Monday, 4 May 2015

Proses pengundian PRK Rompin dijangka lancar



“Pihak polis telah mengatur segala langkah keselamatan dan Rompin ini adalah tempat yang aman, tenteram; tidak seperti di kota, di bandaraya – keadaan berpusu-pusu, sibuk dan sebagainya,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan mengenai hari pengundian PRK Parlimen kawasan Rompin ini esok, Selasa, 5 Mei .

'DELAYED TELECAST'... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menyatakan sesuatu mengenai hari pengundian esok dalam rakaman oleh kru TV3 sebaik-baik selepas persidangan media pada tengah hari Isnin ini, yang kemdian disiarkan dalam Buletin 1.30 pada 1.30 petang Isnin yang sama. 
 

TAPAK PROJEK PR1MA NEGERI PAHANG, PONTIAN JAYA, MUKIM PONTIAN, ROMPIN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menjangkakan, proses pengundian pada Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen kawasan Rompin esok, Selasa, 5 Mei, akan berjalan lancar.

“Perjalanan pengundian saya percaya, akan berjalan lancar,” katanya pada temubual eksklusif dengan sebuah portal berita tempatan pagi Isnin, 4 Mei di sini, ketika diminta mengulas tentang Hari Pengundian PRK Parlimen kawasan Rompin ini, esok.

“Pihak polis telah mengatur segala langkah keselamatan dan Rompin ini adalah tempat yang aman, tenteram; tidak seperti di kota, di bandaraya – keadaan berpusu-pusu, sibuk dan sebagainya,” katanya lagi;

Seterusnya beliau menambah kata betapa, “… saya menjangka, pada akhirnya, calon Barisan Nasional Dato’ Hasan Arifin akan dipilih oleh pengundi-pengundi”.
  
Dato’ Sri DiRaja Adnan yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri turut berkata betapa beliau telah mengutarakan nama Dato’ Hasan, yang kemudian dipersetujui oleh Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak. 

ATAS KERUSI KAPTEN...  Selesai sahaja majlis di Pontian Jaya, Dato' Sri DiRaja Adnan bergegas pula ke Terminal Jeti Tanjung Gemok yang bersempadan dengan Mersing, Johor; bagi melancarkan perkhidmatan feri terbaharu Tanjung Gemok-Pulau Tioman-Tanjung Gemok. 

Kelihatan beliau sedang diberi penerangan mengenai feri tersebut oleh pemilik syarikat yang mengendalikannya, Syed Rizalman (kanan sekali).  
 

KETENGAHKAN DATO’ HASAN YANG BERPENGALAMAN

“… dan kita (BN) mengenengahkan Dato’ Hasan sebagai calon Barisan Nasional. Beliau seorang yang berpengalaman, (bekas) ahli Dewan (Undangan) Negeri, (bekas) ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, dan pernah menjadi Timbalan Menteri Besar.

“Individu seperti ini bermakna, mempunyai ‘credential’, mempunyai kelayakan yang penuh yang kalau kita gunakan sepenuhnya, memilih beliau sebagai ahli Parlimen, saya pasti beliau boleh berikan khidmat terbaik bagi pengundi-pengundi di Rompin,” katanya lagi .

Kepada soalan mengenai jangkaan peratusan keluar mengundi esok katanya, faktor itu sememangnya penting dalam usaha untuk mendapatkan majoriti yang banyak oleh calon BN kita.

“Tetapi yang akhirnya bagi sayalah, kita lebih perlu mengirakan peratusan undi yang kita dapat berbanding dengan pihak yang satu lagi. Bukannya majoriti sangat.

“Pilihanraya kecil biasanya, (peratusan) keluar mengundi ini kadarnya agak rendah sikit. Tapi, kita sedaya-upada mencuba supaya lebih ramai pengundi akan keluar (untuk mengundi),” katanya lagi. 

RUANG PENUMPANG YANG SELESA... Dato' Sri DiRaja Adnan yang diiringi Dato' Mohd Johari, sedang meninjau ruang penumpang yang selesa ini. – Khabar