“Pihak pelombong-pelombong,
pengusaha-pengusaha sendiri akan menyiapkan jalan. Sama-sama dia orang (para
pelombong dan pengusaha berkenaan, yang akan membiayai kos pembinaan jalan ini),” tegas Dato’ Sri
DiRaja Adnan.
PADA PERSIDANGAN MEDIA PAGI SABTU... Selain mengenai kemerdekaan, yang turut ditanya pada persidangan media ini ialah tentang aktiviti bauksit serta pencapaian atlet negara pada Sukan Olimpik Rio 2016.
PERKARANGAN,
DEWAN ORANGRAMAI, PEKAN KECIL GAMBANG, KUANTAN – Pengusaha
bauksit sendiri yang akan bina dan tanggung kos pembinaan jalan alternatif bagi
pengangkutan bahan mineral itu ke Pelabuhan Kuantan, tegas Menteri Besar Dato’
Sri DiRaja Adnan Yaakob.
“Kita ada diberi
taklimat oleh PTG (Pengarah Tanah dan Galian) - benda ini (urusan pembinaan
jalan alternatif) berjalan. Pihak pelombong-pelombong, pengusaha-pengusaha
sendiri akan menyiapkan jalan,” katanya.
“Sama-sama dia orang
(para pelombong dan pengusaha berkenaan, yang akan membiayai kos pembinaan
jalan ini),”
katanya pada persidangan media sempena Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur
Gemilang Peringkat Negeri pagi Sabtu, 20 Ogos di sini.
Dato’
Sri DiRaja Adnan berkata demikian sebagai menjawab soalan wartawan yang
bertanyakan tentang perkembangan terbaharu isu bauksit, khususnya mengenai
jalan alternatif yang Kerajaan Negeri cadangkan bagi mengelakkkan pencemaran
dan membahayakan pengguna di atas jalan-jalan yang sedia ada.
Adalah
difahamkan, jalan alternatif ini dikatakan sepanjang lima (5) kilometer dari
satu lokasi ke Pelabuhan Kuantan – yang merupakan jajaran baharu yang dengan
itu, kenderaan pengangkut bauksit tidak lagi melalui jalan sedia ada khususnya
bahagian yang terjejas teruk dengan pengangkutan bahan mineral itu sebelum ini.
ROYALTI CUMA RM4
BAGI SETAN BAUKSIT
“… operator,
bukannya Kerajaan (yang akan membiayai kos pembinaan jalan alternatif ini). Kerajaan
nak buat macam mana? Royalti (yang diperolehi daripada pengeluaran bauksit) RM4
sahaja satu (1) tan,”
katanya lagi bagi menegaskan keperluan pelombong dan pengusaha bauksit sendiri
menanggung kos tersebut.
Mengenai
tempoh moratorium ke atas perlombongan baharu bauksit yang telah dikenakan
kemudian dilanjutkan beberapa kali, yang terakhir akan hanya tamat pada 15
September ini menurutnya, ia adalah langkah baik oleh Kerajaan Pusat.
“Moratorium ini
bagus. Saya sudah lama mengingatkan pihak yang bertanggungjawab dalam
peruasaahan bauksit ini supaya berhati-hati, menjaga kepentingan orang lain. Tapi
mereka tidak mendengar nasihat saya.
“Selepas
mengalami sembilan (9) bulan ya moratorium ini, saya percaya mereka (pelombong
dan pengusaha bauksit) telah belajar daripada kesilapan mereka,” katanya lagi.
Dan
selepas tempoh moratorium ini menurutnya, para pelombong dan pengusaha
berkenaan akan perlu menuruti Prosedur Operasi Piawai (SOP) yang telah
digariskan oleh Kerajaan.
HAD LAJU ANTARA
60 DAN 80 KM SEJAM
Antara
SOP tersebut menurutnya ialah, lori pengangkut mesti sentiasa dibersihkan dan
tidak melebihi buatan selain perlu mematuhi had laju yang menurutnya antara 60
dan 80 KM sejam sahaja.
“Selain daripada
tidak mengancam keselamatan orang lain, itu yang mustahak,” tegasnya.
Dato’
Sri DiRaja Adnan turut ditanyakan mengenai pencapaian atlet negara yang
menyertai Sukan Olimpik di Rio De Janeiro, Brazil yang menurutnya, adalah
sangat membanggakan.
“Bayangkan
betapa bangganya kita apabila dapat pingat ini. Kita bangga sebab jalur
gemilang dinaikkan dan semua orang berdiri beri hormat,” katanya lagi
tentang pungutan tiga (3) pingat perak dan satu (1) gangsa menerusi badminton,
terjun papan anjal dan lumba basikal setakat pagi Sabtu ini.
“Saya ucapkan
tahniah kepada mereka yang berjaya, dan ini membuktikan bahawa kalau kita
berusaha bersungguh-sungguh, tidak ada perkara yang kita tidak boleh capai. Bermakna,
bidang lain jugapun boleh kita capai kalau betul cara – mungkin latihan, sikap,” katanya lagi.
RM15,000 DAN
RM10,000 UNTUK REKOD KEBANGSAAN DAN SUKMA
Beliau
seterusnya berkata betapa Kerajaan Negeri turut menghargai kejayaan atletnya
dengan baru-baru ini, pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang beliau
pengerusikan, insentif kemenangan baharu diperkenalkan.
Jika
menurut apa yang ditetapkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) ialah RM3,000 bagi
yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan dan RM1,500 bagi rekod Sukan Malaysia (SUKMA)
tetapi di Pahang, ianya ialah masing-masing RM15,000 dan RM10,000.
“… dan kita beri
juga kepada ‘coach’, ‘assistant coach’. Antara ‘coach’ dan ‘assistant coach’ tak
ada beza sebab mereka melatih sama-sama jadi kita di Pahang, kalau RM3,000
kepada ‘coach’, RM3,000 juga kepada ‘assistant coach’,” katanya. –
Khabar