Tuesday 5 December 2017

Patuhilah nasihat Presiden, pinta Dato’ Sri DiRaja Adnan

“Saya percaya kalau nasihat Presiden ini dipatuhi insyaAllah, kita boleh menghadapi Pilihanraya Umum dengan penuh yakin dan insyaAllah, kita akan peroleh kemenangan,” tegasnya.

BERSATU KITA BERSATU, DENGAN SETIA BERGANDING BAHU... Perhimpunan Agung UMNO menjelma lagi dan yang terakhir sebelum Pilihanraya Umum Ke-14.  


PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA (PWTC), KUALA LUMPUR – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob meminta kesemua ahli UMNO supaya mematuhi nasihat Presiden parti, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak yang dengannya, akan membolehkan parti menang pada Pilihanraya Umum Ke-14 nanti.

“Saya percaya kalau nasihat Presiden ini dipatuhi,” katanya, dan menambah, “… insyaAllah, kita boleh menghadapi Pilihanraya Umum dengan penuh yakin dan insyaAllah, kita akan peroleh kemenangan”.  

Beliau yang juga Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri serta Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata demikian kepada wartawan TV3 ketika ditemui selepas hadir pada Taklimat Presiden petang Selasa, 5 Disember, di sini.

Taklimat Presiden ialah satu daripada acara yang telah diatur bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 selama lima (5) hari yang bermula hari ini, dan berakhir pada Sabtu, 9 Disember.

Menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, beliau telah ‘puluhan tahun’ hadir pada perhimpunan seperti ini serta mendengar amanat yang disampaikan oleh Presiden parti tetapi apa yang telah disampaikan oleh Dato’ Sri Mohd Najib hari ini, ialah yang terbaik atau ‘excellent’.

'FLASHBACK' SEMASA KONVENSYEN UMNO PAHANG PADA NOVEMBER 2016... Selain Dato' Sri DiRaja Adnan dan Naib Presiden, Dato' Sri Hishammudin Hussein; ialah tokoh veteran UMNO kita, Dato' Sri Abdul Jabbar Ibrahim. 


TAKLIMAT PRESIDEN YANG TERBAIK, ‘EXCELLENT’

Berikut ialah apa yang telah dikatakan oleh Dato’ Sri DiRaja Adnan dan disiarkan secara ‘verbatim’;

“Saya telah menghadiri Taklimat Presiden ini, puluhan tahun. Pada hari ini saya berpendapat, Presiden telah menyampaikan taklimat yang terbaik, ‘excellent’.

“Beliau telah menyeru supaya ahli parti bersatu padu dan bekerja untuk menghadapi pilihanraya. PRU ke-14 ini sangat penting untuk parti bagi menentukan kesinambungan Kerajaan dan masa depan negara.

“Beliau telah meminta supaya kita melupakan pemilihan parti tetapi menumpukan kepada Piliharaya Umum.

“Beliau juga telah meminta supaya kita mengurangkan sengketa sesama kita, melupakan segala-galanya dan hanya selepas Pilihanraya nanti barulah kita menumpukan kepada perkara-perkara lain. Buat masa ini beliau mengharapkan supaya kita menumpukan kepada Pilihanraya Umum.


“Saya percaya kalau nasihat Presiden ini dipatuhi insyaAllah kita boleh menghadapi Pilihanraya Umum dengan penuh yakin dan insyaAllah kita akan peroleh kemenangan”. – Khabar