Wednesday 2 December 2015

1 - 2 hektar tanah bagi setiap 968 petani kecil Camerons


… proses kelulusan mengambil masa antara tiga dan empat bulan.

Kerja-kerja penguatkuasaan tangani masalah penerokaan tanah haram diketuai Majlis Keselamatan Negara (MKN), tetap diteruskan.

“Kita harus ingat, kuasa membuat kelulusan tanah ini adalah di tangan Pihak Berkuasa Negeri, penguatkuasaan adalah oleh Majlis Keselamatan Negara; kita minta ‘synchronized’ ini

“Dan matlamatnya ialah untuk kita membantu petani-petani kecil yang mencari makan, pada ketika yang sama, kita cuba menguatkuasakan agar jangan ada lagi penerokaan haram di Cameron ini,” kata Menteri Besar.  

BERPERSIDANGAN MEDIA... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang berkata sesuatu dalam persidangan medianya, yang turut disertai (dari kiri ke kanan) Ahli MMK Negeri, Dato' Shahaniza Shamsuddin; Pegawai Daerah Cameron Highlands, Dato' A.Rahman Hamzah; serta, lagi Ahli-ahli MMK Negeri - Dato' Syed Ibrahim Syed Ahmad; dan, Dato' Sri Mohd Sharkar Shamsuddin. 

KELAB GOLF SULTAN AHMAD SHAH CAMERON HIGHLANDS, TANAH RATA, CAMERON HIGHLANDS – Kerajaan Negeri hari ini memutuskan untuk memberi kelulusan tanah seluas antara satu (1) dan dua (2) hektar kepada setiap 968 petani kecil di kawasan tanahtinggi ini.

Ke arah itu, urusan mengenainya akan dilakukan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands yang mungkin mengambil tempoh antara empat (4) dan lima (5) bulan untuk menyiapkannya.

Sambil itu, kerja-kerja penguatkuasaan bagi menangani serta membanteras penerokaan tanah haram oleh agensi-agensi penguatkuasaan diketuai Majlis Keselamatan Negara (MKN), diteruskan.

Inilah keputusan-keputusan penting yang diambil dan diumumkan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada persidangan media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri petang Rabu, 2 Disember, di sini.

Kepimpinan kedua-dua – MKN dan Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands, telah hadir memberikan taklimat masing-masing pada mesyuarat MMK ini, yang kemudian membuat keputusan-keputusan penting tersebut.   


PENGORBANAN SEORANG PEMIMPIN... Sungguhpun sudah bersiap-siap untuk beriadah setelah mempengerusikan mesyuarat MMK Negeri yang disusuli pula dengan persidangan media kemudiannya;


Dato' Sri DiRaja Adnan masih tetap mahu melayani aduan-aduan beberapa penduduk Cameron Highlands, serta menanganinya. 
 

AKAN TENTUKAN PERMOHONAN YANG BENAR-BENAR TULEN

“Kita sedia maklum bahawa MKN selaku agensi penguatkuasa, telahpun menjalankan kerja-kerja penguatkuasaan sejak setahun yang lepas. Pada ketika yang sama, Kerajaan Negeri berpendapat bahawa pekebun-pekebun kecil di Cameron Highlands ini yang pernah mencari makan untuk menyara keluarga, anak, cucu; kita akan bantu.

“Untuk tujuan ini, pihak Pentadbir Tanah Daerah, telahpun mengumpulkan sebanyak 968 fail permohonan yang akan diproses (untuk kelulusan),” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

“Kita akan tentukan mana-mana yang benar-benar tulen kita akan berikan keputusan untuk mereka mengusahakan tanah dalam lingkungan satu (1), dua (2) hektar untuk satu famili, bergantuing kepada jumlah tanggungan,” katanya lagi dan menambah betapa;

“Untuk pengusaha-pengusaha besar, dukacita, kita tak dapat melayan permintaan mereka” .

KERAHAN KE ATAS KESEMUA 23 PEGAWAI PETEMPATAN

“Kita harus ingat, kuasa membuat kelulusan tanah ini adalah di tangan Pihak Berkuasa Negeri, penguatkuasaan adalah oleh Majlis Keselamatan Negara; kita minta ‘synchronized’ ini.

“Dan matlamatnya ialah untuk kita membantu petani-petani kecil yang mencari makan, pada ketika yang sama, kita cuba menguatkuasakan agar jangan ada lagi penerokaan haram di Cameron ini,” katanya lagi.

Dato’ Sri DiRaja Adnan juga menyebut tentang kekangan (constraint) yang ada dalam melaksanakan keputusan berkenaan, yakni kekurangan kakitangan di Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands.

Bagi menangani kekangan ini katanya, beliau telah meminta Pejabat Daerah dan Tanah ini supaya memaksimumkan kakitangannya yang ada terutama sekali yang melibatkan Pegawai Petempatan (SO – Settlement Officer).

Terdapat 23 Pegawai Petempatan di Pejabat Daerah dan Tanah ini tetapi menurutnya, mereka berkhidmat di tiga bahagian berbeza iaitu Bahagian Pelupusan, Bahagaian Penguatkuasaan, dan, Bahagian Bangunan.

PENTINGNYA TERPELIHARA LEMBANGAN CAMERON HIGHLANDS

“Saya telah mengarahkan supaya Pentadbir Tanah Daerah menggunakan perkhidmatan 23 sekali Pegawai Petempatan untuk menjalankan kerja-kerja mengukur. Proses meluluskan permohonan tanah ini bukannya senang.

“Pegawai Petempatan kena pergi sukat sebagainya. Tapi kita telah minta supaya seorang Pegawai Petempatan boleh buat satu (1) atau dua (2) fail satu hari, dan kita berharap, 968 fail itu boleh disiapkan dalam tempoh tiga (3), empat (4) bulan yang akan datang,” katanya.

Pada mesyuarat MMK yang sama juga katanya, mereka telah turut mendengar taklimat oleh pegawai-pegawai Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) yang di bawah Kementerian Sumber Asli dan Tenaga (NRE).

Tanggungjawab NAHRIM antara lain, ialah berkenaan lembangan-lembangan  sungai dan telah dimaklumkan betapa, Lembangan Cameron Highlands merupakan punca kepada aliran sungai yang turut memasuki Sungai Pahang.

Yang bermakna katanya, jika penduduk kawasan tanahtinggi ini tidak memelihara serta menjagai kualiti air sungai di sini, ia akan mengakibatkan aliran kualiti air yang terjejas ke Sungai Pahang.

JANGAN LAGI ADA TONG RACUN, PLASTIK DIBUANG DALAM SUNGAI

Lanjutan itu, satu jawatankuasa akan dibentuk yang akan beliau sendiri pengerusikan dengan mesyuarat pertamanya akan diadakan pada pertengahan Januari depan (2016) dan betapa katanya;  “… kita tidak mahu lagi lihat dalam sungai ada tong racun, plastik sampai sekarang. Ini tak bertanggungajawab.
                               
“Jadi, kita kena ambil tindakan supaya sungai di sini bersih, supaya kita boleh jadikan juga ianya sebagai satu tarikan pelancongan di negeri Pahang ini,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi.

Beliau turut menyebut tentang arahan yang telah dikeluarkannya kepada Jabatan Perhutanan Negeri supaya membatalkan pengwartaan sebagai kawasan hutan simpan ke atas empat (4) lot tanah yang berkenaan.

Menurut aduan yang diterimanya semalam katanya, lot-lot tanah ini merupakan kawasan yang diusahakan oleh empat penduduk India tempatan dengan memperolehi Lesen Pendudukan Sementara (LPS) ke atasnya.  

“Tiba-tiba, Pihak Berkuasa Negeri meng‘gazett’kan seluruh kawasan itu sebagai kawasan hutan simpan. Kita telah putusklan tadi supaya pihak Pengarah Perhutanan Negeri batalkan ‘gazett’ untuk empat (4) lot ini supaya tanah ini boleh diusahakan oleh penduduk Cameron Highlands,” katanya.

KEPUTUSAN-KEPUTUSAN YANG BUKAN BERMOTIF POLITIK

Menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, apa yang dilakukannya ini bukanlah bertujuan politik sebaliknya, bantuan-bantuan dan kerjasama yang diberi ialah kerana Kerajaan Negeri mentadbir serta menguruskan negeri dalam semangat Islam.

Dan Islam tidak membenarkan pelakuan zalim kepada sesiapa malah semasa dalam peperanganpun katanya, Islam mengajar umatnya supaya tidak membunuh perempuan, golongan tua dan kanak-kanak.

“Tapi, tak ramai orang tahu. Orang ingat Geneva Convention sahaja yang terbaik mengenai peperangan, tidak... Islam lagi cantik. Dalam Islam, satu pihak itu tidak boleh menahan air mengalir untuk sampai ke pihak musuh,” katanya.

“Dan kita Kerajaan Negeri Pahang, kita tak sebut kita Kerajaan Islam; tapi kita mentadbir dengan nilai-nilai Islam. Kita tak boleh menganiya orang, kita kena menolong orang.

“Atas semangat itulah, kita datang Cameron Highlands dan kita rasa satu tahun sudah cukup untuk penduduk-penduduk terutamana penanam sayur Cameron Highlands ini, merasa bagaimana (susahnya) kalau kita tidak mematuhi undang-undang,” katanya lagi. – Khabar