Saturday, 20 August 2016

Hargailah kemerdekaan, saran Menteri Besar



“Begitulah (juga jika kita) mengasihi negara, maka kita hendaklah melaksanakam sesuatu yang memberi faedah kepada masyarakat dan negara,” katanya juga.

JALUR GEMILANG BUAT SPEAKER DEWAN... Selain Dato Sri DiRaja Adnan dan Dato' Sri Ishak; yang turut kelihatan ialah Dato' Shahaniza, Dato' Sri Abdul Manan (separuh terlindung), Dato' Norol Azali, Dato' Mohd Suhami, dan Encik Zaliza (belakang sekali). 
 

PERKARANGAN, DEWAN ORANGRAMAI, PEKAN KECIL GAMBANG, KUANTAN – Rakyat disarankan supaya sentiasa menghargai kemerdekaan yang negara kecapi sekarang dengan melakukan perkara-perkara yang dapat memberi faedah kepada negara dan rakyat keseluruhannya.

Saranan ini dibuat oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada persidangan media sempena Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri pagi Sabtu, 20 Ogos, di sini.

“Oleh sebab itu, saya berharap rakyat Malaysia mesti menghargai kemerdekaan ini,” katanya sambil menganalogikan seseorang yang sayangkan kenderaannya maka membasuhnya setiap hari manakala yang sayangkan keluarga, ditunjukkan kasih-sayang terhadap keluarganya.

“Begitulah (juga jika kita) mengasihi negara, maka kita hendaklah melaksanakam sesuatu yang memberi faedah kepada masyarakat dan negara,” katanya.

“Bermakna,” beliau menambah kata, “… kalau kita bertugas dengan jabatan kerajaan, bertugaslah dengan sepenuh hati. Kalau kita bertugas dengan swasta, begitulah juga. Kalau kita berniaga sendiri, berniagalah sepenuhnya untuk kita mengisi kemerdekaan negara”.

DALAM UCAPAN LUAR TEKS 11-MINITNYA... 
 

MERDEKA SELEPAS LEBIH 400 TAHUN DIJAJAH

Sejak akhir-akhir ini menurutnya, penghayatan rakyat terhadap semangat kemerdekaan agak nipis dan longgar, sehingga ada dalam kalangan rakyat yang menganggap kemerdekaan dan sambutannya sebagai ‘satu perkara yang biasa’.

Ini mungkin disebabkan oleh rakyat telah mengecapi nikmat kemerdekaan yang begitu lama dengan taraf hidup mereka juga sudah agak tinggi sehingga mereka tidak lagi sedar tentang kesukaran hidup sebelum merdeka.

“Selepas 400 tahun lebih dijajah, kita kemudian dapat jalankan pemerintahan sendiri, kita dapat mencatur corak pentadbiran kita sehingga kita boleh melaksanakan rancangan pembangunan untuk rakyat, memberi kemewahan kepada rakyat.

“Tetapi, oleh sebab semua perkara ini – maknanya, kemudahan hidup itu ada di sekeliling kita, sebahagian besar daripada kita celik mata sahaja, nampak semua tu dah ada, celik mata sahaja semua sudah siap; maka kita lupa tentang kemerdekaan.

“Yang ini kita mustahak untuk diingatkan selalu. Kurang-kurang bagi kita, setahun sekali, mengibarkan bendera, bersama beramai-ramai merayakan hari kemerdekaan; patut dilaksanakan,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi.

MESRA BERSAMA WAKIL RAKYAT NEGERI DARI PARTI PEMBANGKANG... 


KITA MERDEKA, BEBAS; ORANG LAIN JUGA MERDEKA, BEBAS

Beliau juga berkata betapa, kemerdekaan minda juga penting yang bermakna, rakyat bebas untuk berfikir, bersuara, berpersatuan serta bergerak ke mana sahaja sepertimana terjamin oleh Perlembagaan Negara.

Kemerdekaan minda dan kebebasan rakyat itu pula menurutnya, dimungkinkan oleh kerana wujudnya sebuah kerajaan yang stabil sepertimana yang ditadbirkan oleh kerajaan sedia ada.

Disebalik kemerdekaan atau kebebasan itu bagaimanapun katanya, masih terdapat batasan-batasan tertentu yang perlu turut dipatuhi oleh setiap rakyat negara ini agar tidak menggangu kemerdekaan atau kebebasan orang lain.

“… untuk kita menyuarakan, menunjukkan kemerdakaan, kebebasan diri kita sebagai contoh, jangan lupa orang lain juga merdeka. Mereka juga ada hak seperti kita.

“Dalam melaksanakan hak ini, jangan kita mencabuli hak orang lain – memburukkan orang, memfitnahkan orang, mengaibkan orang kerana kita kena ingat, kalau kita boleh memfitnah, memburuk, mengaib; orang juga boleh memfitnah, memburuk, mengaib.

ANAK-ANAK PASCA MERDEKA...  Anak-anak ini mungkin masih terlalu kecil untuk memahami erti kemerdekaan namun dengan didikan sebegini dan berterusan, mereka juga akan akhirnya memahami seterusnya turut menghargai kemerdekaan.


WAKIL RAKYAT NEGERI DARI PARTI PEMBANGKANG TURUT HADIR

“Kalau kita ada hak, diapun ada hak yang sama juga kepada kita,” tegasnya.

Selain Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Shahaniza Shamsuddin yang juga Pengerusi, Jawatankuasa Kerja Kempen Kibar Jalur Gemilang Negeri; antara yang turut hadir ialah Yang Dipertua, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Sri Ishak Mohamad;

Seorang lagi Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Norol Azali Sulaiman; wakil rakyat Parlimen, Dato’ Abdul Manan Ismail (BN – Paya Besar); wakil rakyat negeri setempat, Dato’ Mohd Suhaimi Jusoh (BN – Lepar); wakil rakyat negeri dari pembangkang;

Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Roslan Harun; Ketua Polis Negeri, Dato’ Sri Sharifuddin Abdul Ghani; Ketua Hakim Syarie Negeri, Dato’ Abdul Rahman Yunus; Pegawai Daerah Kuantan, Encik Zaliza Zulkipli; serta ketua jabatan-ketua jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan. – Khabar