh pertimbangkon TOL, permit dan
sebagainya,” kata Menteri Besar.
PERISTIWA MANIS PAGI SELASA... Para penerima kelihatan begitu gembira menerima apa yang dihajati selama ini daripada Menteri Besar sendiri.
DEWAN JUBLI
PERAK SULTAN HJ AHMAD SHAH, MARAN – Dalam pada giat membanteras kegiatan
penerokaan tanah secara haram di Cameron Highllands, tanah-tanah yang
ditinggalkan akan dipulihkan dengan pelbagai cara termasuk penanaman semula
hutan;
Manakala,
mana-mana tapak yang sesuai pula akan dikeluarkan Lesen Pendudukan Sementara
(TOL) kepada penanam-penanam sayur kecil-kecilan untuk mengerjakannya sebagai
mata pencarian keluarga.
Inilah
antara keputusan dicapai pada Mesyuarat Jawatankuasa Banjir Kilat dan Tanah Runtuh
Cameron Highlands dipengerusikan bersama oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri
Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob petang semalam,
Isnin, 26 Januari di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya.
Tan
Sri Muhyiddin ada menyebut mengenainya pada persidangan medianya semalam, dan Dato’
Sri DiRaja Adnan diminta mengulas lanjut pada persidangan media sempena Majlis
Penyampaian Suratan Hakmilik dan Notis 5A pagi Selasa, 27 Januari di sini.
Nyata
betapa keputusan yang diambil ini adalah berteraskan sikap mengambil beratnya
Kerajaan Negeri dan Persekutuan terhadap nasib penanam-penanam sayur
kecil-kecilan di Cameron Highlands, yang menghadapi kesukaran hidup seharian akibat
kerja-kerja penguatkuasaan ketika ini.
DALAM PENUH KEBANGGAAN DAN KESYUKURAN... Semoga penerima-penerima suratan hakmilik tanah ini dapat menginsafi dan bersyukur, serta memelihara pemilikan dokumen penting ini dengan sewajar-wajarnya.
KECIL-KECILAN =
2 HEKTAR
“Dalam mesyuarat
tersebut, isu-isu penguatkuasaan, isu-isu untuk memulihkan semula Cameron
Highlands telah dibincangkan dan Kerajaan Negeri telah membawa satu perkara
iaitu;
“… kita
berpendapat perlunya penanam-penanam sayur yang bergerak secara kecil-kecilan
untuk menyara keluarga, diberikan pertimbangan dan ini telah dipersetujui oleh
YAB Timbalan Perdana Menteri dan juga mesyuarat.
“Ini bermakna,
penanam-penanam sayur yang selama ini mengerjakan tanah semata-mata untuk
menyara keluarga (seluas) dua (2) hektar sebagai contoh; kita akan
pertimbangkan selepas ini.
“Kita akan
kenalpasti lokasi-lokasi sesuai untuk kita pertimbangkan Lesen Pendudukan Sementara
kepada petani-petani, penanam-penanam sayur kategori ini,” katanya sambil
memberitahu, TOL diberhentikan pengeluarannya di kawasan tanahtinggi itu sejak
tahun 2000 lagi iaitu setahun selepas beliau menjadi Menteri Besar.
“Dan perkara ini
saya selalu sebutkan dalam Dewan Undangan Negeri,” katanya, dan menambah kata
betapa;
MENEMUI MEDIA... Selain Dato' Sri DiRaja Adnan; yang diapit kanan-kiri oleh Dato' Sri Ismail dan Dato' Shahaniza ialah, Encik Mohamad Ariffin, Dato' Wan Salman, Cik Nurhidayah, dan, Dato' Syed Ahmad Fuad (kiri sekali).
TAK BOLEH
BIARKAN PENEROKAAN TANAH HARAM BESAR-BESARAN
“Penerokaan
tanah haram secara besar-besaran kita tak boleh biarkan. Tapi, penerokaan tanah
haram semata-mata kita tahu, adalah benar-benar untuk menjamin, menyara
keluarga; ini kerajaan boleh pertimbangkon TOL, permit dan sebagainya”.
Pun
begitu beliau menegaskan betapa, “…
bukan semua kawasan yang telah dikuatkuasakan itu akan diberi kepada orang
(penanam sayur secara kecil-kecilan). Mana yang sesuai tanam semula pokok, (akan
di)tanam semula pokok. Mana yang sesuai untuk ‘landscaping’, (akan dibuat
semula) ‘landscaping’.
Lanjutan
kepada persetujuan tersebut katanya, Kerajaan Negeri telah ditugaskan untuk
mengenal pasti penanam-penanam sayur kecil-kecilan berkenaan yang menurutnya,
ada antara tanah berkenaan telah diusahakan sejak zaman datuknya lagi.
“… sejak zaman
datuk dia, bapak dia lagi – 60 tahun, 45 tahun, 30 tahun yang lalu. Kita akan
senaraikan dan kita akan perakukan untuk dikeluarkan TOL atas tanah yang
sesuai, yang telah diteroka secara haram selama ini,” kata Dato’ Sri DiRaja
Adnan lagi.
Selain
itu katanya, tanah-tanah yang diterokai haram dan telah dilakukan kerja-kerja
penguatkuasaan, akan ditanam semula dengan hutan oleh Jabatan Perhutanan serta
tindakan-tindakan lain demi memulihkannya agar Cameron Highlands kembali menjadi
tempat yang menarik untuk dilawati oleh para pelancong.
BERPADALAH
DENGAN YANG ASAS SAHAJA
Menjawab
soalan wartawan tentang tempoh bagi mengenal pasti penanam-penanam sayur kecil-kecilan
ini katanya, Kerajaan Negeri telah memberi jaminan untuk menyelesaikannya dalam
sebulan lebih ini.
“… YAB Timbalan
Perdana Menteri semalam bagi tahu, Pelan Struktur dan sebagainya (untuk Cameron
Highlands), yang dibuat oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa, akan disiapkan
dalam tempoh enam (6) bulan.
“Dan,
pengeluaran TOL ini mesti disesuaikan juga dengan segala peraturan dan syarat
yang ketat, yang mesti dipatuhi oleh semua pemegang TOL di Cameron (Highlands) nanti,” tegasnya.
Mengenai
tempoh musim tengkujuh yang kebiasaannya akan berakhir cuma pada Mac sejak
bermula November lepas, kata Menteri Besar, langkah berjaga-jaga dalam kalangan
rakyat haruslah ada.
“Pendek kata,
siapa yang balik ke rumah itu, jangan selesa dan kita berpada dengan perkara
asas sahajalah. Jangan kita terlalu ghairah atau beriya sangat membeli
peralatan, perabut rumah, tak payah,” katanya.
‘WEATHER
PHENOMENON, DUE TO NATURAL FORCES’
Menurut
seorang pakar kajicuaca katanya lagi, apa yang dialami sekarang merupakan ‘weather
phenomenon, due to natural forces’ yang turut menyatakan betapa pula kegiatan
pembalakan dan pertanian merupakan faktor penyumbang sahaja.
“Betul juga
sebab, kita banjir besar dah tiga (3) kali – tahun (19)26 yang paling teruk,
tahun (19)70-71, 2014-2015. Maknanya, perkara-perkara yang buruk yang orang
ramalkan itu dan dikeluarkan pula oleh orang yang pakar, kita kena ambil
kiralah,”
katanya.
Antara
yang turut hadir pada Majlis Penyampaian Suratan Hakmilik dan Notis 5A ini
ialah Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Ismail Mutalib yang juga wakil
rakyat Parlimen (BN – Maran);
Ahli
Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Shahaniza Shamsuddin yang juga wakil rakyat (BN –
Kuala Sentul); wakil-wakil rakyat – Dato’ Wan Salman Wan Ismail (BN – Jengka); Encik
Mohamad Ariffin Awang Ismail (BN – Chenor); Cik Nurhidayah Shahaimi (BN – Luit);
dan, Pegawai Daerah Maran, Dato’ Syed Ahmad Fuad Syed Taha.
Pada
majlis ini, seramai 37 orang penduduk sekitar daerah ini, telah menerima
suratan hakmilik mereka, dan baikinya, 249 orang menerima notis 5A
masing-masing. – Khabar