Friday, 4 December 2015

Lagi perbincangan bagi atasi gejala bauksit.



… melibatkan sekali lagi, Menteri Besar dengan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.

 
PERJUMPAAN PETANG JUMAAT... Sebaik-baik selepas sesi bergambar untuk jurufoto tempatan inilah, berlangsung perjumpaan dan perbincangan serius demi mengambil beberapa lagi keputusan ke arah mengatasi gejala bauksit di daerah Kuantan ini khususnya. 
 

BILIK MESYUARAT, TINGKAT 6, KOMPLEKS YAYASAN PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob dan Menteri Sumebr Asli dan Alam Sekitar, Dato’ Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar sekali lagi berjumpa bagi membincangkan lanjut tentang usaha menangani dan mengatasi gejala akibat daripada industri bauksit di Kuantan.

Dato’ Sri Wan Junaidi tiba kira-kira 2.30 petang Jumaat ini, 4 Disember di sini, bersama-sama pegawai-pegawai tertinggi Kementeriannya, disambut oleh Dato’ Sri DiRaja Adnan yang turut disertai oleh Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri.

Perbincangan dalam Bilik Mesyuarat ini berlangsung lebih sejam, sebelum tamat dengan minum petang.

Dato’ Sri DiRaja Adnan kemudian kelihatan mengiringi Dato’ Sri Wan Junaidi ke tingkat bawah, sebelum menuju ke helikopter yang sedang menunggu di kawasan lapang depan bangunan ini.

Adalah difahamkan, Dato’ Sri Wan Junaidi perlu segera berlepas untuk ke Lapangan terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, bagi menghadiri majlis rasmi melepaskan pemergian seekor tapir ke Jepun sebagai pinjaman tanda persahabatan dengan Kerajaan negara itu.

Menerusi perbincangan kali ini, adalah diharapkan, beberapa keputusan yang lebih berkesan dapat dicapai untuk akhirnya mengatasi gejala yang dibawa oleh bahan mineral kemerah-merahan ini. 

KERETA CELUP BAUKSIT... Inilah bahananya bauksit. Bagaimanapun, penulis lebih percaya, ini bukanlah hasil akibat sehari tetapi mungkin sudah dua-tiga hari pemilik kereta ini tidak mencuci, mungkin kerana sudah terlalu bosan untuk melakukannya. 

Akibat kesan sebeginilah, bauksit sudah semakin menjadi bahan ketawa orangramai termasuk oleh seorang ustaz mirip-hala pembangkang, yang sering sebut jalan sebagai 'jalang-jalang'. Dan kita, tentunya terkesan juga dengan 'jokes' sebegini dan mengharapkan usaha yang lebih berkesan dapat diambil untuk mengatasinya.    

KATA-KATA KESAT TERHADAP INDUSTRI BAUKSIT... Lazimnya, penulis tidak gemar atau biasa untuk menggunakan kata-kata kesat sebegini tetapi dalam isu bauksit, rasa-rasanya, inilah perkataan tepat yang boleh digunakan - bukan sekadar merujuk kepada pemandu lori malah punca dan rantaiannya sekali. 

Persoalannya; takkanlah demi mengaut keuntungan demi apapun juga agenda mereka - pengusaha bahan mineral ini, masih lagi terus bersikap tidak peduli terhadap sentimen dan pernyataan-pernyataan serta 'signal-signal' bantahan terhadap gejala yang diakibatkan oleh mereka? 

Foto ini penulis rakamkan ketika dalam perjalanan ke Kawasan Perindustrian Gebeng pada lewat petang Jumaat, 4 Disember ini. 
 
DAMAINYA, PAGI DI BRINCHANG... Foto ini penulis rakamkan, pada pagi Khamis, 3 Disember di Brinchang, Cameron Highlands. Lihatlah damainya berada di kawasan tanahtinggi ini. 

Sepatutnya pada musim-musim cuti sekolah ini, laluan ini akan menjadi sendat dengan kenderaan akibat kunjungan orangramai tetapi kali ini tidak sebegitu. 

Analisis singkat penulis menerusi perbualan dengan beberapa penduduk tempatan -  kekurangan pelancong ketika ini bukan disebabkan oleh laporan-laporan berita mengenai kejadian-kejadian tanah runtuh yang lepas-lepas, tetapi lebih diakibatkan oleh fenomena nasional; 

Bahawa, penduduk kita sedang terhimpit dengan masalah kos kehidupan yang tinggi yang dengan itu kurang mempunyai wang lebihan untuk melancong termasuklah ke kawasan tanahtinggi ini. – Khabar