… ciri utama Manifesto
Barisan Nasional (BN) Pahang bagi menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) Ke-14 ini.
“Realistik, yang
boleh dilaksanakan. Kita tidak janji gunung, bulan, bintang, tidak... Kita janjikan
apa yang kita boleh capai (laksanakan),” tegas Menteri Besar yang juga
Pengerusi BN Negeri.
BERMOTOSIKAL DALAM KAWASAN KAMPUNG... Kaedah pengangkutan yang paling praktikal dalam kawasan kampung. Sebagai Menteri Besar yang sentiasa berjiwa kampung, beliau tidak kekok untuk menunggang motosikal milik Penghulu Mukim Pahang Tua, Encik Rohaizad (tak kelihatan, tapi yang membonceng) ini.
PADANG AWAM,
KAMPUNG PAHANG TUA, PEKAN – Dalam pada usaha me‘refine-tune’kan lagi penyediaan
dan penyiapan Manifesto Barisan Nasional (BN) Pahang bagi menghadapi
Pilihanraya Umum (PRU) Ke-14 ini;
Menteri
Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menegaskan betapa ciri utama Manifesto ini
kelak ialah yang realistik, yang mampu dilaksanakan oleh Kerajaan BN demi
kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat.
“Realistik, yang
boleh dilaksanakan. Kita tidak janji gunung, bulan, bintang, tidak... Kita janjikan
apa yang kita boleh capai (laksanakan),” katanya pada persidangan media sempena
Majlis Penyampaian Bantuan Khas Pesawah Jelapang Padi IADA Pekan tengah hari
Rabu, 24 Januari di sini.
Beliau
yang juga Pengerusi BN Negeri, berkata demikian sebagai menjawab soalan
wartawan mengenai persiapan BN Negeri bagi menghadapi PRU berkenaan, termasuk
tentang manifesto serta calon-calon yang bakal diketengahkan.
“Manifesto ini
sebenarnya,”
kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, “… kita
siap sudah lama tapi saya minta – ada satu pasukan saya, untuk menyusun dengan
lebih kemas lagi.
MELAYANI SOALAN-SOALAN WARTAWAN KHUSUSNYA TENTANG PERSIAPAN BN NEGERI BAGI HADAPI PRU-14...
TAK JANJI APA
YANG TAK BOLEH TUNAIKAN
“Sebab kitapun
tak boleh hendak tawarkan banyak… Kalau tawar banyak nanti susahlah. Katalah saya
tawarkan, air percuma… Tanah duduklah tak payah bayar (premium tanah)… ‘Assessment’,
‘free’…
“Memang (boleh) menang
pilihanraya tapi nak memerintah macam mana? Duit tak ada (yang boleh dikutip
daripada pengenaan kadar-kadar tertentu daripada perkhidmatan pembekalan air
dan tanah tersebut). Kita kena realistik,” tegasnya.
“Kita kena janji
apa yang kita boleh buat, apa yang kita boleh tunaikan. Kalau kita tak boleh
tunaikan, kita tak buat janji, walaupun janji itu (yang) cantik(-cantik),” katanya lagi.
Dan
manifesto kali ini sepertimana yang sudah-sudah katanya, akan ‘covers all’ atau
meliputi semua – tentang hal-hal pelajaran, kebajikan masyarakat, kerajaan tempatan,
ugama Islam dan ugama bukan Islam, pertanian dan belia.
Mengenai
calon khususnya yang melibatkan dari parti UMNO di negeri ini katanya, senarainya
telahpun diserahkan kepada Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO.
PRESIDEN PARTI
BUAT KAJIAN TENTANG CALON
“Presiden parti
akan buat kajian melalui berbagai-bagai rangkaian yang beliau ada. Terpulanglah.
Tapi saya tak percaya kalau wakil rakyat kerja kuat, boleh menang; akan
diketepikan,”
katanya.
“Saya telahpun
beritahu Presiden MIC, Presiden MCA – kita mesti pilih calon siapa yang orang
mahu, bukan kita pilih calon yang Presiden mahu. Kalau kita pilih calon siapa
yang orang mahu, insyaAllah kita boleh menang.
“Kalau ibarat
kata kampung itu, kawasan itu dia (rakyat/pengundi) nakkan tokoh ugama, kita
letak tokoh ugama. Kalau dia nakkan profesional, kita letak profesional
(sebagai calon BN untuk bertanding di kawasan berkenaan),” katanya lagi.
Beliau
seterusnya berkata betapa pada keseluruhannya, negara ini telah ditadbir dan diurus
dengan baik maka rakyat dimintanya, tidak terpengaruh dengan segala dakyah yang
disebarkan oleh pihak pembangkang.
“Jangan dengar
dakyah-dakyah. Namanya(pun) dakyah, bukan fakta (tetapi) dakyah, propaganda.
BOHONG YANG
DIULANG-ULANG, ORANG AKAN AKHIRNYA PERCAYA
“Propaganda dengan
dakyah ini tak betul. Itu sebab zaman (Adolf) Hitler dia panggil propaganda. Menteri
Propaganda dia, (Joseph) Goebbels yang menyatakan – pembohongan ini kalau
diulang banyak-banyak kali orang akan percaya.
“Ha, ini yang
dibuat oleh pembangkang ini. Ulang, ulang, ulang, ulang (dakyah-dakyah
berkenaan supaya rakyat akhirnya percaya dan terpengaruh),” katanya lagi.
Beliau
seterusnya memberi contoh isu 1MDB yang masih dimainkan oleh pihak pembangkang
sedangkan langkah-langkah pembetulan telahpun diambil termasuk dalam menstruktur
semula hutang-hutangnya serta mengganti ahli-ahli lembaga pengarahnya.
“Perdana Menteripun,” katanya, “… telah menyatakan ada sikit kelemahan
sana-sini. Ini Perdana Menteri yang baik, jujur-ikhlas menerangkan. Jadi,
janganlah pula (pihak pembangkang) mengambil kesempatan”. – Khabar