Saturday 29 October 2016

Daripada cuma sebuah kedai buku, kini jadi yang terbesar di Malaysia!



“Dari sebuah kedai buku kemudian itu membesar, membesar sehingga kita ada MBS World Mega Bookstore ini,” kata Menteri Besar.

MAKA RASMILAH... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menurunkan tandatangannya pada plak yang telah disediakan sambil Dato' Rosdi (kiri sekali), Encik Mohd Razaki (kanan sekali), Encik Leong Ah Kow (dua dari kiri) dan Encik Albert (dua dari kanan); memerhatikan. 

MBS WORLD MEGA BOOKSTORE, JALAN TANAH PUTIH, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob memuji keluarga Encik Leong atas kejayaan mengembangkan perniagaan kedai buku daripada cuma sebuah kira-kira 35 tahun lepas, kini mengusahakan kedai buku terbesar di negara ini.

“Dari sebuah kedai buku kemudian itu membesar, membesar sehingga kita ada MBS World Mega Bookstore ini,” katanya dalam ucapan luar teks 14-minitnya ketika merasmikan kedai buku ini tengah hari Sabtu, 29 Oktober di sini.

“Saya ingin ucapkan tahniah kepada Encik Leong yang mengasaskan Kedai Buku Men Men sejak tahun 1980. Dan pada hari ini, saya ucapkan tahniah kepada anaknya, Encik Albert Leong, Pengarah Urusan, MBS World Mega Bookstore,” katanya lagi.

Kedai buku diasaskan oleh Encik Leong Ah Kow ini mula dibuka pada tahun 1980 yang dikenali sebagai Kedai Buku Men Men. Kemudian membesar dengan pembukaan lebih banyak kedai buku hinggalah yang ke-13 di sini, yang juga ialah terbesar di negara ini.   
    
Berkeluasan 46,000 kaki persegi atau bersamaan saiz lima (5) gelanggang futsal (atau, 8,611 kaki persegi setiap sebuah); keluasan ini dikatakan mengatasi kedai buku terbesar sebelum ini di Midvalley Megamall, Kuala Lumpur yang seluas hanya 36,000 persegi.

DALAM UCAPAN LUAR TEKS 14-MINITNYA...  


KELUARGA ENCIK LEONG SEBAGAI CONTOH

Menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, keluarga Encik Leong ialah antara contoh yang boleh diambil apabila memperkatakan tentang kegigihan dan sikap berjimat-cermatnya seseorang peniaga Cina ketika menjalankan perniagaan mereka.

“… saya suka melihat, bagaimana orang Cina berniaga,” katanya dan menambah betapa, “Orang Cina berniaga mula dari kecil-kecilan kemudian sehingga besar. Saya telah lihat banyak kes - semasa saya kecil sehinggalah sekarang umur saya 66 tahun;

“Bagaimana masyarakat Cina sentiasa bekerja keras dan kalau mereka berbuat sesuatu, mereka akan buat dengan serius dan mereka berjimat-cermat. Ada duit lebih mereka simpan.

“Apabila duit sudah agak banyak, mereka akan cari jalan, cari peluang untuk berniaga, membesarkan perniagaan sehinggalah mereka berjaya. ‘Family Leong’ ini salah satu contoh,” katanya.

Menurutnya, beliau ada dibisikkan oleh Encik Leong mengenai modal kecil yang dibelanjakan ketika memulakan perniagaan, tetapi kini telah meningkat mungkin hingga 30,000 peratus daripadanya.

MENELITI BUKU-BUKU AKADEMIK YANG DIPAMERKAN... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang meneliti buku-buku yang disediakan.

MB SUKA DATANG MAJLIS BERKAITAN ILMU

Sebelum itu, Dato’ Sri DiRaja Adnan telah menyebutkan tentang betapa; “Ini antara majlis yang saya suka datang. Sebab, majlis ini ada kaitan dengan buku. Buku ada kaitan dengan pelajaran. Pelajaran ada kaitan dengan ilmu pengetahuan.

“Ilmu pengetahuan itu penting kepada semua manusia,” katanya yang serentak itu disambut tepukan secara berterusan oleh para hadirin .

Dalam ucapannya, beliau turut menyentuh tentang kadar celik huruf dalam kalangan rakyat negara ini yang boleh dikatakan tinggi pada 94.6 peratus, tidak jauh di belakang negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Jerman, Britain, Jepun dan Australia pada 99 peratus.

“Ini satu perkara yang agak membanggakan. Cuma di Malaysia ini, berbanding dengan negara-negara maju seperti yang saya sebutkan tadi; mereka di negara-negara maju suka membaca buku.

“Tapi di Malaysia ini, daripada kira-kira 85 peratus rakyat yang selalu membaca, 77 peratus gemar baca suratkhabar, tiga (3) peratus suka baca ‘magazines’, tiga (3) peratus lagi baca buku, dan, 1.6 peratus baca komik.

INILAH BANGUNANNYA, YANG TAK MUNGKIN TAK TERPANDANG DARI JALAN TANAH PUTIH DI DEPANNYA...  


ORANG KITA SUKA BACA BAHAN RINGAN

“Maknanya, orang kita lebih suka baca bahan-bahan ringan (sedangkan) untuk kita maju, rakyat mesti baca buku. Dan rakyat mesti baca buku-buku subjek yang ada kaitan dengan kehidupan. Bagaimana untuk menambah baik kehidupan kita, termasuk mereka cipta,” tegasnya.

Selain Encik Leong Ah Kow dan anaknya, Encik Albert Leong; antara yang turut hadir pada majlis tengah hari Sabtu ini ialah Pengarah Pendidikan Negeri, Dato’ Rosdi Ismail; dan, Penghulu Mukim Kuantan 1, Encik Mohd Razaki Abdul Razak. – Khabar