Sunday 3 December 2017

Encik Zamri – daripada pegawai ‘procurement’ kepada pengeluar anak benih durian Musang King antara terbesar negara

POSE ENCIK ZAMRI DI DEPAN MERCU TANDA LADANGNYA...   



NOTA EDITOR;

Berikut ialah artikel mengenai Zamri Agro Farm hasil temubual Editor Eksekutif, Khabar Pahang dengan pemiliknya, Encik Zamri Othman pada Khamis, 26 Oktober lepas. 

Artikel ini ialah untuk siaran dalam ruangan Tekad, Kudrat & Iradat majalah Khabar Pahang versi cetak Bil 25 Tahun 19 Tahun 2017 yang kini dalam proses penerbitan, yang dijangka siap untuk edaran oleh Jabatan Penerangan Negeri pada hujung bulan/tahun ini.

Sama-samalah kita mengikutinya serta mengambil pengajaran mana-mana yang patut daripadanya, insyaAllah.  


ZAMRI AGRO FARM, KAMPUNG PADANG FREE, PAMAH RAWAS, MUKIM HULU DONG, RAUB – Siapa sangka? Daripada seorang pegawai ‘procurement’ atau pemerolehan di sebuah syarikat di Shah Alam, Selangor, kini ialah pengusaha dan pengeluar anak benih durian Musang King antara terbesar di negara ini. 

Jumlah pengeluaran kini ialah 30,000 anak benih yang mahu ditingkatkan menjadi 120,000 anak benih atau lebih empat (4) kali ganda daripada asal, pada tahun depan (2018). 

Dan anak benih-anak benih ini telah diiktiraf oleh Jabatan Pertanian sebagai yang asli – klon D197 atau Musang King atau dulunya lebih dikenali sebagai Raja Kunyit; hasil cantuman antara pokok induk klon sama dengan durian kampung. 

Inilah orangnya, Encik Zamri Othman, anak tempatan berusia 42 tahun, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan daripada Universiti e Asia (AeU), Kuala Lumpur, yang sanggup tinggal di sini berjauhan daripada isteri di Shah Alam, demi menjayakan pengusahaannya. 

Dan atas tekad dan kudratnya itu serta beberapa lagi usaha pertaniannya, beliau telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Peladang Jaya Lelaki sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) Negeri 2017 pada Mei lepas.

ANAK BENIH MUSANG KING...


KELUAR WANG SIMPANAN BELI TANAH

“Sejak berhenti kerja tahun 2014 (selepas 20 tahun berkhidmat dengan syarikat berkenaan), di sinilah tempat saya,” kata Encik Zamri pada temubual dengan penulis pada tengah hari Khamis, 26 Oktober di sini. 

Setahun sebelum itu lagi (2013), Encik Zamri sudah menunjukkan hasratnya ke arah itu dengan mengeluarkan RM80,000 wang simpanannya, membeli tanah tiga-setengah (3 ½) ekar bersebelahan tanah 3 ½ ekar lagi milik keluarga, menjadikan keluasan keseluruhannya, tujuh (7) ekar, di sini. 

Matlamat utamanya ketika itu ialah untuk menanam pokok durian Musang King, sejajar dengan kesesuaian tanah di sini apatah pula daerah Raub memang sudah terkenal dengan penghasilan buah durian klon tersebut. 

Beliaupun membeli kira-kira 200 anak pokok durian, RM70 seanak pokok – 197 daripadanya sahaja merupakan klon Musang King manakala selebihnya, satu (1) klon IOI dan dua (2) lagi klon Duri Hitam; kemudian menanamnya.

Kepada anak muda lepasan pengajian pengurusan yang pernah pula terlibat dengan kerja-kerja pemerolehan di tempat kerjanya sebelum ini; membeli dan menanam mungkin satu perkara yang boleh dikatakan tidak susah, tetapi; 

TANDA PENGESAHAN OLEH JABATAN PERTANIAN... Inilah pokok Musang King yang daripadanya dicantumkan bagi menghasilkan anak benih Musang King yang sejati.  

TAK BOLEH AMALKAN 3T – TEBANG, TEBAS, TINGGAL

“… untuk menjaganya, satu perkara lain. Ia perlukan pengetahaun serta penjagaan yang baik khususnya membaja. Kita tak boleh amalkan 3T – tebang, tebas, tinggal,” kata Encik Zamri tentang pengalaman awalnya menanam dan menjagai anak pokok durian ini. 

Oleh kerana kegigihan dan menerusi katanya, ‘penjagaan cantik dan rapi’, hanya selepas tiga (3) tahun lima (5) bulan, pokok-pokok duriannya ini telahpun mengeluarkan hasil yang diharap-harapkan. 

Dalam pada itupun, sepertimana beliau gigih mempelajari secara ‘informal’ kaedah-kaedah terbaik menanam dan menjagai pokok durian, Encik Zamri cuba melakukan yang sama untuk menghasilkan anak-anak benihnya pula. 

Di sinilah beliau menghadapi cabaran besar – lokek ilmu! Hampir tidak ada sesiapapun yang mempunyai ilmu tersebut khususnya dalam kalangan pengusaha anak benih-anak benih durian Musang King yang ditemui, sanggup berkongsi ilmu tersebut dengannya. 

“Terpaksalah saya gagahkan diri, cuba hasilkan anak benih-anak benih ini menerusi ‘trial and error’,” katanya. Maka, banyak kalilah, tanpa jemu atau putus asa, beliau mencuba, gagal, dan mencuba lagi. 

JERNIHNYA SUMBER AIR DI SINI, YANG DIPEROLEHI DARI HUTAN SIMPAN BERSEBELAHAN... Yang menerusi paip kira-kira 7 KM daripada puncanya telah dialirkan ke sini.  

CANTUM ‘MATA TUNAS’ DENGAN ‘POKOK PENANTI’

Sehinggalah beliau menemui kaedah sendiri dengan mencantumkan ‘mata tunas’ daripada daun pokok induk Musang King, dengan ‘pokok penanti’, yang asalnya daripada tunas biji durian baka kampung.

‘Pokok penanti’ ini, fungsinya sekadar sebagai pokok tumpang yang berupaya menyerap segala zat daripada tanah, sementara tunas daripada cantuman dapat tumbuh dan membesar.

Apabila sahaja tunas sudah membesar dan berupaya dengan sendiri menyerap zat-zat yang diperlukan terus dari tanah, maka ‘pokok penanti’pun hilang fungsinya lalu boleh ditanggalkan dengan mudah daripada tunas yang sudahpun membesar itu. 

Sejak itulah, Encik Zamri tidak menoleh ke belakang lagi. Satu anak benih ke satu anak benih Musang King dihasilkannya, yang dalam pada itu, beliau mendapatkan Jabatan Pertanian untuk mengesahkan kaedah percantumannya.

Mempelajari daripada pengalaman buruk yang silam, Encik Zamri tidak mahu menjadi seorang yang lokek ilmu. Dia senang sahaja menurunkan ilmunya itu kepada penduduk setempat maka terlahirlah kini, 20 pencantum dalam kalangan mereka. 

ANTARA POKOK MUSANG KING YANG TURUT DITANAM DI LERENG BUKIT DAN DUA (2) KOLAM IKANNYA...


BELI BIJI DURIAN KAMPUNG RM1 SEKILOGRAM

Selain itu, beliau juga menawarkan peluang pendapatan apabila – daripada biji buah durian kampung yang dibuang begitu sahaja, beliau membelinya pada harga RM1 sekilogram. 

Yang daripada biji-biji buah durian kampung inilah, beliau bajakannya lalu tumbuh tunas yang kemudian menjadi ‘pokok penanti’, dicantumkan dengan  ‘mata tunas’ daun durian Musang King untuk melahirkan anak benih-anak benih Musang King berkenaan.

“Ini adalah satu lagi kepuasan kepada saya. Selain melahirkan pencantum-pencantum baru, saya juga memberi peluang buat duit kepada penduduk kampung daripada melihat biji-biji buah durian dibuang begitu sahaja,” katanya. 

Bermula dengan memasarkan anak benih-anak benih ini untuk permintaan tempatan dengan harga jualan RM15 seanak benih setinggi antara empat (4) inci dan lapan (8) inci yang dikira murah berbanding kira-kira RM25 seanak benih di pasaran; 

Khabar tentang pengeluar anak benih ini oleh anak muda Melayu apatah lagi kerana ‘originality’ klon Musang Kingnya, kemudian segera tersebar hingga melampaui bukan setakat sempadan mukim, malah daerah dan negeri. 

MAHU HASILKAN 120,000 ANAK BENIH TAHUN DEPAN

Dan beliau amat profesional dalam penjualannya. “Pernah ada pembeli dari Pulau Pinang yang beli 100 anak benih dan tanam di kebunnya,” kata Encik Zamri, “… yang kemudian dapati, ada dua (2) tidak tumbuh seperti sepatutnya (maka) saya gantikan kedua-duanya secara percuma”.

Dijangka dapat menghabiskan jualan keseluruhan 30,000 anak benihnya (dengan nilai jualan RM450,000) pada hujung tahun ini, Encik Zamri sudahpun merancang untuk menghasilkan ‘batch’ baharu dengan jangkaan kira-kira 120,000 anak benih pada tahun depan (2018). 

Dengan bantuan pencantum-pencantum yang telah dilahirkannya, beliau percaya, sasarannya itu akan tercapai, seterusnya dapat memenuhi permintaan yang semakin tinggi terhadap anak benih-anak benih klon Musang King ini. 

Bagaimanapun, untuk ‘batch’ terbaharu ini, beliau tidak dapat lagi menawarkan harga RM15 seanak benih, sebaliknya akan menjual pada harga antara RM18 dan RM22 seanak benih dengan jangkaan nilai jualan antara RM2.16 juta dan RM2.64 juta. 

Bukan kerana hendak maraih keuntungan berlipat kali ganda tetapi menurutnya, cuma bagi menampung secara sewajarnya, kos penghasilannya yang semakin meningkat sekarang. 

JUGA TERNAK IKAN KELAH DALAM KOLAM

Namun beliau percaya, harga baharu itu nanti masih rendah jika dibandingkan dengan harga yang turut akan meningkat lebih tinggi lagi (malah, ada yang menjualnya sehingga RM40 seanak benih) di pasaran tempatan. 

Sungguhpun penghasilan dan pengeluaran anak benih Musang King ialah ‘core business’nya di ladang seluas tujuh (7) ekar ini, Encik Zamri juga turut mengusahakan jenis pertanian lain termasuklah penternakan ikan kelah! 

Kepada sesetengah orang, mungkin tidak pernah tahu tentang penternakan ikan itu melainkan kehidupan secara liar ikan yang terlalu sensitif terhadap alam sekitar tersebut di kawasan-kawasan yang tidak tercemar seperti di santuari ikan kelah di Taman Negara, Kuala Tahan, Jerantut. 

Tetapi di sini, di dalam satu daripada dua (2) kolam, dengan keluasan 160 kaki X 150 kaki dan kedalaman sembilan (9) kaki, telahpun terdapat kira-kira 5,000 ekor atau kira-kira empat (4) tan atau 4,000 kg ikan tersebut. 

Setiap seekor kini katanya, telahpun mencapai berat antara 500 gm dan 2 kg. Dengan harga sekilogram ikan tersebut ialah RM400, dikalikan dengan 4 tan atau 4,000 kg yang bersamaan dengan RM1.6 juta. 

AIR BERSIH, JERNIH DARI HUTAN SIMPAN GUNUNG BENUM

“Sekarang, saya tunggu masa yang sesuai sahaja untuk ‘harvest’ dan jual,” katanya. 
Sepertimana tidak lokek ilmu, Encik Zamri juga tidak berahsia tentang kejayaannya menternak ikan kelah yang sangat sensitif ini iaitu, mengisi kolamnya dengan air bersih lagi jernih. 

Air ini diperolehi dari sungai dalam Hutan Simpan Gunung Benum bersebelahan, dialir ke sini dengan kuasa graviti sejauh kira-kira tujuh (7) KM menerusi ‘polypipe’ yang berdiameter kira-kira empat (4) inci.

Begitu jugalah, air yang sama digunakan bagi mengisi satu lagi kolam seluas 180 kaki X 180 kaki, berkedalaman sembilan (9) kaki juga, yang diternaknya pula ikan tilapia yang kini jumlahnya ialah kira-kira 6,000 ekor. 

Setiap ekor kini sudahpun mencecah kira-kira 2 kg yang dikalikan dengan 6,000 ekor bersamaan dengan 12,000 kg. Harga sekilogram ikan tilapia kini ialah RM70 X 12,000 kg bersamaan dengan RM840,000 nilai jualan keseluruhan. 

KEKAL ‘MODEST’, MAHU ‘SLOW DOWN’ UMUR 45 TAHUN

Sungguhpun dengan kejayaan-kejayaannya ini, Encik Zamri dilihat tetap kekal ‘modest’ atau bersederhana termasuklah dalam menentukan jumlah pendapatan bulanannya. “Saya tak ambil banyak (sebagai pendapatan tetap bulanan). 

“Malah, untung yang dapatpun dibahagi menurut bahagian tertentu kepada anak-anak buah saya,” katanya. 

Dengan sikap sebegini serta dengan kegigihan beliau yang menurutnya akan mula ‘slow down’ pada usia 45 tahun; adalah dijangkakan Encik Zamri akan dapat menempuh lebih kejayaan, insyaAllah. – Khabar