“Apabila mereka
faham tentang ini maka setiap firman Allah itu, mereka tidak boleh permudahkan,”
saranan Menteri Besar kepada para alim-ulama untuk pastikan keberkesanan ceramah
mereka kepada umat Islam.
SERIUS DALAM MENGIKUTI HAL-HAL YANG DIBINCANGKAN PADA PENTAS DAKWAH... Dato' Sri DiRaja Adnan dan isteri, Datin Sri DiRaja Junani, kelihatan sedang serius mengikuti apa yang diperkatakan oleh ahli-ahli panel pada siaran langsung sejam antara 9 dan 10 malam.
Yang turut kelihatan (di barisan depan) ialah Dato' Ishak dan isteri, serta, Ketua Pegawai Strategik, TV AlHijrah, Dr Abu Bakar Serpon (kiri sekali).
PADANG, SEKOLAH
MENENGAH KEBANGSAAN PELINDUNG, BESERAH, KUANTAN – Menteri Besar
Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menyarankan agar cerdik-pandai dan para
alim-ulama, menekankan dalam ceramah-ceramah mereka tentang al-Quran ialah
firman-firman Allah yang wajib dipatuhi oleh umat Islam.
Yang
menerusi penekanan sebeginilah katanya dalam ucapan luar teks 10-minit sempena
Pentas Dakwah – ‘Guru; Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak’ dan Program Ambang
Ramadan malam tadi, Sabtu, 16 Mei di sini, bakal memberi pengajaran yang lebih berkesan
kepada mereka.
“Saya ingin
mencadangkan supaya al-Quran ini sebagai kalimah Allah, yang diturunkan kepada
Rasulullah untuk disampaikan kepada umat manusia – hendaklah kita tekankan,
kita gambarkan, kita berikan contoh-contoh nyata;
“Supaya setiap
kali mereka membaca Quran, mereka mendengar ayat Quran, mereka akan tahu bahawa
mereka menggunakan firman Allah. Seolah-olah, mereka juga berhadapan dengan
Allah SWT pada masa itu,” katanya.
Sehubungan
itu, beliau mencadangkan agar alim-ulama dapat membaca buku-buku yang
membincangkan tentang al-Quran sepertimana tulisan penulis tersohor dunia yang
juga seorang mubaligh Islam – Ahmed Hoosen Deedat.
DALAM BERSIARAN LANGSUNG SELAMA SEJAM... Dato' Noh Gadut kelihatan sedang menegaskan sesuatu.
PENTINGNYA
PELIHARA PERPADUAN SESAMA ISLAM
Ahmed
Hoosen Deedat menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi, telah memberikan hujah-hujah
berdasarkan kepada al-Quran dan al-Hadith, dengan menunjukkan betapa al-Quran bukanlah
ciptaan manusia.
“… tetapi (al-Quran
itu) sebenarnya melalui firman oleh Allah SWT. Apabila mereka (umat Islam)
faham tentang ini maka setiap firman Allah itu (sepertimana yang mereka baca
dalam al-Quran), mereka tidak boleh permudahkan,” katanya lagi.
Beliau
turut menyarankan agar, pada bila-bila masa atau di mana-manapun juga berceramah,
para alim-ulama hendaklah sentiasa menekankan tentang pentingnya memelihara perpaduan
sesama umat Islam sendiri.
“Orang Islam jangan tunduk kepada musuh. Jangan tunduk maksudnya, jangan kita terpengaruh hingga kita berpecah sesama sendiri – perlu juga ditekankan oleh para pendakwah, alim-ulama.
“Saya percaya
dengan cara ini, maka umat Islam akan dapat memahami, menghayati sepenuhnya dan
dengan demikian, mereka akan dapat menjalani kehidupan sebagai seorang Islam
dan masyarakat Islam sendiri tidak mudah diperkotak-katikkan,” katanya.
'SO SWEET'... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang memimpin tangan isteri, Datin Sri DiRaja Junaini untuk menuruni tangga pentas setelah melaksanakan tugas menyampaikan sumbangan secara simbolik - kepada sebuah masjid di setiap kawasan dewan undangan negeri, sempena bulan Ramadan yang bakal tiba.
PENUH CABARAN
DAN AGAK TERHIMPIT
Pada
awal ucapannya, Dato’ Sri DiRaja Adnan telah menyebut betapa ugama Islam dan
umatnya, sedang berada dalam keadaan penuh cabaran dan ‘agak terhimpit’ apabila
di mana-manapun juga, mereka sering disalah anggap.
Beliau
turut menceritakan pengalaman buruknya hendak memasuki Amerika Syarikat, pada
lawatan ke sana tahun 2006, apabila beliau sendiri terpaksa menjalani
pemeriksaan 100 peratus oleh pihak berkuasa Imigresen di sana, hanya kerana
namanya.
“… (hanya) sebab
nama saya Adnan bin Yaakob, dia (pihak berkuasa Imigresen berkenaan) ingat
adik-beradik dengan Osama ben Laden,” katanya.
“Ini semua tidak
lain tidak bukan, kerana kefahaman mengenai Islam itu telah dipesongkan oleh
musuh-musuh Islam dan ianya menjadi bertambah buruk lagi sebab perangai orang
Islam sendiri,”
tegasnya.
Sejarah
peradaban umat Islam – sejak dahulu hingga kini katanya, sentiasa mencatatkan
tentang pergaduhan dan berbunuh-bunuhan yang berlaku sesama mereka termasuk
yang sedang berlaku di Timur Tengah sekarang.
MUSLIMIN DAN MUSLIMAT...
ISTILAH-ISTILAH
YANG DIPESONGKAN
Istilah-istilah
seperti jihad dan mati syahid, telah disalah ertikan dan apabila ada
pihak-pihak tertentu memesongkan fahaman-fahaman ini selain daripada tekanan
dari musuh-musuh Islam katanya, lebih banyaklah dan kerosakan yang berlaku.
Dato’
Sri DiRaja Adnan kemudian menjurus kepada keadaan di negara ini sendiri yang
menurutnya, bibit-bibit perpecahan sesama umat Islam sudah mula kelihatan
berlaku yang berpunca daripada politik.
“… oleh sebab-sebab
politik, fahaman yang sempit, maka kita telah lihat umat Islam di negara kita
juga berpecah belah dan tidak ada perpaduan.
“Satu-satu kaum
itu apabila berpecah belah, tidak ada perpaduan; maka sudah pasti ia menjadi
lemah dan kemudian mudah diperkotak-katikkan dan diperalatkan oleh musuh
masing-masing,”
katanya lagi.
Pentas
Dakwah – ‘Guru; Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak’ dan Program Ambang Ramadan
pada malam Sabtu ini, adalah anjuran Kerajaan Negeri dengan kerjasama Persatuan
Amal Isteri Wakil-wakil Rakyat Barisan Nasional Negeri Pahang (TERATAI) dan TV
Al-Hijrah.
BERSAMA ENCIK KHAIRY, RASMIKAN FESTIVAL MESRA BELIA NEGERI... Foto ini dirakam pada pagi Sabtu, 16 Mei juga di Dataran Bentong, Bentong, sempena Menteri Besar merasmikan festival berkenaan yang turut dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Encik Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
FORUM ‘LIVE’
PENTAS DAKWAH
Selain
tuanrumah – Datin Sri DiRaja Junaini Kassim iaitu Pengerusi TERATAI dan juga
Pengetua, SMK Pelindung ini; yang turut hadir ialah Speaker, Dewan Undangan
Negeri, Dato’ Ishak Mohamad dan isteri, Dato’ Khatijah Ibrahim;
Ahli-ahli
Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Shafik Fauzan Sharif dan Dato’ Abu Bakar Harun;
wakil rakyat negeri – Dato’ Wan Kadri Wan Mahussin (BN – Ibam) dan Dato’
Mustapa Long (BN – Padang Tengku);
serta,
panel-panel forum ‘live’ Pentas Dakwah - Penasihat, Majlis Agama Islam Negeri
Johor, Dato’ Noh Gadut; dan Encik Abdul Razak Abu Musa Ashaari dari Yayasan
Pahang (YP); dengan Encik Amin Idris selaku ‘moderator’.
MACAM ZAMAN DULU-DULU... Dato' Sri DiRaja Adnan dan Encik Khairy, sedang bersedia untuk menunggang motosikal 'vespa' masing-masing dari perkarangan Dewan Jubli Perak Sultan Hj Ahmad Shah, Bentong ke Dataran Bentong yang sejauh kira-kira 1 KM. – Khabar