Wednesday 17 August 2016

Tumpu sepenuhnya, dan cuba dapatkan kecemerlangan, pesan Menteri Besar kepada pelajar-pelajar tajaan Yayasan Pahang ke Jordan


“… kena tumpukan sepenuhnya dan cuba dapatkan kecemerlangan. Lepas itu, jaga diri elok-elok. Yang pentingnya, kita mesti belajar dan ambil tahu apa yang berlaku”

PESAN MENTERI BESAR... Buat anak-anak pelajar tajaan YP, yang akan berlepas ke Jordan bagi menghabiskan dua (2) tahun terakhir pengajian sarjana muda mereka di Universiti Yarmouk. 

Yang turut kelihatan ialah Dato' Mahmud dan Encik AirulAmri. 


FOYER, TINGKAT 6, KOMPLEKS YAYASAN PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob berpesan kepada 23 pelajar tajaan Yayasan Pahang (YP) ke Universiti Yarmouk, Jordan supaya tumpukan kepada pelajaran dengan cuba mencapai kecemerlangan.

“… kena tumpukan sepenuhnya dan cuba dapatkan kecemerlangan. Lepas itu, jaga diri elok-elok. Yang opentingnya kita mesti belajar dan ambil tahu apa yang berlaku. Tapi tak usahlah kita berpolitik.

“Baca nota kuliah kita kemudian tambah lagi dengan membaca buku. Ketika masa yang sama, kita bacalah akhbar untuk menambahkan pengetahuan am,” pesan Dato’ Sri DiRaja Adnan pada majlis penyampaian wang pendahuluan USD1,000 kepada mereka petang Rabu, 17 Ogos di sini.

“Yang pentingnya Allah Taala berikan kita bukan sahaja otak tapi juga akal. Kalau kerbau juga ada otak tapi akal tak ada. Kita manusia ini ada akal jadi kita gunakan akal tu sepenuhnya.

“Kalau kita baca contohnya, kita jangan setakat baca sahaja tapi fikir apa yang kita baca. Mesti ada daya kritis,” katanya lagi yang juga Pengerusi YP, sambil mengingatkan betapa tujuan utama mereka ke luar negara itu ialah untuk belajar.

SEMAKAN AKHIR... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang meneliti sampul sebelum menyampaikannya kepada para penerima. Selain USD1,000 seorang, mereka juga diberikan sumbangan peribadi RM1,000 seorang daripada pemimpin nombor satu negeri. 

SATU UNTUK ALBUM... Buat kenang-kenangan. 
   

KUASAI SATU LAGI BAHASA ASING SELAIN ARAB

Sehubungan itu, beliau juga berharap para pelajar tajaan YP tersebut agar dapat menguasai Bahasa Arab selain penguasaan satu lagi bahasa asing sama ada Bahasa Inggeris atau Bahasa Perancis.

Antara yang turut hadir pada majlis ringkas petang Rabu ini ialah Pengurus Besar YP, Dato’ Mahmud Nawawi; dan, Pengurus, Bahagian Bantuan Pendidikan YP, Encik AirulAmri Amran.

Dalam maklumat ringkas yang disedia dan diedarkan kepada media dimaklumkan bahawa, YP memulakan penajaan pelajar ke Universiti Yarmouk, Jordan pada tahun 2005 dengan 33 pelajar.

Sehingga tahun lepas (2015), YP telahpun menaja seramai 283 orang yang melibatkan peruntukan keseluruhan kira-kira RM19.247 juta.

Menurut maklumat itu lagi, penajaan tersebut tertakluk di bawah program kerjasama 2+2 Kolej Yayasan Pahang (KYP)-Universiti Yarmouk dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Syariah (Ekonomi dan Perbankan Islam).

SIMBOLIK PENERIMAAN... 
 

VAN JENAZAH SUMBANGAN TNB UNTUK FELDA JENGKA 21

Sebelum itu lagipun, pelajar yang ditaja perlu mengikuti Kursus Intensif Bahasa Arab (KIBA) selama empat (4) bulan di KYP. Selepas itu, mereka meneruskan pengajian peringkat ijazah sarjana muda selama dua (2) tahun di KYP, kemudian dua (2) tahun terakhir di Universiti Yarmouk itu.

Setelah selesai majlis penyampaian wang pendahuluan ini, Majlis Penyampaian Van Jenazah oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) turut diadakan di tempat sama yang menyaksikan Menteri Besar menerima secara simbolik van tersebut daripada Pengurus Besar, TNB Pahang, Dato’ Sharuddin Mohd Simin yang kemudian disampaikan kepada wakil Masjid Al Muhajirin, Rancangan Tanah Felda Jengka 21 sebagai penerimanya.

Van jenazah jenis Toyota Hiace berkuasa kuda 2,700 cc ini bernilai RM127,000 sebuah yang dilengkapi sepenuhnya termasuk tempat pengusung serta tempat-tempat duduk untuk pengiring.

Dato’ Sharuddin yang ditemui media memberitahu, TNB membelanja dan menyediakan 13 buah van jenazah seumpamanya, yang diagihkan ke setiap negeri termasuk di Pahang yang disempurnakan penyampaiannya pada majlis petang Rabu ini. 

VAN JENAZAH SUMBANGAN TNB UNTUK MASJID AL MUHAJIRIN, RANCANGAN TANAH FELDA JENGKA 21... – Khabar