Tuesday, 29 December 2015

Masih tiada laporan rasuah ke Pusat Informasi SPRM Cameron Highlands



“Dulu, hasil daripada perbincangan dengan SPRM, pihak ‘press’ – salah satu sebab dia orang sebut (penduduk Cameron Highlands tidak buat laporan mengenai rasuah), sebab (lokasi pejabat SPRM yang) jauh.

“Tapi bila kita dekat (dengan adanya Pusat Informasi ini), tak ada orang (datang buat) ‘report’pun,” kata Pengarah SPRM Negeri.

DATO' ZAINUL DARUS... 
 

NOTA EDITOR;

Berikut ialah artikel kedua berdasarkan temubual Editor Eksekutif, Dato’ Abdul Wahab Mohamad Ali yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, dengan Pengarah SPRM Negeri, Dato’ Zainul Darus sepertimana tersiar dalam majalah bercetak Khabar Pahang Bil 23 Tahun ke-17 Tahun 2015 yang siap serta diedarkan bermula Selasa, 29 Disember.


PEJABAT SPRM NEGERI, INDERA MAHKOTA, KUANTAN – Setelah lebih tiga (3) minggu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri membuka Pusat Informasinya di Brinchang, Cameron Highlands sejak 9 September, belum juga menerima walau satu laporan mengenai rasuah.

Ini disebalik ketiadaan pusat seumpamanya di kawasan tanahtinggi itu sebelum ini, yang dikatakan sebagai punca tiadanya usaha penduduk tempatan untuk membuat laporan mengenai gejala rasuah di sana.

“Dulu, hasil daripada perbincangan dengan SPRM, pihak ‘press’ – salah satu sebab dia orang sebut (penduduk Cameron Highlands tidak buat laporan mengenai rasuah), sebab (lokasi pejabat SPRM yang) jauh.

“Tapi bila kita dekat (dengan adanya Pusat Informasi ini), tak ada orang (datang) ‘report’pun,” demikian kata Pengarah SPRM Negeri, Dato’ Zainul Darus pada temubual eksklusif lewat pagi Rabu, 30 September, di pejabatnya di sini.

Tidakpun juga laporan daripada seorang ketua sebuah pertubuhan bukan Kerajaan di sana, yang sering diburu oleh media tempatan bagi mendapatkan pandangannya tentang aktiviti pencerobohan tanah secara haram?, tanya penulis.    

PANDAI BISING SAHAJA, TANPA FAKTA

“Ya, tak dak, tak dak… dia bising tapi bila kita jumpa dia, dia kata tak ada (maklumat sahih tentang gejala rasuah). Dia bagi tau kata ada RM10,000, RM5,000 orang tu dapat, Pejabat ni (dari Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands) tapi bila kita jumpa dia, dia kata dia dengar orang (cakap).

“Tapi, itulah satu benda yang saya tak setuju dengan paper (akhbar-akhbar berkenaan yang sering melaporkan tentang tanahtinggi) ni. Dia ‘quote’kan benda (perkara) yang tak betul. Dia ‘based’ kepada dengar cakap sahaja, ‘hearsay’,” jawab Dato’ Zainul.

Menurutnya, SPRM Negeri telahpun menyewa sebuah rumah kedai milik Majlis Daerah Cameron Highlands untuk dijadikan Pusat Informasi tersebut, dengan menugaskan dua (2) pegawainya berGred 29, yang beroperasi dua (2) hari seminggu pada Selasa dan Rabu.

Pusat Informasi ini dibuka sementara menunggu sebuah pejabat cawangan SPRM yang kekal diwujudkan di sana, yang kini sudah dipohon kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk kelulusan. 

Kepada soalan penulis kot-kot penduduk di sana masih tidak sedar tentang pembukaan dan kewujudan Pusat Informasi di pekan Brinchang itu, Dato’ Zainul segera menempelak;

MUSTAHIL JIKA TAK TAHU WUJUDNYA PUSAT INFORMASI

“Mustahil, mustahil (jika tak tahu wujudnya pejabat dan lokasinya ini). Memang kita pasang ‘signboard’ dan memang kita buat maklumanpun, dan kita uar-uarkanpun tentang pusat informasi tu”.

Dalam pada itupun kata Dato’ Zainul, pasukan risikan SPRM memang ada dan turut ditempatkan di kawasan tanahtinggi itu yang kehadirannya dalam kalangan penduduk, tentulah sepatutnya tidak disedari.

“Cuma risikan ini, dia lebih kepada ‘developed case’. Dia pergi jumpa orang kampung tapi dia bukan ‘based on’ siapa-siapa punya information, tak... Ini dia orang korek sendiri.

“Sebab itu kita dapat yang baru-baru ni, pekebun-pekebun dok suap orang tu. Kita ‘plant’ pegawai untuk ‘terima’ suapan ini. Kita ‘plant’ dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah. Itu yang kita tangkap pekebun-pekebun yang nak hulur (rasuah) tu…,” katanya lagi

Beliau menyebut bagaimana SPRM mendidik pegawai-pegawai Kerajaan berkenaan mengenai apa yang perlu dilakukan apabila ada berlakunya gejala untuk memberi rasuah kepada mereka.

‘EH, AKU TAK NAK’

Biasanya katanya, penjawat awam kurang tahu tentang tindakan yang perlu diambilnya apabila sahaja dia dididekati pihak tertentu yang bertujuan untuk merasuahnya yang ada antaranya, sekadar berkata “Eh, aku tak nak’, lalu menolaknya sahaja.

“Sekarang ni kita bagi tau kat dia, “tak apa, you ambil’. Tapi kita rekod, berapa haribulan, orang kita ada sama, janji dengan dia kat mana; dia ambil tapi kita rekod dan kita videokan ke, ataupun kita ada saksi, kita ‘plant’ saksi.

“Dan apabila dia serah, tak pa, hari ini berapa hari bulan, pukul 3 petang, 7 haribulan 9, ‘transaction’ berlaku. Saksi, 1,2 3. Itu yang kita buatlah. Kita tak tangkap (lagi) masa ini. Kita nak tengok berapa kali dia bagi? Bila sampai dah cukup ‘masak’, katakan kita dapat, 20 orang dah serah, ok, sekarang ni kita buat (tangkapan),” katanya.  

Dalam hal ini, Dato’ Zainul menyanggah jika ada beranggapan apa yang dilakukan SPRM ini seolah-olah kerja-kerja ‘agent provocateur’ atau seseorang yang sengaja menggalakkan seorang yang lain melakukan sesuatu yang haram agar dia dapat ditangkap kerananya.

“Tapi ini, orang Pejabat Daerah dan Tanah sendiri, dia akan bekerjasama dengan kita (maka) kita dapat taulah siapa yang tukang-tukang (bagi suapan) ni,” katanya.

PEJABAT SPRM CAWANGAN AKAN BEROPERASI TAHUN DEPAN

Mengulas lanjut tentang pembukaan Pejabat SPRM cawangan Cameron Highlands kelak katanya, ia dijangka dapat direalisasikan pada tahun depan setelah JPA meluluskan permohonan terhadapnya.

Pejabat cawangan ini menurutnya, akan diketuai oleh seorang pegawai Gred 44 yang dibantu oleh tiga (3) pegawai lain yang berGred 29, disamping seorang berjawatan kerani.

“Kita mohonpun bukannya perjawatan baharu (tetapi) perjawatan sedia ada, kita tarik ke sana. Dari Ibu pejabat, dari Perak dan dari Pahang. Kita ‘combine’ dan pegawai Gred 44 itu dari Pahang, kita tempatkan ke sana,” katanya lagi.

Berbeza dengan fungsi sebuah Pusat Informasi yang terhad kepada pengumpulan maklumat sahaja, pegawai di Pejabat Cawangan ini kelak, fungsinya bukan sekadar mengumpul maklumat, malah turut menyiasatinya.

Berhubung dengan isu pencerobohan tanah di Cameron Highlands secara keseluruhannya, kata Dato’ Zainul, faktor utama adalah daripada segi kelemahan penguatkuasaan ekoran kewujudan kelemahan tadbir urus.

MENAMBAH BAIK TADBIR URUS

Ke arah penambah baikannya, SPRM mengesyorkan beberapa perkara sepertimana telah dibentangkan pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), SPRM, Dato’ Mustafar Ali baru-baru ini.

“… ada sesetengah ‘part’ tu, kita ada kelemahan daripada segi peraturan yang sedia ada. Kita dah dapatkan kerjasama daripada Kerajaan Negeri untuk tengok, lihat semula mana yang ada ‘loophole’.

“Bila kita dapati ada benda-benda (yang boleh ditambah-baik), kita boleh cadangkan kepada Kerajaan Negeri maka kita buatlah. Kerajaan Negeripun menerima baik cadangan kita.

“Contohnya, daripada 12 cadangan, sebahagian besarnya diterima pakai oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Negeri bersetuju untuk memperbaiki apa sahaja kelemahan,” katanya lagi. – Khabar