Sunday, 23 October 2016

Sultan Pahang; Raja Pemerintah berjiwa lembut, bersikap tegas



Oleh kerana keperibadian sebeginilah, menjadikan pemerintahan Baginda di bumi Pahang Darul Makmur selama lebih empat dekad kini sejak Mei, 1974, begitu berkesan hingga dapat memakmurkan negeri, mensejahterakan rakyat.


NOTA EDITOR;

Bersempena Sambutan Hari Keputeraan KYMM Sultan Pahang, Sultan Hj Ahmad Shah Ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al-Muadzam Shah pada Isnin, 24 Oktober, berikut diperturunkan artikel yang menyentuh tentang pemerintahan Baginda lebih 42 tahun kini, sejak pemasyhuran sebagai Sultan Pahang pada Mei 1974.

Semoga kita dapat sama-sama memanfaati daripadanya.  


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Seorang Raja Pemerintah yang berjiwa lembut, bersikap tegas. Inilah yang boleh dikatakan mengenai keperibadian KDYMM Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah Al-Musta‘in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al-Muadzam Shah.

Keperibadian ini terserlah sepanjang masa, secara beristiqamah – merentasi sempadan masa dan usia. Demikianlah keperibadian Baginda yang dahulu, begitulah juga yang sekarang.

Oleh kerana keperibadian sebeginilah, menjadikan pemerintahan Baginda di bumi Pahang Darul Makmur selama lebih empat dekad kini sejak Mei, 1974, begitu berkesan hingga dapat memakmurkan negeri, mensejahterakan rakyat.

Kelembutan jiwa KDYMM Tuanku dapat jelas dikesan apabila Baginda dilihat sangat mudah bersedih apabila sesuatu kejadian buruk menimpa terhadap mereka yang rapat dengan Baginda termasuklah rakyat-jelata.

Malah, apabila mengimbau dan menceritakan semula kejadian-kejadian berkenaan telah menyebabkan kesedihan itu bertambah-tambah lalu berjurai air mata Baginda, dalam tangisan.

BAGINDA DALAM PAKAIAN JUBAH SELAKU KETUA PERLEMBAGAAN UIAM...  


HANCUR BADAN DIKANDUNG TANAH…

Pada wawancara dengan penulis bagi maksud penerbitan majalah Khabar Pahang sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Baginda pada tahun 1999, soalan dikemukakan yang berkaitan kepemimpinan negara dan peristiwa pahit yang Baginda alami sepanjang pemerintahan.

Baginda bertitah betapa kedua-dua pemimpin – Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, dan, Perdana Menteri ketiga, Allahyarham Tun Hussein Onn; Baginda kenangi sebagai wira-wira yang sangat berjasa, yang besar pengorbanan kepada negara.

“Negara telah…,” titah Baginda kemudian tiba-tiba terhenti sejenak, mula menahan sebak sebelum meneruskan, “mengalami satu kehilangan…,” yang sekali lagi terhenti, menarik nafas panjang dan menyambung, “yang besar dengan kembalinya mereka ke rahmatullah”.

“Hancur badan dikandung tanah, budi baik dikenang selamanya,” titah Baginda.

“Kemangkatan Almarhum…,” terhenti, sekali lagi menarik nafas panjang sebelum meneruskan, “Tengku Ampuan Afzan pada 1988…,” yang sekali lagi tersekat kemudian menangis lalu mengambil sapu tangan mengelap kelopak mata yang bergenangan;

“… meragut segala denyut hati saya, meninggalkan saya lemah, lesu dalam kesedihan yang teramat sangat,” titah Baginda lagi merujuk kepada isteri tercinta, Almarhum Tengku Ampuan Pahang, yang meninggal dunia pada tahun berkenaan.

TANGISAN BAGINDA... Sambil Menteri Besar Dato Sri DiRaja Adnan berada disisi bagi menenang dan mententeramkan Baginda. 
 

MENULIS LIRIK LAGU ‘SIMFONI KASIH’

Kelembutan jiwa juga terserlah – sebagai mengenang pemergian Almarhum Tengku Ampuan itu, apabila Baginda sendiri menulis lirik bagi lagu ‘Simfoni Kasih’ gubahan komposer terkenal, Ahmad Nawab, dendangan penyanyi tersohor, Jamal Abdillah.

Antara rangkap lirik lagu tersebut; “Tinggallah daku dalam kesunyian, sepi, pedih pilu. Semakin jauh meneruskan perjalanan, terpisah kita tak tercapai tangan. Akan tetapi hatiku tetap sampai, bersama doa kuiringi dikau yang tersayang”.

Begitulah juga ketika penulis mewawancara Baginda mengenai kehadiran anakanda kelapan dan paling muda, menerusi pernikahan dengan DYMM Sultanah Pahang Sultanah Kalsom pada tahun 1991 atau kira-kira tiga tahun selepas kemangkatan Almarhum Tengku Ampuan Afzan.

YAM Tengku Abdul Fahad Muhammad Mu‘adzam yang diputerakan pada Februari 1994, titah Baginda, “… telah memecahkan kesepian hidup saya, menjadi penawar duka , sumber penghibur hati, pembekal tenaga untuk saya meneruskan perjalanan hidup ini sambil berbakti kepada negara, agama dan bangsa”.

Di sebalik kelembutan jiwa itu, KDYMM Tuanku ialah seorang yang tegas dalam pelbagai perkara termasuklah dalam soal politik yang sesetengah pihak berpendapat, institusi diraja sewajarnya tidak terlibat dalamnya.

ATAS NAMA PERPADUAN MELAYU

“Saya tidak bertujuan mencampuri secara langsung dalam mana-mana pertubuhan politik, tetapi atas nama perpaduan Melayu – sebagai anak Melayu dan pemimpin Melayu saya bersetuju menerima kunjungan ini”.

Inilah titah Baginda ketika menerima menghadap sebahagian daripada bekas penyokong Parti Semangat 46 diketuai Raja Abu Bakar Abdul Jalil Shah, yang menyertai UMNO di Istana Abu Bakar, Pekan pada 29 Mei 1989.

Dalam titah ucapan itu juga, Baginda dengan tegas bertitah betapa tiada parti politik lain yang layak menandingi UMNO dalam soal menyuarakan kepentingan dan menyatu-padukan orang Melayu negara ini.

Baginda juga pernah ditanya oleh penulis mengenai kenyataan yang pernah Baginda titahkan pada Februari 1988, yang jelas menyokong penubuhan UMNO (Baru) setelah UMNO diharamkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada awal bulan yang sama tahun itu.     

Titah kenyataan sokongan itu seolah-olah menampakkan KDYMM Tuanku tidak bersikap ‘non-partisan’ dalam arena sahsiah politik negara, lalu dengan tegas Baginda bertitah, “Tidak ada yang lebih menyedihkan dan membimbangkan saya daripada melihat orang Melayu berpecah-belah, berpuak-puak dan tidak bertegur sapa antara satu sama lain.

UMNO ADALAH MELAYU, MELAYU ADALAH UMNO

“Kita orang Melayu beragama Islam dan Islam mencegah ummah bermusuhan sesame Islam. Hampir setengah abad parti politik bertapak di bumi Malaysia dengan laungan ‘Allahuakbar’, menyatu-padukan kita dalam UMNO. UMNO adalah Melayu, Melayu adalah UMNO”.

Selain dalam politik, ketegasan Baginda juga terserlah menerusi pelbagai urusan kehidupan harian lain termasuklah misalnya, ketika rakyat Baginda menghadapi saat-saat sukar semasa ditimpa bencana banjir.

Dalam satu daripada banyak kunjungan hampir saban hari menjengah nasib rakyat, Baginda terserempak dengan keadaan mangsa banjir yang dipindahkan sementara ke dewan orang ramai yang tidak cukup kemudahan asas khususnya bekalan air dan elektrik.

Dengan segera Baginda menitahkan agar mereka dipindahkan semula ke tempat lebih selesa serta mencukupi dan memadai dengan segala kemudahan asas yang mereka perlukan.

Lalu, kerja memindah semula mangsa dilaksanakan dengan bantuan trak tentera dan Baginda berada di sana sehingga senja, demi memastikan selesai seluruh urusan kerja pemindahan semula berkenaan.

BERDIALOG DENGAN RAKYAT-JELATA

Keperibadian seterusnya corak pemerintahan ‘Raja Berjiwa Rakyat’ Baginda sesungguhnya, banyak membantu dalam membangunkan negeri demi kesejahteraan rakyat dan ini sekaligus, turut membantu kepemimpinan Kerajaan Negeri yang diketuai oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob.

Dalam pada itupun, Baginda tidak melampaui batasan kuasa serta skop peranan dan tanggungjawab Baginda. Baginda sentiasa sahaja tahu untuk tidak melangkaui hal ehwal pentadbiran Kerajaan Negeri.

Ini nyata terserlah misalnya dalam dialog-dialog KDYMM Tuanku bersama rakyat, yang sering sahaja Baginda titah dianjurkan setiap kali Baginda melakukan kunjungan rasmi ke daerah-daerah atau kawasan-kawasan tertentu.

Acapkali aduan dan rintihan dalam dialog-dialog ini didengari, kemudian diminta pandangan Kerajaan Negeri menerusi jabatan-jabatan dan agensi-agensinya, seterusnya diambil langkah-langkah berkesan untuk menangani dan mengatasi aduan dan rintihan berkenaan.

Oleh itulah, dengan gaya pemerintahan Baginda apatah pula dengan keperibadian yang berjiwa lembut, bersikap tegas; diselaraskan pula dengan kepemimpinan Kerajaan Negeri yang mesra rakyat, Pahang diyakini akan terus kekal makmur. – Khabar