Selain
meneruskan kerja-kerja penguatkuasaan, Kerajaan Negeri bercadang untuk mengetatkan
lagi syarat termasuk;
JPJ tidak akan perbaharui
apa juga lesen berkaitan ke atas pengusaha, sehingga kompaun-kompaun yang
dikenakan, dijelaskan.
Pengusaha perlu
menyediakan ‘deposit’ yang jika gagal mematuhi syarat perlombongan dan
pengangkutan ditetapkan, potongan akan dilakukan ke atas ‘deposit’ berkenaan.
DEWAN UNDANGAN
NEGERI, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Dalam pada mengakui betapa Kerajaan
Negeri ‘dah habis gheng’ (habis upaya) dengan gejala yang ditimbulkan oleh
pengusaha-pengusaha bahan mineral ‘bauxite’ di negeri ini;
Menteri
Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob memberitahu persidangan Dewan Undangan
Negeri pagi Isnin, 25 Mei di sini, betapa beliau akan mencadangkan beberapa
lagi syarat tegas ke arah membendung gejala berkenaan.
Dua
daripadanya ialah, arahan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) supaya tidak
memperbaharui apa juga lesen berkaitan ke atas pengusaha terbabit sehinggalah
keseluruhan kompaun yang dikenakan ke atas mereka, dijelaskan.
Dan,
pengusaha dikehendaki menyediakan ‘deposit’ dalam amaun tertentu sebelum
mengeluarkan bahan mineral berkenaan yang daripadanya, potongan akan dibuat jika
pengusaha melakukan apa-apa pelanggaran atas syarat-syarat yang ditetapkan.
“Masalahnya ialah,
apabila kita berkira dengan operator-operator, pekerja-pekerja yang tidak
langsung ada hati perut, tak ada etika, tak fikir orang (lain),” kata Dato’ Sri
DiRaja Adnan.
MB SENDIRI
PENGERUSIKAN HAL ‘BAUXITE’, DUA KALI
“Kita telah
ambil tindakan. Kita ambil tindakan siang, penguatkuasaan (waktu) siang; dia (pengusaha)
buat kerja malam. Kita buat kerja malam, dia pula pergi lari siang. Bila kita
buat 24 jam, dia berhenti sekejap,” katanya lagi semasa mencelah ketika wakil
rakyat pembangkang, Encik Andansura Rabu (PAS – Beserah) sedang berucap.
Ucapan
Encik Andansura itu ialah bagi membahaskan usul menjunjung kasih atas Titah
DiRaja yang dilafazkan oleh KDYTM Tengku Mahkota Pahang pada perasmian
Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Pahang ke-13.
“Hanya saya nak
tekankan, Kerajaan (Negeri) bukan tak buat langsung penguatkuasaan... Saya sendiri
pengerusikan mesyuarat dua (2) kali. Bulan satu (Januari) sekali, bulan dua
(Februari) sekali, sehingga kita kuatkuasakan penguatkuasaan sejak bulan empat
(April), bulan lima (Mei) sekarang,” tegas Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi.
Sebelum
itu, beliau telah mendedahkan beberapa angka yang mengejutkan. Misalnya, ‘turnover’
atau hasil jualan mineral ‘bauxite’ itu di negeri ini sahaja ialah kira-kira
RM200 juta sebulan, yang menurutnya;
“Patutlah dia
orang ni (pengusaha-pengusaha lombong ‘bauxite’ tersebut) beriya sangat”.
GAJI PEMANDU
LORI ‘BAUXITE’ HINGGA RM7,000 SEBULAN
Dan
pula, betapa jika gaji bulanan pemandu-pemandu lori mengangkut pasir sebelum
ini cuma RM2,000, tetapi menerima antara RM6,000 dan RM7,000 sebulan setelah
beralih menjadi pemandu lori pengangkut ‘bauxite’ pula sekarang.
“Pemandu-pemandu
lori – dia (mereka) datang banyak dari Melaka, Selangor, Negeri Sembilan. Semasa
mereka bergiat untuk mengangkut pasir, gaji RM2,000 sahaja sebulan,” katanya.
“Rupanya sekarang
ini pula, gaji mereka dapat sampai RM6,000, RM7,000 (sebulan). Lepas(lah)
untuk (perbelanjaan) anak sekolah, lepas juga untuk belanja Raya,” katanya.
Dato’
Sri DiRaja Adnan juga berkata betapa, sejak penguatkuasaan pada 2 April hingga
23 Mei lepas, 43,278 buah lori – setiap satu sehingga seberat 44 tan, telah diambil
tindakan yang daripadanya, 1,394 buah telah disita.
Nilai
kompaun yang dikenakan pula ialah RM2.1 juta yang daripadanya, menurut Menteri
Besar lagi, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) telah berjaya mengutip
sebanyak RM601,000. – Khabar