Thursday, 11 January 2018

Teruslah hormati dan dukungi institusi Kesultanan Melayu, titah KDYMM Pemangku Raja Pahang


“Berilah penghormatan sewajarnya kepada pihak Institusi DiRaja, kerana kalau kita orang Melayu tidak mengambil berat, tidak memberi penghormatan; siapa lagi?” titah Baginda.

DALAM MENYEMPURNAKAN MAJLIS PELANCARAN... 


ARAS 1, PERPUSTAKAAN NEGARA MALAYSIA, JALAN TUN RAZAK, KUALA LUMPUR – KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Hj Ahmad Shah Al-Musta‘in Billah menitahkan agar pemimpin dan orang Melayu khususnya, terus menghormati dan mendukung institusi Kesultanan Melayu di negara ini.

Menurut laporan berita Harian Metro, Baginda menitahkan demikian memandangkan ada pihak cuba mengambil peluang, menyalah guna serta menyalah tafsir akan keakraban Institusi Kesultanan dengan orang Melayu sendiri.

Oleh kerana tindakan segelintir minoriti terbabit menurut laporan berita yang sama, ia telah menjejaskan nama baik Institusi Kesultanan Melayu yang sudah lama bertapak di negeri dan negara ini.

“Berilah penghormatan sewajarnya kepada pihak Institusi DiRaja, kerana kalau kita orang Melayu tidak mengambil berat, tidak memberi penghormatan; siapa lagi?” titah-tanya Baginda.

“Ya, saya tahu ada lagi kaum lain yang sudahpun nampak hendak berapat-rapat mengeratkan silaturahim, tetapi tunjang Raja-raja Melayu ialah orang Melayu sendiri. Janganlah kita cepat melatah menjejaskan keharmonian, keakraban antara Insitusi DiRaja bersama orang Melayu.

ANTARA HALAMAN-HALAMAN YANG MENARIK... KDYMM Pemangku Raja Pahang kelihatan girang melihat foto Baginda dalam buku berkenaan, sambil dikongsi bersama oleh para kenamaan dan hadirin sekelian. 


PERLU LONJAKAN BESAR

“Saya sentiasa berdoa dan mengharapkan pemimpin daripada institusi Melayu – apa nama sekalipun, apa warnanya; akan kembali mendukung Institusi Kesultanan DiRaja,” titah Baginda lagi sepertimana laporan akhbar yang sama.

Baginda bertitah demikian bagi menyempurnakan Majlis Pelancaran – Buku Istana Pahang: The Palace Of Pahang, dan, acara ‘Revisit Pahang Year 2018’ petang Khamis, 11 Januari di sini.

Yang turut hadir mengiringi Baginda ialah Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob; Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Dato’ Sri Nazri Aziz; dan, Pengerusi, Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin.

Menyentuh tentang acara ‘Revisit Pahang Year 2018’ pula, KDYMM Tuanku bertitah betapa satu lonjakan besar perlu dilakukan demi menarik lebih ramai pelancong ke negeri Pahang.

“Kalau kita dapat memberi fokus kepada satu (1) atau dua (2) kawasan sebagai tarikan yang cukup berlainan, mungkin ini akan menjadi tempat yang menjadi buah mulut kepada pelancong,” titah Baginda.

KEMESRAAN YANG TERUS-MENERUS TERJALIN ANTARA SESAMA UMARA’ - NEGERI DAN PERSEKUTUAN...


DATANG MELAWAT DAN BANTU KAWASAN BANJIR  

Baginda turut menitah-sentuh tentang kawasan-kawasan yang dilanda banjir di negeri itu yang mungkin boleh dijadikan sebagai tarikan pelancongan.

“Mungkin kita boleh jadikan kawasan banjir sebagai satu tarikan. Kepada mereka yang berada dalam negara kita, bolehlah datang melawat kawasan banjir dan membantu. Ini boleh juga menjadi satu tarikan kalau dibuat dengan sebaik mungkin,” titah Baginda lagi.

Buku Istana Pahang: The Palace of Pahang adalah terbitan Universiti Putra Malaysia (UPM) Press yang ditulis bersama oleh Dato’ Setia Amar Segara Pahang, Dato’ Sri Halim Ibrahim dan Pensyarah Penganjian Pendidikan UPM, Prof Madya Datuk Dr Norhasni Zainal Abidin. 

BERSAHAJA... Tentu sesuatu yang menarik yang berlaku di pentas sana hingga KDYMM Tuanku merakamkannya menggunakan telefon pintar Baginda. – HarianMetro/Khabar