… dengan Perdana
Menteri melancarkan Kompleks Makmal Air Tawar Tasik Chini
KERIANGAN BERSAMA PADA SESI MENANAM POKOK... Dato' Sri Mohd Najib sedang menyiram air ke anak pokok Meranti Temak Nipis yang baharu ditanamnya.
Yang turut kelihatan ialah Dato' Sri DiRaja Adnan; Dato' Sri Dr Wan Junaidi; Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato' Norol Azali Sulaiman (sebahagian terlindung, kanan sekali); serta, Dato' Sri Jebasingam.
PUSAT
PENYELIDIKAN TASIK CHINI (PPTC), PEKAN – Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan
Negeri telah mengukuhkan lagi komitmen untuk memulihara dan memelihara Tasik
Chini sebagai Rizab Biosfera UNESCO yang pertama di Malaysia.
Ini
ekoran Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak yang diiringi Menteri
Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar
Dato’ Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, melancarkan Kompleks Makmal Air Tawar
Tasik Chini petang Sabtu, 15 Oktober di sini.
Menurut
kenyataan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Kompleks
Makmal Air Tawar Tasik Chini telah ECERDC bina sebagai pusat bagi menjalankan
aktiviti penyelidikan dan pengawasan mutu air.
Ia
antara projek di bawah fasa pertama pembangunan fizikal di Tasik Chini, dan terdiri
daripada tiga (3) bangunan makmal – Makmal Hidrologi dan Klimatologi; Makmal
Instrumen dan Mikrobiologi; serta, Makmal Analisis Air.
Kompleks
Makmal Air Tawar Tasik Chini ini telah diserahkan kepada Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM) selaku agensi penyelaras, sejak Januari 2014.
MELEPASKAN ANAK IKAN KE TASIK CHINI YANG MUTUNYA SEMAKIN BAIK KINI...
MUTU AIR TASIK
CHINI MENINGKAT KE KELAS II – SELAMAT
Menurut
kenyataan itu lagi, PPTC ini sendiri terletak di kawasan seluas 4.05 hektar (10
ekar) sumbangan Kerajaan Negeri. PPTC bertanggungjawab melaksanakan inisiatif
penyelidikan, pengurusan, pemuliharaan dan pemeliharaan serta pembangunan eko-pelancongan
tapak warisan alam semula jadi negara ini.
Penubuhan
PPTC adalah selaras dengan Pelan Pelaksanaan Strategik (SIP) untuk Tasik Chini
yang meliputi strategi dan inisiatif utama sehingga tahun 2025.
“Sebagai
sebahagian daripada pelan pengurusan SIP yang menyeluruh, pihak Kerajaan
Persekutuan dan Negeri serta ECERDC telah bekerjasama dengan UKM dan agensi
kerajaan yang berkaitan serta masyarakat tempatan, untuk melaksanakan beberapa
projek pemuliharaan dan pemeliharaan Tasik Chini.
“Antaranya, pemuliharaan
kawasan tebing tasik, penstabilan cerun, pembiakan ikan dan pembersihan tasik.
Tujuh (7) stesen pengawasan mutu air (stesen telemetri) turut dibina di
sungai-sungai utama yang mengalir masuk ke Tasik Chini,” kata Ketua
Pegawai Eksekutif ECERDC, Dato’ Sri Jebasingam Issace John sepertimana disebut
dalam kenyataan yang sama.
“Tindakan ini
telah meningkatkan mutu air Tasik Chini kepada Kelas II daripada Kelas III yang
dicatatkan pada tahun 2008. Pencapaian ini membolehkan aktiviti rekreasi
dijalankan dengan selamat,” kata Dato’ Sri Jebasingam.
SAMA-SAMA MENGAMINKAN DOA...
ORANG ASLI TURUT
DILIBATKAN DALAM INDUSTRI EKO-PELANCONGAN
“Matlamat
sekarang,”
tambahnya, “…adalah untuk meningkatkan
mutu air menjadi Kelas I menjelang 2018, di mana air selamat untuk diminum
tanpa memerlukan rawatan tambahan lain kecuali pendidihan.
“Pada masa yang
sama, usaha ini akan membolehkan Tasik Chini kekal dengan statusnya sebagai
Rizab Biosfera UNESCO,” katanya lagi.
Beliau
juga berkata, usaha pemuliharaan dan pemeliharaan Tasik Chini akan dirancakkan
lagi pada masa akan datang dengan kini, fasa kedua kerja-kerja fizikal telahpun
dimulakan menerusi pembinaan asrama untuk para penyelidik serta kemudahan eko-pelancongan
lain.
Apabila
siap tahun depan (2017) katanya, kemudahan ini akan memberi peluang kepada para
ahli akademik melakukan pengawasan dan penyelidikan di tapak sebenar selain
memberikan pemahaman yang lebih mendalam tentang Tasik Chini dalam kalangan
warga tempatan dan para pelancong.
“Masyarakat
tempatan terutamanya Orang Asli juga akan terus terlibat sebagai peneraju utama
industri eko-pelancongan di sini,” tegas Dato’ Sri Jebasingam.
SUASANA CERIA DAN RIANG-RIA... Tentu ada sesuatu yang menarik diperkatakan oleh kedua-dua Dato' Sri Mohd Najib dan Dato' Sri DiRaja Adnan hingga semua kelihatan tertumpu kepada mereka.
Selain Dato' Sri Dr Wan Junaidi dan Dato' Sri Jebasingam, yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Abu Bakar (berdiri, kiri sekali); Prof Dato' Dr Noor Azlan (di belakang Dato' Sri Mohd Najib) dan Prof Dato' Dr Mushrifah (duduk, empat dari kanan).
TANAM 350 POKOK
Bernama
melaporkan, Dato’ Sri Mohd Najib tiba di sini pada kira-kira 3 petang, kemudian
menyertai masyarakat setempat termasuk Orang Asli, penuntut institusi pengajian
tinggi awam dan kumpulan aktivis alam sekitar, menamam 350 pokok. Dato’ Sri
Mohd Najib sendiri menanam pokok Meranti Temak Nipis.
Adapun
signifikan penanaman 350 pokok adalah simbolik komitmen Kerajaan untuk mencapai
tahap kepekatan karbon dioksida di udara yang selamat dan diterima di peringkat
antarabangsa iaitu 350 bahagian per juta (PPM atau
parts per million).
Dato’ Sri Mohd Najib yang juga Ahli Parlimen
kawasan Pekan, turut melepaskan
anak ikan ke Tasik Chini sebagai simbolik peningkatan mutu air selain sebagai
inisiatif menambah bilangan ikan di tasik itu yang memiliki pelbagai jenis ikan
seperti lampam, sebarau dan kelah.
Selain
Dato’ Sri DiRaja Adnan dan Dato’ Sri Dr Wan Junaidi; antara yang turut hadir
pada majlis petang Sabtu ini ialah Ahli Exco Kerajaan Negeri yang juga wakil rakyat setempat, Dato' Abu Bakar Harun (BN - Chini); Dato’ Sri Jebasingam;
Pengarah Perhutanan Negeri, Dato’ Mohd Paiz Kamaruzaman; Pengarah, Jabatan Alam Sekitar Negeri, Encik Rosli Zul; serta, Naib Canselor UKM, Prof Dato’ Dr Noor Azlan Ghazali; dan, Ketua PPTC yang juga Pensyarah Ekotoksikologi, UKM, Prof Dato’ Dr Mushrifah Idris. – Khabar
Pengarah Perhutanan Negeri, Dato’ Mohd Paiz Kamaruzaman; Pengarah, Jabatan Alam Sekitar Negeri, Encik Rosli Zul; serta, Naib Canselor UKM, Prof Dato’ Dr Noor Azlan Ghazali; dan, Ketua PPTC yang juga Pensyarah Ekotoksikologi, UKM, Prof Dato’ Dr Mushrifah Idris. – Khabar