Tuesday 29 December 2015

Lebih banyak maklumat rasuah bersifat 'surat layang', daripada fakta sebenar!



 ... bukti, dakwaan rasuah lebih berupa persepsi daripada realiti

TEMBUBUAL EKSKLUSIF PAGI RABU... 
 

NOTA EDITOR;

Berikut ialah artikel berdasarkan temubual Editor Eksekutif, Dato' Abdul Wahab Mohamad Ali yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, dengan Pengarah SPRM Negeri, Dato’ Zainul Darus sepertimana tersiar dalam majalah bercetak Khabar Pahang Bil 23 Tahun ke-17 Tahun 2015 yang siap serta diedarkan bermula Selasa, 29 Disember.


PEJABAT SPRM NEGERI, INDERA MAHKOTA, KUANTAN – Sebahagian besar maklumat yang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terima berkaitan rasuah di negeri ini cuma bertaraf ‘surat layang’ atau tohmahan, ekoran tiada asas kukuh padanya.

Membuktikan betapa, cakap-cakap tentang rasuah dalam kalangan penjawat awam negeri ini lebih terbentuk daripada sangkaan atau persepsi buruk semata-mata sedangkan realitinya, tidak.  

Inilah yang dapat disimpulkan daripada temubual eksklusif penulis dengan Pengarah SPRM Negeri, Dato’ Zainul Darus pada lewat pagi Rabu, 30 September di pejabatnya di sini.

Dato’ Zainul memberikan hujahan dengan bersandarkan fakta-fakta serta angka-angka, sebagai menjawab kepada beberapa soalan yang dikemukakan kepadanya pada temubual kira-kira sejam ini.

Antaranya, daripada 195 maklumat yang SPRM Negeri terima berkaitan perlakuan rasuah melibatkan kakitangan Kerajaan pada tahun ini (2015, hingga kini, 30 September), 52 sahaja yang boleh diambil tindakan.

DALAM PERTEMUAN MESRA... 
 

129 MAKLUMAT TAK BERASAS MAKA NFA

Manakala selebih khususnya 129 daripada maklumat-maklumat itu, telahpun disemak serta diklasifikasikan di bawah ‘NFA’ (No Further Action) atau Tiada Tindakan Lanjut kepadanya.

Begitu jugalah dengan sepanjang tahun lepas (2014) apabila, daripada 250 maklumat yang SPRM Negeri terima berkaitan perlakuan rasuah melibatkan penjawat awam, 86 sahaja yang diambil tindakan. 

Selebihnya termasuk 159 daripadanya adalah di bawah kategori NFA.

Tidakkah jumlah NFA yang banyak ini disebabkan adanya unsur-unsur pilih kasih, pengaruh atau tekanan daripada mana-mana pihak termasuk pihak istana atau ‘surat kuning’?, tanya penulis yang menurut Dato’ Zainul, tidak langsung.

“No such thing. Kita siasat apa sahaja isu dan selama ini, selama saya ada di Pahang daripada tahun 2012, saya (ketika itu masih) timbalan dan saya buat operasi; sampailah sekarang ini,

“… tak pernah ada arahan daripada Kerajaan Negeri ke, Setiausaha Kerajaan Negeri ke, ‘even’ ‘surat kuning’pun saya tak pernah terima, walaupun (semasa) kita siasat (isu pencerobohan tanah) di Cameron Highlands, tak ada,” tegas Dato’ Zainul.

SIASATAN RASUAH TAK KIRA KAUM, LATAR POLITIK

“Sama ada kes itu kita siasat bergantung kepada sama ada ada elemen rasuah atau tidak. Kalau ada, apa sahaja (kaum) sama ada Melayu, India, Cina ke, ataupun politiknya - UMNO, PAS ataupun PKR (serta lain-lain parti politik); ada (sahaja ) elemen rasuah, kita akan siasat,” tegasnya lagi. 

Pada keseluruhan katanya, gejala rasuah di negeri ini – sama ada yang melibatkan sektor awam mahupun swasta, masih pada tahap ‘normal’ berbanding dengan negeri-negeri lain.

Bukan sahaja daripada segi penerimaan maklumat-maklumat malah daripada segi tangkapan menghadapi pendakwaan juga menurutnya, tidak banyak, pada kadar kira-kira 20 orang setiap tahun.  

“Kalau berbanding dengan negeri-negeri lain dengan beratus-ratus tangkapan; paling kurangpun setiap negeri itu, 30 orang setahun. Di sini (Pahang), tak sampai, (hanya) dalam lebih 20 orang tangkapan dan didakwa,” katanya.

Dan, sesudah ditangkap dan didakwa menurutnya, pencapaiannya ialah 100 peratus terbukti bersalah oleh pihak mahkamah, bagi tempoh sepanjang tahun lepas. “Yang tahun ini, belum dapat statistik tapi ‘normally, more than 80 percent,” kata Dato’ Zainul lagi.

ISYTIHAR HARTA SEBELUM DAN SELEPAS PEGANG JAWATAN

Beliau juga ditanya mengenai pengumuman Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada Selasa, 25 Ogos lepas yang menyatakan kesanggupan dirinya serta seluruh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negerinya, mengisytiharkan harta kepada SPRM selain pengisytiharan serupa oleh Menteri Besar kepada Perdana Menteri selama ini.

“Perkara ini merupakan perkara yang baharu sebenarnya dan kita sangat-sangat mengalukan daripada segi ketelusan YAB Dato’ Sri DiRaja dalam hal ini yang bermakna, Pahang adalah negeri pertama berbuat demikian.

“Deraf borang ‘declaration’ tu kita dah edar. Kita tunggu keputusan YAB Menteri Besar sama ada ‘agree’ dengan deraf itu ataupun nak ‘modify’ sebab, ‘declaration’ pihak politik tak sama dengan (cara pengisytiharan) kakitangan Kerajaan.

“Kakitangan Kerajaan ‘detail’nya itu sampai berapa ratus helai. Kita (pengisytiharan ahli politik), cuma dalam tiga setengah helai, nak (tahu) aset alih dengan yang tak alih. Itu sahaja yang kita nak, sebelum (memegang satu-satu jawatan politik/Kerajaan) dan selepas,” kata Dato’ Zainul.

Beliau seterusnya mengakui betapa untuk mengemukakan kembali pengisytiharan tersebut kepada SPRM akan mengambil masa, yang tidak mungkin mencukupi dalam tempoh sebulan sahaja.

‘BEST PRACTISE’ BERMULA DENGAN PAHANG

“Dan satu lagi, untuk mendapatkan pengesahan YAB Menteri Besar. YAB Menteri Besar nak (minta mengesahkan borang pengisytiharan itu) kat siapa? Dekat SS (State Secretary atau Setiausaha Kerajaan Negeri) ataupun dekat YAB Perdana Menteri?

“Kalau (Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau Ahli) Exco kepada YAB Menteri Besar untuk mengesahkan ‘declaration’ tu. YAB Menteri Besar dekat siapa?” katanya.  

Setelah nanti SPRM Negeri menerima kembali borang pengisytiharan tersebut kata Dato’ Zainul,  ia akan diserahkan pula kepada Ibu pejabat SPRM di Putrajaya yang akhirnya boleh dijadikan contoh untuk peringkat nasional.

“So far, best practice dimulakan di negeri Pahanglah, supaya diikuti oleh negeri-negeri lain,” katanya sambil menafikan kot-kot apa yang dilakukan ini semata-mata ‘window dressing’ demi mengabui mata rakyat.

“Bukan, bukan. Sebenarnya, ‘at least’ kita dapat tahu berapa banyak kita ada macam bank data daripada segi harta mereka kumpul sepanjang mereka berkhidmat; sama ada di luar kemampuan ataupun melebihi pendapatan yang sepatutnya.

“So, ketelusanlah. At least, kalau timbul isu nanti, kita boleh semak baliklah,” katanya lagi.

PENGHARGAAN BUAT KERAJAAN NEGERI, KHUSUSNYA MB

Dato’ Zainul seterusnya menyatakan penghargaannya kepada Kerajaan Negeri khususnya Menteri Besar, yang telah memberikan sokongan sangat baik – termasuk kewangan, kepada SPRM Negeri, dalam menjayakan program-program anjurannya.

Dalam pada itu katanya, SPRM Negeri telah mengambil tindakan terhadap padangan Menteri Besar agar aktiviti-aktiviti pembasmian rasuah perlu juga dilaksanakan ke peringkat akar-umbi seperti Ketua Kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Ke arah itu katanya, SPRM Negeri akan meminta bantuan Pejabat Daerah dan Tanah-Pejabat Daerah dan Tanah berkenaan, untuk menjemput Ketua-ketua Kampung, Ahli JKKK serta pemimpin masyarakat di daerah masing-masing, ke majlis taklimat oleh SPRM Negeri yang bakal bermula November ini.

“Terutama sekali ‘key communicator’ seperti Ketua Kampung. Dia orang ni ambil juga, masalahnya... Kita dapat ‘information’ (bahawa), dia ambil bukan kerana dia nak ambil tapi dia tak tahu.

“Apa yang dia buat ini sebenarnya salah , dia tak tahupun salah terutamanya yang macam orang ceroboh tanah ke, ceroboh (kawasan hutan) balak ke, bagi kat dia sikit. ‘Tak dak apalah, ini komisyen’

SALUR MAKLUMAT KEPADA SPRM

“Jadi, kita nak fahamkan kepada mereka supaya dapat elakkan kejadian rasuah dan dalam masa yang sama, kita nak dia melaporkan, kalau ada orang mencuri balak, kalau ada orang menceroboh tanah sebagainya, (beri) ‘information’ itu kepada kita.

“Kita jangan jadikan dia sebagai musuh tetapi sahabat untuk mendapatkan maklumat. Dia juga boleh bantu masyarakat setempat itu bagaimana untuk menyalurkan, apa yang tak puas hati dia salurkan kepada kita,” katanya lagi. – Khabar