Saturday, 2 December 2017

MaBIQ – bukan sekadar ikan patin gulai tempoyak


… kini, Maahad Bahasa dan Ilmu Al-Quran yang Ustaz Jamal asaskan, punyai tiga cawangan dengan lebih 200 pelajar termasuk 44 orang di Kemboja.

USTAZ JAMAL, PENGASASNYA... Ustaz Jamal sedang menerangkan sesuatu pada temubual pagi Selasa itu. 


NOTA EDITOR;

Berikut ialah artikel mengenai Maahad Bahasa dan Ilmu Al-Quran (MaBIQ) hasil temubual Editor Eksekutif, Khabar Pahang dengan pengasasnya, ‘Ustaz Jamal’ pada Selasa, 10 Oktober lepas.

Artikel ini ialah untuk siaran dalam ruangan Syiar majalah Khabar Pahang versi cetak Bil 25 Tahun 19 Tahun 2017 yang kini dalam proses penerbitan, yang dijangka siap untuk edaran oleh Jabatan Penerangan Negeri pada hujung bulan/tahun ini.

Sama-samalah kita mengikutinya serta mengambil pengajaran mana-mana yang patut daripadanya, insyaAllah.  


MaBIQ 2, LOT 2087, JALAN PANTAI, KAMPUNG SEPAT, KUANTAN – MaBIQ bukanlah sekadar kedai makan di Kampung Peramu dekat sini, menyajikan keenakan lauk-pauk ikan patin gulai tempoyak, masak pais, kuah lemak daging salai dan sambal hitamnya.

MaBIQ atau Maahad Bahasa dan Ilmu Al-Quran ialah sebuah institusi ‘pondok’ modern persendirian yang asalnya cuma ada lima (5) pelajar kini mencecah 224 orang termasuk 44 orang di cawangan ketiganya – Madrasah Tahfiz dan Ilmu Al-Quran (MaTIQ) di Kampung Sanjai, lima (5) jam perjalanan dari Phnom Penh, Kemboja.

Beribu pejabat di MaBIQ Utama di Kampung Peramu yang juga terdapat Restoran MaBIQ; selain MaTIQ (44 pelajar) dan MaBIQ 2 di sini (150 pelajar), ialah MaBIQ 1 di Madrasah Al-Fatihah di Bukit Genting, Jerantut (30 pelajar).

Matlamat utama MaBIQ ialah untuk melahirkan para hafiz Al-Quran yang bakal menjadi pendidik atau mempunyai kerjaya lain, yang taat dengan ajaran Allah serta mahir dalam pelbagai bahasa.

Oleh itulah telah ditetapkan silibusnya meliputi 35 peratus atau 50 jam seminggu untuk Pengajian Islam yang termasuklah tentang mengerjakan solat sempurna, ilmu-ilmu tauhid dan feqah, serta ilmu akhlak dan keperibadian muslim;

BANGUNAN DUA-SETENGAH TINGKATNYA... Kemas dan rapi, termasuk datarannya yang menyambungkan bangunan dua-setengah tingkat ini dengan bangunan pejabat (kanan) dan bangunan Surau dan Dewan (kiri). 


EMPAT SYAHADAH @ PENYAKSIAN MaBIQ

Sebanyak 25 peratus atau 36 jam seminggu bagi Tahfiz al-Quran yang termasuklah tilawah dan hafazan al-Quran serta ilmu tajwid; 20 peratus atau 25 jam seminggu Akademik yang termasuklah pengajian Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab Komunikasi dan Bahasa Arab Tinggi, Matematik dan Sains serta Ilmu Mantiq;

Dan, 20 peratus atau 25 jam seminggu lagi ialah Amali dan Kemahiran Hidup yang termasuklah latihan menjadi imam solat, latihan menjadi guru agama, latihan-latihan kepimpinan dan keusahawanan, latihan-latihan pertanian dan penternakan serta, latihan-latihan pidato dan mengajar kitab.

Hala tujunya pula terangkum di bawah empat (4) syahadah atau penyaksian iaitu, syahadah tamat belajar (selama enam tahun), syahadah tahfiz al-Quran, syahadah kelayakan imam, dan lulus Sijil Pelajaran Malaysia seterusnya Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).  

Pengasasnya, Ustaz Jamaluddin Abdul Jabbar, 49, anak kelahiran Kampung Tebing Tinggi, Jerantut, berkelulusan Sarjana Agama Ilmu Pendidikan Islam dari Universiti Islam Negeri, Yogyakarta, Indonesia.

Dibantu isterinya, Umee Ruziani Ab Ghani, 42, anak kelahiran Kampung Beserah dekat sini, berkelulusan Sarjana Muda (Kepujian) dalam pengajian TESL (Teaching English as a Second Language) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).

SUASANA NYAMAN DAN SELESA DALAM KELAS YANG BER'AIR-COND'... Turut belajar di MaBIQ 2 serta dalam kelas ini ialah Adam (tiga dari kiri) yang merupakan anak lelaki kepada Pegawai Khas kepada Menteri Besar, Encik Kamaluddin Sudin. 


BERMULA LIMA (5) PELAJAR, YURAN RM1 SEHARI 

Selain Pengasas, Ustaz Jamal ialah Pengerusi dan Pengetua MaBIQ manakala isterinya, Umee ialah Pengurus Kewangan merangkap Pengurus, Restoran MaBIQ yang cukup terkenal dengan lauk-pauk yang telah disebutkan awal tadi.

Segala-galanya bermula pada tahun 2007 apabila Ustaz Jamal – di atas tanah dua (2) lot seluas suku ekar di Kampung Peramu yang dibelinya menggunakan wang simpanan yang ada dengan harga RM125,000; didirikan pusat pengajiannya pertama.

Bermula kecil maka, jumlah pelajarpun kecil – setakat lima (5) orang sahaja. Bagi menarik minat, tawaran istimewa dibuat antaranya yuran cuma RM1 sehari yang dapat meningkatkan jumlah kepada puluhan orang.

Entah kenapa, jumlah itu merosot tidak beberapa lama kemudian. Sebagai seorang yang juga kreatif, sekali lagi tawaran dibuat tetapi kali ini menterbalikkan – daripada pelajar yang perlu membayar tetapi kini beliau pula sendiri menawarkan RM1 sehari kepada setiap mereka yang ingin belajar di MaBIQ.

Langkah ini berjaya, dengan pelajar kembali meningkat kepada 27 orang pada tahun 2009 dan kepada 36 orang pada tahun 2010 – tahun yang sama beliau yang berkhidmat sebagai pegawai di Yayasan Pahang (YP), meninggalkan kerjaya berbelas-belas tahun di situ untuk membangunkan MaBIQnya sepenuh masa.

LAGI SUASANA PEMBELAJARAN YANG SELESA DI DALAM KELAS... 


SUMBANGAN-SUMBANGAN TIDAK TERDUGA

“Saya perlu ambil langkah ini (berhenti dari YP dan tumpu sepenuh masa kepada MaBIQ). Saya sedar ini bukannya mudah tapi ia cabaran besar yang perlu saya tanggung,” kata Ustaz Jamal pada temu-bual dengannya pagi Selasa, 10 Oktober lepas di pejabatnya di sini.

Cabaran dan bebanan utamanya tentulah kewangan sementelah beliau tidak lagi menikmati gaji bulanan sebagai kakitangan YP. Namun beliau bersyukur kerana bebanan tersebut banyak diringani oleh sumbangan-sumbangan yang tidak diduga daripada masyarakat, berupa kewangan dan barangan keperluan dapur termasuk beras.

Selain itu, beliau perlu berbuat sesuatu agar punca kewangan bulanannya mestilah lebih terjamin yang dapat membantu dalam membiayai kos operasi seharian, pusat pengajiannya itu.

Ketika itulah juga, bersandarkan kepakaran masakan lauk-pauk tradisional ala-Jerantut yang ada pada keluarganya, Restoran MaBIQ dibuka dengan sajian masakan tersebut. Lokasinya, bersebelahan dengan kelas pengajian MaBIQ di situ.

Oleh kerana keistimewaan dan keenakan masakan tersebut – lauk-pauk ikan patin gulai tempoyak, masak pais, kuah lemak daging salai dan sambal hitamnya; semakin hari ia menjadi tumpuan ramai khususnya pada waktu makan tengah hari.

DEWAN YANG LUAS... Ustaz Jamal sedang menerangkan sesuatu tentang Dewan yang boleh memuatkan kira-kira 600 orang pada satu-satu masa. 


RESTORAN MaBIQ, PENJANA KEWANGAN MaBIQ

Sehinggalah MaBIQ lebih dikenali dengan elemen restorannya berbanding sebagai sebuah pusat pengajian yang tidak menjadi masalah kepada Ustaz Jamal selagi Restoran MaBIQ dapat menjana kewangan yang dapat disalurkan untuk pembangunan MaBIQ sendiri.

Yang menjadi masalah apabila ada dalam kalangan pengunjung restoran yang marah-marah dengan Ustaz Jamal kononnya, Restoran MaBIQ menyediakan sajian yang sedap-sedap kepada pengunjung tetapi pelajar MaBIQ di sebelah, diberi makan sajian ala-kadar.

Sudah tentulah berbeza kerana kos yang berbeza antara kedua-dua sajian tersebut sementelah yuran bulanan yang dikenakan ke atas pelajarnyapun rendah, cuma RM310 yang termasuk makan-minum, kemudahan asrama dan pengajian (berbanding di Lembah Kelang, tidak kurang RM700 sebulan).     

(Itupun menurut Ustaz Jamal, daripada 150 pelajar di sini, 75 peratus tiada masalah untuk membuat bayaran yuran bulanan ini tetapi 25 peratus lagi tidak, yang terpaksa beliau redalah sahaja).

Apatah pula dengan hasil kewangan daripada perniagaan di Restoran MaBIQlah yang dapat menampung sehingga kira-kira 65 peratus daripada keseluruhan kos pembiayaan pusat-pusat pengajian MaBIQ.

BANGUNAN DI KeLBIM... Dengan bekalan elektrik ditiadakan, para pelatih akan diajar kemahiran hidup di kem latihan Islam ini apabila ianya beroperasi kelak. 

 
USTAZ JAMAL KENA TENGKING

“Ada yang tengking saya dan kata; ‘Tak apa, bagi mereka makan apa yang kita makan. Biar saya bayar’ (untuk pelajar MaBIQ agar mereka dapat turut menikmati juadah di Restoran MaBIQ). Ini buat saya risau,” kata Ustaz Jamal.

Lanjutan itulah, beliau terpaksa memikirkan usaha untuk mencari tapak lain untuk pusat pengajian MaBIQ yang akhirnya diperolehi di kawasan seluas kira-kira seekar di sini (MaBIQ 2), dengan harga kira-kira RM320,000.

Maka MaBIQ yang asal di Kampung Peramu dikekalkan sebagai Restoran MaBIQ selain menjadikanya ibu pejabat dan dikenali sebagai MaBIQ Utama. Manakala pelajarnya dipindahkan kesemuanya ke sini.

Untuk mendapatkan tanah inipun satu hal, bagi membangunkannya ialah satu hal lagi. Maka terpaksalah beliau menjual apa yang ada termasuk tanah dan rumahnya, demi mencukupkan kewangan untuk membangunkannya.

Mujur beliau mempunyai seorang tukang yang mahir yang dengan itu, kos dapat dikurangkan sambil itu mutu kerja bangunan tidak dikompromikan. Maka kini, tersergamlah bangunan dua-setengah tingkat mengandungi 10 bilik darjah, surau, pejabat, bilik guru, asrama pelajdan dewan.

TANAM-TANAMAN DI KeLBIM... Disinilah pelatih turut diajar sedikit-sebanyak tentang ilmu pertanian termasuk penternakan seperti itik.  


KESEMUA 10 KELAS ADA ‘AIR-COND’

“Kesemua 10 kelas kami ada ‘air-cond’ berkuasa kuda 1.5 setiap satu. Ini supaya pelajar-pelajar kami dapat belajar dengan selesa,” katanya tetapi segera berkata betapa, demi berjimat, penghawa dingin ini akan dipasang bila perlu antara tiga dan empat jam sehari sahaja.

Dengan kekuatan tenaga pengajar berkelulusan diploma dan ijazah seramai 22 oranglah – termasuk Ustaz Jamal dan isteri, Ustazah Umee Ruziani, serta, tiga (3) lulusan dari Mesir – Ustaz Salem Korim Abdesalam Aly, pemegang Diploma Profesional Dalam Pendidikan dari Universiti Kaherah, serta Ustaz Muhammad Farhan Md Noor dan Ustaz Mohd Yuzairee Yusop, kedua-duanya pemegang Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dari Universiti Al-Azhar;

Kesemua 150 pelajar lelaki di sini diasuh bukan sahaja bagi memenuhi tuntutan kurikulum tetapi juga ko-kurikulum menerusi kelab-kelab seperti Kelab Huffaz, Kelab Bahasa, Kelab Seni Suara yang termasuk bidang tarannum dan nasyid, Kelab Usahawan Muda, Kelab Pakar Tani Ternak, Kelab Kimpalan, Kelab Chef Muda dan Kelab Pendekar.

Perancangan masa depan Ustaz Jamal untuk jangka pendek dan panjang ialah, bagi menukarkan sebahagian daripada kawasan seluas seekar di bahagian belakang MaBIQ 2 yang baharu dibelinya ini, menjadi padang bola sepak untuk pelajar-pelajar beriadah di atasnya.

Selain itu, beliau berimpikan untuk menjadikan kawasan seluas lima (5) ekar miliknya di Kampung Permatang Habib berdekatan, sebagai satu lagi produk MaBIQ iaitu Kem Latihan Berdikari Islam Malaysia atau KeLBIM.

SUMBER AIRPUN DARIPADA TELAGA YANG JERNIH AIRNYA... 


TIADA BEKALAN ELEKTRIK DI KeLBIM

Di KeLBIM yang tidak akan dibekalkan kuasa elektrik katanya, para pelajar/pelatih akan diajar untuk hidup berdikari, tahan lasak serta bersabar dengan segala dugaan hidup agar dapat menjadi manusia yang lebih cekal dan beriman.

“Belumpun projek ini bermula, idea penubuhannya telahpun mendapat reaksi baik termasuk dari Singapura, yang sedia hantar pelajar-pelajar mereka untuk menyertai program selama beberapa hari di KeLBIM,” katanya.

Dan penulis turut dibawa melawat ke tapak KeLBIM ini sambil beliau secara penuh ‘passion’ menerangkan mengenai impian dan cita-cita besarnya terhadap KeLBIM sepertimana juga yang sama terhadap MaBIQ.

Semoga MaBIQ terus mengecapi kejayaan, begitulah juga dengan para pelajarnya yang diharap dapat menjadi sepertimana yang dicita-citakan, insyaAllah. 

RESTORAN MaBIQ 2... Yang mudah didatangi dari Kuantan, selepas menuruni Jambatan Tanjung Lumpur dan melepasi kompleks perniagaan baharu Serambi Teruntum. Dan di seberang jalanya ialah Pusat Perubatan KPJ Kuantan. 

RESTORAN ASALNYA YANG TERUS DIKEKAL DAN TETAP DIKUNJUNGI PELANGGANNYA... – Khabar