Thursday 6 October 2016

Sokongan padu wakil rakyat BN terhadap kepimpinan Dato’ Sri DiRaja Adnan


Kami Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pahang yang mewakili Barisan Nasional, ingin menegaskan bahawa kepimpinan YAB Dato’ Sri DiRaja Menteri Besar masih diperlukan untuk meneruskan pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang; 

“… dan kita merasa lebih selesa untuk beliau mengetuai jentera pilihanraya untuk berdepan dengan pilihanraya ke-14 nanti,” kata Dato’ Sri Shahiruddin Ab Moin.

MANIFESTASI SOKONGAN PADU... Dato' Sri Shahiruddin yang diapit kiri-kanan oleh Dato' Sri Sharkar Shamsuddin (BN - Lanchang) dan Dato' Dr Ahmad Shukri Ismail (BN - Pulau Tawar) yang juga Pengerusi, Kelab Penyokong Kerajaan; 

Disertai oleh wakil rakyat-wakil rakyat negeri sedang menunjukkan solidariti mereka dalam memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Dato' Sri DiRaja Adnan dan juga Perdana Menteri Dato' Sri Mohd Najib Abdul Razak.  


NOTA EDITOR;

Wakil rakyat-wakil rakyat negeri Barisan Nasional (BN) telah memanggil satu persidangan akhbar khas petang Khamis, 6 Oktober bagi menyatakan sokongan padu mereka kepada kepimpinan negeri di bawah Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, dan kepimpinan negara di bawah Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak.

Diketuai oleh wakil rakyat negeri paling ‘senior’, Dato’ Sri Shahiruddin Ab Moin (BN – Dong) yang juga Ahli Exco Kerajaan Negeri, kesemua wakil rakyat negeri BN hadir kecuali tiga, Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak (BN – Benta), Dato’ Fakhruddin Mohd Arif (BN – Bebar), dan Dato’ Mustapa Long (BN – Padang Tengku); yang mempunyai urusan rasmi luar daerah namun tetap menyampai-maklum, pernyataan sokongan yang sama.

Berikut disiarkan secara ‘verbatim’, butiran kenyataan akhbar yang telah Dato’ Sri Shahiruddin bacakan yang ada kalanya kelihatan dilakukannya secara ‘off-the-cuff’.


BILIK MESYUARAT B-PEN, TINGKAT 4, BLOK B, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Berkaitan dengan kenyataan umum yang dibuat oleh YAB Dato’ Sri DiRaja Menteri Besar Pahang, yang menyatakan kesediaan beliau untuk berundur dari arena politik dan tidak lagi bertanding dalam PRU ke-14 nanti;

Kami Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pahang yang mewakili Barisan Nasional, ingin menegaskan bahawa kepimpinan YAB Dato’ Sri DiRaja Menteri Besar masih diperlukan untuk meneruskan pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang;

Dan kita merasa lebih selesa untuk beliau mengetuai jentera pilihanraya untuk berdepan dengan pilihanraya ke-14 nanti.

Atas semangat solidariti Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pahang yang mewaklili Barisan Nasional, kami semua berpendapat bahawa Dato’ Sri DiRaja adalah amat wajar untuk terus mengetuai kepimpinan Kerajaan Negeri selaku Menteri Besar Pahang.

Kerana setakat ini, YAB Dato’ Sri DiRaja yang pertamanya, masih mendapat perkenan KDYMM Tuanku Sultan Pahang untuk mengetuai Kerajaan Negeri Pahang.

Yang kedua, YAB Menteri Besar Pahang Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, mendapat sokongan padu daripada seluruh Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional. 

BERSATU HATI DALAM MEMPERTAHANKAN KEPIMPINAN NEGERI KITA... Salinan dari portal berita tertentu mengenai pengumuman Dato' Sri DiRaja Adnan untuk berundur, turut dipaparkan sebagai 'backgrounder' kepada apa yang disidang-akhbarkan ini. 


… BERJAYA WUJUDKAN SUASANA KERJASAMA CUKUP SELESA

Dan apa yang kita lihat sepanjang masa ini bahawa YAB telah berjaya mewujudkan suasana kerjasama yang cukup selesa, erat diantara wakil-wakil rakyat, ketua-ketua jabatan sama ada peringkat negeri dan pusat, juga agensi-agensi Kerajaan Negeri dan Pusat termasuklah institusi-institusi rakyat serta pertubuhan-pertubuhan bukan Kerajaan.

Maknanya, kita berjaya menjalin hubungan yang cukup baik, erat di bawah kepimpinan YAB Dato’ Sri DiRaja.

Oleh itu, kami semua ini, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri menegaskan bahawa kita berasa amat selesa sekali bekerja secara berpasukan di bawah kepimpinan YAB Dato’ Sri DiRaja Menteri Besar Pahang;

Dan juga berasa cukup amat selesa dengan cara dan corak kepimpinan YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak yang kebetulan YAB Perdana Menteri juga berasal dari negeri Pahang yang kita cintai ini.

Sehubungan dengan itu, khidmat mereka harus diteruskan dan semangat kerjasama berpasukan ini juga akan pasti berterusan demi memastikan kecemerlangan prestasi Barisan Nasional ini di tahap berkekalan sama ada di peringkat negeri ataupun di peringkat parlimen.

'COMMANDING ROLE'... Dato' Sri Shahiruddin sedang menyatakan apa yang perlu dinyatakan sambil yang lain tekun menyaksi-dengarkan. 


BERKAT NAUNGAN DAN TITAH NASIHAT KDYMM SULTAN PAHANG

Kami Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pahang yang mewakili Barisan Nasional berjanji, berikrar, untuk bekerja lebih kuat, bersungguh-sungguh untuk memastikan kemenangan besar dalam pilihanraya ke-14 nanti;

Dan akan berusaha semampu mungkin untuk menawan kembali kerusi-kerusi yang kita tewas di pilihanraya ke-13.

Dan kami semua berikrar dan berjanji untuk membantu sebaik boleh, kepimpinan YAB Dato’ Sri DiRaja Menteri Besar dan juga kepimpinan YAB Perdana Menteri Malaysia .

Berkat naungan dan titah nasihat oleh KDYMM Sultan Pahang selaku Raja Pemerintah agar semangat kerjasama berpasukan sentiasa menjadi teras budaya kerja, maka kami semua Ahli Dewan Undangan Negeri akan meneruskan gerak-kerja yang bijaksana bagi memastikan dapat memenangi hati dan minda rakyat.

Kami semua Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pahang sekali lagi ingin menegaskan bahawa kita semua berdiri teguh bersama YAB Perdana Menteri Malaysia Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, dan YAB Dato’ Sri DiRaja Menteri Besar Pahang untuk terus memimpin negara dan negeri dan juga mengepalai jentera pilihanraya  ke arah pilihanraya ke-14.

SEMBAH TAAT-SETIA KE SISI KDYMM SULTAN PAHANG

Kami juga semua Ahli-ahli Dewan Undangan negeri, sekali lagi ingin menegaskan untuk menyembah taat-setia kepada KDYMM Sultan Pahang sebagai Raja Pemerintah yang cukup prihatin, yang cukup dekat dan mesra dengan rakyat, serta amat menyayangi rakyat di semua lapisan. Ini bermakna amat jelas, Raja dan Rakyat berpisah tiada.

Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! (setiapnya disambut/ulangi oleh wakil rakyat lain yang hadir).

Hidup Najib! Hidup Najib! Hidup Najib! (juga setiapnya disambut/ulangi oleh wakil rakyat lain yang hadir). 

Hidup Adnan! Hidup Adnan! Hidup Adnan! (setiapnya, turut  disambut/ulangi oleh wakil rakyat lain yang hadir). 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. – Khabar