… jika pelombong/kontraktor
tidak dapat patuhi syarat-syarat dan akuri langkah-langkah baharu yang lebih ketat,
yang Kerajaan Negeri kuatkuasakan serta-merta.
TAKLIMAT/PENGUMUMAN LANGKAH TEGAS 6-PERKARA BENDUNGI GEJALA PERLOMBONGAN 'BAUXITE'... Dato' Sri Muhammad Safian sedang menyampaikan taklimatnya sambil Dato' Sri DiRaja Adnan dan yang lain termasuk kalangan media, sedang memberi tumpuan sepenuhnya.
BILIK REHAT,
WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob hari
ini memberi kata-dua tegas kepada para pelombong serta operator pengeluaran
bahan mineral ‘bauxite’ –
Sama
ada patuh kepada segala syarat baharu yang lebih ketat yang Kerajaan Negeri
perkenal dan kuatkuasakan serta-merta; atau, hadapi tindakan pengharaman
sepenuhnya aktiviti itu di negeri ini.
“Kerajaan Negeri
memberi amaran keras kepada semua kontraktor, pelombong supaya mereka
berhati-hati, menjaga kebersihan. Kalau tidak, kita akan tutup semua sekali,” kata tegas
Dato’ Sri DiRaja Adnan pada persidangan media tengah hari Selasa, 26 Mei di
sini.
“Langkah
terakhir ialah menutup semua sekali. Walau apapun, kepentingan orangramai
menjadi perkara utama,” katanya lagi selepas mempengerusikan mesyuarat
tentang gejala ‘bauxite’ bersama-sama ketua jabatan-jabatan yang berkenaan.
“Kerajaan Negeri
amat sedar tentang kesulitan yang dialami oleh orangramai terutama sekali
pengguna jalanraya, dan juga penduduk-penduduk kampung yang berhampiran, yang
jalanraya melalui kampung mereka dilalui oleh lori-lori yang membawa
‘bauxite’,”
katanya lagi.
BERPERSIDANGAN MEDIA... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menyatakan apa yang harus dinyatakan, pada persidangan media tengah hari Selasa itu ketika persidangan Dewan Undangan Negeri sedang berlangsung, yang mana soal gejala 'bauxite' banyak diperkatakan oleh wakil-wakil rakyat sekelian.
SYARAT PERLU
SEDIAKAN DEPOSIT
Antara
syarat-syarat baharu itu ialah memestikan pelombong dan kontraktor menyediakan
terlebih dahulu ‘deposit’ dalam amaun yang bersesuaian, yang bakal Kerajaan
Negeri tentukan.
Selain
mewajibkan mereka mencuci kenderaan – lori pengangkut bahan mineral berwarna
kemerahan itu, terlebih dahulu, sebelum boleh meneruskan perjalanan di atas
jalan menuju ke Pelabuhan Kuantan untuk pengeksportan.
Juga
menetapkan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan memperbaharui lesen-lesen
berkenaan ke atas kenderaan milik pelombong dan operator terbabit, selagi
mereka tidak membayar keseluruhan kompaun yang dikenakan atas kesalahan-kesalahan
berkaitan pengangkutan bahan mineral itu.
“Kita akan jadi
lebih ‘strict’. Kita berharap, orangramai tidak akan berasa bimbang lagi dan kalau
ada apa-apa ‘complaint’, boleh dipanjangkan kepada Kerajaan, kepada Menteri
Besar sendiri, Dato’ Sri SS.
“Dan saya juga
berharap, pihak industri di Gebeng jangan berasa terperanjat atau berasa gawat.
Kerajaan dalam proses untuk menyelesaikan masalah ini. Mungkin mengambil sedikit
masa untuk mendapat kesannya,” katanya.
AKUR DENGAN HAKIKAT KEROSAKAN, 'NOT IN DENIAL MODE'... Sejak Januari lagi, gejala akibat perlombongan 'bauxite' telah dibincang oleh Kerajaan Negeri, disusuli perjumpaan dengan operator-operator dan pelombong bahan mineral kemerahan itu pada Februari, yang telah mengambil beberapa ketetapan bagi membendung gejala berkenaan.
Ini semua menunjukkan keprihatinan tinggi Kerajaan Negeri atas gejala tersebut. Tidak pula mengenepikannya sahaja lalu selesa berada dalam 'state of denial'. Namun, gejala tetap berterusan yang sebahagian besarnya haruslah diletakkan beban kesalahan itu kepada operator-operator berkenaan juga.
Maka, kata-dua Dato' Sri DiRaja Adnan yang disampaikan secara jelas dan tegas pada tengah hari Selasa, 26 Mei ini tentunya dinanti-nantikan. Jika masih tidak akur, haramkan sahaja seluruh indusrti perlombongan 'bauxite' di negeri ini sepertimana yang telah diambil oleh beberapa negara luar sebelum ini!
ENAM LANGKAH
TEGAS BAHARU BENDUNGI GEJALA ‘BAUXITE’
Setiausaha
Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail yang turut hadir, kemudian
diminta memberi taklimat seterusnya menyenaraikan langkah-langkah baharu yang
lebih tegas yang direstui Kerajaan Negeri, ke arah membendung gejala itu lagi.
Enam
(6) langkah kesemuanya iaitu –
#
Pertama; Mengawal rapi pengeluaran dan pelaksanaan MOL (Mining Ore License)
oleh operator-operator.
Menurut
Dato’ Sri Muhammad Safian, “Dato’ Sri (DiRaja
Adnan) sendiri tidak bercadang untuk hendak ‘stop’ 100 percent, sebab banyak
yang bergantung, mencari makan pada MOL ini. Tetapi kita akan mengambil
tindakan yang ‘strict’ sikit.
“Maknanya,
setiap MOL yang kita (hendak) luluskan kita akan tengok sama ada dia
menjalankan aktiviti melombong ataupun tidak. Kalau dia menjalankan aktiviti
melombong, kita terpaksa membatalkan MOL dia”.
#
Kedua; Tindakan tegas ke atas lombong-lombong haram yang telah dikenalpasti
lokasinya, dengan menyita peralatan melombong termasuklah jentera-jentera
seperti jengkaut (excavator) milik operator berkenaan.
KENALPASTI LIMA
KAWASAN LOMBONG HARAM, AKAN DISITA
Ada
lima (5) kawasan lombong haram utama yang dikenalpasti iaitu di Rancangan Tanah
Felda Bukit Goh yang melibatkan tanah-tanah milik; satu lagi juga di rancangan
tanah itu menghala ke Bukit Sagu;
Di
kawasan belakang Taman Dato’ Rashid, dan, di kawasan belakang Bandar Damansara
Kuantan – kedua-duanya bersebelahan Jalan Kuantan-bypass; dan, di kawasan belakang
Aspa Cottage berhampiran sempadan Kuantan-Kemaman.
#
Ketiga; Sekatan jalanraya bersepadu PTG-PDRM-JPJ-Jabatan Mineral dan Geosains-JAS-Rela terus dilaksanakan. Tetapi, ekoran kekurangan pegawai
penguatkuasa, lokasinya dikurangkan daripada lima (5) yang sedia ada, kepada
tiga (3) iaitu masing-masing satu;
Berhampiran
jalan masuk ke Rancangan Tanah Felda Bukit Goh, berhampiran jalan menuju ke
Rancangan Tanah Felda Bukit Sagu-Bukit Kuantan-Jabor-Jerangau, dan, jalan masuk ke Pelabuhan Kuantan.
# Keempat; Waktu
pertukaran syif yang seragam pada jam 6 petang oleh pasukan-pasukan
penguatkuasa terlibat, akan dipelbagaikan bagi mengelak kelonggaran dalam
penguatkuasaan dalam tempoh pertukaran masa syif tersebut.
MASA TUKAR SYIF PASUKAN
PENGUATKUASA TIDAK LAGI SERAGAM
“Sebagai contoh,
Polis akan bertukar pada pukul 6 petang, JPJ mungkin pukul 5, PTG mungkin pukul
4. Jadi, tak sama. Maknanya, pada setaip masa, akan ada pegawai-pegawai yang
bertugas (yang mencukupi),” kata Dato’ Sri Muhammad Safian.
#
Kelima; Lori-lori pengangkut ‘bauxite’ hanya dibenar memasuki Pelabuhan Kuantan
menerusi Pintu B sahaja (yang terletak lebih hampir ke Sungai Ular) manakala Pintu
A (berhampiran Kampung Selamat), tidak lagi dibenarkan sebagai laluan masuk
mereka.
Aktiviti
‘stockpile’ dalam kawasan Pelabuhan Kuantan juga akan dikurangkan termasuk
dalam melaksanakan kerja-kerja mencuci kenderaan, yang setakat ini dikesan menjadi
punca kepada kejadian ‘laut merah’ di perawiran pelabuhan tersebut.
“Barangkali, (pengurusan)
Pelabuhan Kuantan boleh beritahu kita apa tindakan yang akan diambil.
Pokok-pangkalnya, tidak ada aktiviti cucian dilakukan untuk mengelakkkan air
terus mengalir ke laut hingga mengakibatkan fenomena laut merah tadi,” kata Dato’ Sri
Muhammad Safian lagi.
#
Keenam; Permit 4C yang dikeluarkan kepada operator, tidak lagi boleh digunakan
untuk maksud mengeksport tetapi terhad kepada kerja-kerja untuk menambun tanah
sahaja.
PERMIT 4C BUKAN KELAYAKAN
UNTUK MENGEKSPORT
“(Permit) 4C ini
bermakna, kita beri kebenaran untuk mengangkut bahan batuan di atas tanah milik
untuk kerja-kerja menambun sahaja, bukan bertujuan untuk mengeksport,” katanya lagi.
Sebelum
itu, Dato’ Sri DiRaja Adnan telah menegaskan betapa hari ini bukanlah kali
pertama beliau mempengerusikan mesyuarat tersebut.
“Saya telah
memanggilkan perbincangan pertama kali pada 21 Januari, kemudian 4 Februari,
kita libat semua kontraktor-kontraktor, pelombong-pelombong, dan juga jabatan-jabatan
Kerajaan yang berkaitan.
“Tujuan kita
ialah untuik memberi penringatan kepada pelombong-pelombong supaya mematuhi
syarat dan pada ketika yang sama kita mengadakan tindakan penguatkuasaan yang bermula
pada 2 April sehingga ke hari ini,” katanya lagi.
Selain
Dato’ Sri Muhammad Safian, antara yang turut hadir ialah Pengarah Tanah dan
Galian (PTG) Negeri, Dato’ Azizan Ahmad; Presiden, Persatuan
Pengusaha-pengusaha Bijih Besi Negeri, Tengku Dato’ Zulkifli Tengku Ahmad;
Ketua
Polis Negeri, Timbalan Pesuruhjaya Kanan, Dato’ Sri Sharifuddin Ab Ghani;
Pegawai Daerah Kuantan, Dato’ Norhayad Ahmad; Yang Dipertua, Majlis Perbandaran
Kuantan, Dato’ Zulkifli Yaacob; Pengarah, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri,
Encik Rusli Che Husin; dan, Pengarah JPJ Negeri, Encik Mark Ujin. – Khabar